Tali yang menyatukan

on 10:18 PM

Hari minggu lepas semasa dalam satu mesyuarat, berpeluang mendengar cerita dari seorang sahabat yang baru dikenali. Sahabat ini bukan keturunan kiwi mahupun pakeha, tetapi antara minatnya adalah seperti mereka, berjalan mengembara dan mencuba aktiviti-aktiviti lasak yang ada.

Berada dalam sebuah negara yang terkenal dengan keindahan alam dan pelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi utama, pelbagai kemudahan dan peluang untuk aktiviti extreme amat mudah didapati.
Yang dimaksudkan extreme di sini adalah aktiviti seperti bungy jumping, water rafting dan paragliding (i.e. nerve-wracking activities) yang dicipta dan direka khas buat manusia zaman kini yang agak 'manja'. Ya, manja! Kenapa dikatakan manja?

Fitrah manusia suka dan selesa berada dalam comfort zone masing-masing. Andai ada cabaran, atau ada sedikit risiko sekalipun, mahu dihapuskannya. Kalau tidak dihapuskan, mahu saja lari daripadanya.

Sebagai contoh, kerana mahu hapuskan risiko penyakit, vaccines dan additional supplements dibekalkan. Mahu keselamatan di rumah dan pejabat terpelihara, CCTV dipasang, bodyguard digaji dan pagar setinggi 3 kaki dibina. Tidak cukup lagi, alarm buat bingitkan telinga dipasang di sekeliling.
Bila satu invention terbina, ada saja penambahan dari masa ke masa. Telefon bimbit dari sebesar botol air kepada sekecil tapak tangan, dari fungsi penting untuk berhubung kepada fungsi sebagai hiburan instant. Memang diri manusia tidak pernah merasa cukup bukan? Dan sudah ketentuan pun yang segala 'binaan' manusia memang pasti akan ada kelemahan, bukan seperti ciptaan Al-Khaliq, Yang Maha Mencipta, yang sentiasa sempurna dan terpelihara.

Maka kesan daripada berada dalam suasana 'aman dan selesa' tadi lah yang membuatkan manusia manja. Hidup sudah terlalu senang dan mudah. Bercita-cita semuanya mahu dalam satu remote control di tangan.
Andai berhajatkan sesuatu, klik saja dan ia pasti datang. Mahu ayam golek, zupp... terus muncul di depan mata. Mahu ada pelayan atau robot buatkan kerja-kerja. Mahu keliling dunia tanpa perlu bersusah payah menjinjing beban galas dan mahu tidak ada beban atau tanggungjawab yang mencarik-carik minda.

Bukan mahu katakan TIDAK pada usaha-usaha penambahbaikan, jauh lagi dari mahu menentang deras pemodenan dan pembangunan. Tiada ada salahnya semua usaha itu, andai manusia sedar bumi yang dipijak itu cuma pinjaman seketika waktu.
Kerana jika kesedaran yang disertai dengan tindakan itu ada, dan maka segala usaha itu matlamatnya jadi satu. Iaitu buat mendekatkan diri dan mencari redhaNya semata.

Muslim yang sebenar juga tidak akan jadi manja kerana dia sedar yang perjalanan masih jauh, dengan ribuan liku dan duri di hadapan. Kita punya banyak pilihan dalam perjalanan. Bila berdepan liku, samada mahu tinggalkan atau betulkan. Bila tercucuk duri, dicabut, dibuang dan perjalanan diteruskan.

Ada yang fokusnya di liku satu, ada yang fokusnya di liku dua, tiga dan seterusnya. Bila semuanya bersatu, subhanallah, maka terserlah sirna keindahan dan syumulnya islam.

(aahh, sudah terlalu jauh menyimpang dari topik...)

Berbalik pada cerita sahabat tadi, yang mencetus idea jari-jari ini menari kembali.

Cerita tentang pengalamannya menyeberang sebatang sungai yang dalam lagi deras, tanpa tali mahupun jambatan, dengan air terjun beberapa meter di hadapan. Bukan di bawah air terjun, tapi di atas. Bermakna andai kalah dengan deruan air, dibawa arus, akan terus terjun ke bawah, ke atas batu-batu keras bersama-sama air. Bagai situasi memilih antara hidup atau mati...

Jadi untuk ke seberang sungai itu, dia dan sahabat2nya membentuk tali manusia dengan saling berpegangan tangan. Bermula dari satu seberang, seorang demi seorang turun ke dalam sungai sambil berpaut pada tangan sahabat di kiri kanan. Bila orang terakhir sampai di seberang yang lain dan sudah dapat berpaut pada punca yang kukuh, orang yang pertama tadi mula bergerak pada 'tali' tadi dengan cara yang sama dan diikuti oleh orang2 yang seterusnya.

Menakutkan dan mencabar diri, kerana andai salah seorang terlepas pegangan, maka yang lain akan turut ditarik sama terjun ke bawah.

Situasinya itu memberikan satu analogi mudah buat manusia berfikir, tentang tali yang menjadi pegangan. Tali yang menyatukan.

Kebanyakan manusia berpegang pada tali yang berasaskan aliran darah, kerana ia mudah dan nampak jelas di mata. Ada yang berpaut pada tali yang dibina kerana persamaan minat atau cita-cita, yang menjadi sebab pelbagai persatuan atau kelab terbentuk. Ada juga tali yang dicipta kerana kepentingan ekonomi, pengaruh, kuasa dan sebagainya.

Islam datang dengan satu hakikat dan konsep baru dalam pembentukan 'tali' yang menyatukan ini. Ia dibina bukan atas dasar aliran darah, malah bukan atas dasar persamaan dalaman (e.g. minat / cita2) mahupun luaran (e.g. fizikal / bangsa). Tetapi ia dibina dengan tautan kalimah tauhid La ila ha illallah.



Tali itulah yang menyatukan kaum muhajirin dan ansar. Tali itu jugalah yang mempertemukan Bilal dari Habsyah, Salman dari Parsi dan Suhaib yang berbangsa Romawi. Tali itu jugalah yang menjadi bukti pada termeterainya Perjanjian Aqabah 1 dan 2. Kerana tali itu juga, ahlu Badr seramai 313 orang itu sanggup menentang tentera kuffar walaupun di kalangan mereka ada sanak saudara dan ahli keluarga mereka sendiri.

Lihat saja contoh Abu Ubaidah Al-Jarrah, antara sahabat terawal masuk islam, berperang bermati-matian dan sanggup membunuh bapanya sendiri, Abdullah ibn Al-Jarrah.

Kerana tali yang sama itu, negara madinah bukan sekadar dipandang pada tanah dan airnya, tetapi pada penduduknya yang muslim, mu'min dan bersaudara. Islam bukan pada sebutan lidah atau pada negeri kelahiran, tetapi pada hati yang subur dengan keimanan dan ketakwaan.

Sirah nabi-nabi terawal juga memperlihatkan perkara yang sama. Isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh dipisahkan dari suami masing-masing dan diazab kerana perbezaan tauhid ini.

Asiah, isteri Firaun beroleh kebahagiaan dengan keimanan walaupun di sisinya seorang raja yang durhaka secara mutlak dengan Allah dan rasulNya.

Nabi Ibrahim berpisah dengan ayahnya serta kaumnya.

Para pemuda Ashabul Kahfi juga menguzlahkan diri mereka dari masyarakat kerana perbezaan pada tali yang dipegang oleh mereka.

Sungguh kisah-kisah dalam al-Quran ini jadi peringatan dan pengajaran pada kita manusia. Apalah ada pada cinta manusia, hubungan darah, rumahtangga pabila iman dihayati dan menjadi perentak pada nadi dalam diri. Rupa bangsa muslim itu adalah akidah yang menjadikannya berhak sebagai seorang anggota dalam ummat islam.

Sungguh-sungguh islam itu amat berat penekanannya pada nilai kesatuan dan luas ajarannya pada nilai patriotisma. Kesatuan dan patriotik yang dituntut pada negara yang sempadannya pada ucapan syahadah dan pusat pentadbirannya pada kalimah tauhid.

Moga kita kembali bersama-sama, menggenggam erat pada tali yang menyatukan ini.



"dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama islam) dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat islam). Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara..." [3:103]