Eid Mubarak

on 4:17 PM

Salaam Eid Mubarak pada semua.

Hari kedua Shawal di bumi Dunedin. Walaupun ramalan cuaca mengatakan sepanjang weekend diramal hujan dan mendung, Alhamdulillah pagi semalam cuaca cerah dan mengizinkan kami untuk solat hari raya di masjid dan menyambut kedatangan Shawal dengan meriah. Cadangan awal untuk solat di padang terpaksa dibatalkan kerana padang masih basah dan lembik, kerana hujan cuma berhenti kira-kira beberapa jam sebelum fajar 1 Shawal 1428H.

Selepas solat Eid, berpelukan mengucapkan tahniah, bergambar dan makan manisan bersama-sama saudara semuslim yang lain, saya menemani Junaid dan Scott ke Octagon (Centre of Dunedin City, bagai Dataran Merdeka di Malaysia), melihat Saudis' brothers meraikan Eidul Fitri dengan nyanyian dan tarian tradisional mereka.

Saudi Bros' di Octagon

Kemudian balik ke rumah meraikan tetamu-tetamu dengan deretan makanan yang kami masak sendiri malam sebelumnya, sebelum memulakan memulakan 'marathon hari raya' hingga pukul 3 petang. Sempat ke rumah Saleem, Nauman, Aflah dan Abdullah. Alhamdulillah, bukan sahaja dengan nasi himpit, rendang dan lontong untuk raya kali ini, tapi juga dengan variasi makanan raya lain dari Pakistan, Afghanistan, India dan timur tengah.

'Pemanis Mulut' di malam raya - Italian Grill Fish


Saya rindu pada suasana raya di Malaysia. Rindu pada umi dan ayah. Rindu pada abang, akak dan adik-adik. Rindukan takbir di masjid dan takbir rumah ke rumah. Rindu juga pada keriuhan dan keramahan sanak saudara.

Raya 03 di Pontian - "A Complete Family"

Tapi saya juga akan rindu pada suasana raya di sini satu hari nanti. "Its fabulous! Awesome!" kata Junaid pada saya. Dia baru sampai ke Dunedin dua bulan yang lepas dan pertama kali beraya di sini. Bagi saya, tiga istilah menyimpulkan Eidul Fitri di Dunedin. Syumul, Mahabbah dan Ukhuwwah.

Bersama Yasser - Sahabat Baik Dalam MUSA

Apapun, pada semua, maaf dipinta atas semua salah silap terkasar bahasa. Dua perasaan yang selalu bermain-main di dalam diri. Gembira dan sedih. Kedatangan Shawwal. Perginya Ramadhan. Tak lupa, dua minggu sebelum exam, dan empat minggu sebelum pulang ke Malaysia. Nantikan saya di Malaysia, dan kita jumpa nanti Inshaallah

Eid 07 - Episod Baru

Moga Shawwal kali ini lebih bermakna pada semua.

Pohon doa agar Ramadhan yang berlalu bukan sia-sia, dan dipertemukan lagi dengan Ramadhan akan datang hendaknya.

Kullu'amun wa antum bi khair
Taqabbalallahu minna wa minkum, Taqabbalna Ya Kareem

2 Shawwal 1428H
Dunedin, NZ
.

Pengajaran

on 6:39 AM

Dapat email dari abi petang tadi. Mahu anaknya menulis sesuatu, pengalaman berpuasa di perantauan, sebagai tazkirah ringkas untuk sahabat-sahabatnya. Dalam kekalutan dan kesibukan, alhamdulillah sempat juga menulis sesuatu menunaikan permintaannya.

Sekadar mahu kongsikan di sini. Peringatan ringkas dan mudah.

Ibrah dari Ramadhan di Perantauan

Wahai manusia! Sungguh, Kami telah ciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan. Kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. [49:13]

Bulan Ramadhan sering diumpamakan sebagai bulan ibadah, ujian, penuh rahmat dan keberkatan. Umum tahu, berdasarkan pada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183, bahawa objektif utama puasa adalah untuk membentuk hamba-hamba Allah yang bertakwa. Namun realiti pada masa kini memperlihatkan ramai umat Islam yang lemah dan tewas bila tiba bulan ujian ini. Natijah yang dihasilkan dari puasa bukan lagi ketakwaan, tetapi kemewahan dan kemegahan. Pembinaan diri, hati dan rohani diabaikan, manakala perhiasan harta, darjat dan keturunan jadi keutamaan.

Sebagai salah satu peringatan dalam tazkirah Ramadhan ini, suka untuk berkongsi sedikit pengalaman Ramadhan di perantauan. Moga masing-masing dapat mengambil sedikit ibrah atau pengajaran dari sebulan ujian dan pesta ibadah yang akan berlalu, dan mohon pada Allah SWT agar dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang InshaAllah.

Komuniti Muslim di sini cuma dalam 400 orang, dan majoritinya adalah pelajar-pelajar di universiti. Kami cuma punya sebuah masjid, yang menjadi tempat solat, berkumpul dan melakukan aktiviti-aktiviti lain. Secara fizikalnya tidak punya rupa seperti masjid-masjid di Malaysia, tetapi Alhamdulillah dari segi fungsinya begitu hebat dan bermanfaat pada komuniti Muslim di sini. Selain solat fardhu 5 kali sehari, ia punya kelas tafsir dan tahfiz, kelas bahasa arab, ‘islamic study circle’ setiap malam minggu, tazkirah hadis setiap kali selepas isha’ dan subuh serta ‘islamic sunday school’ untuk kanak-kanak setiap hujung minggu. Aktiviti sukan seperti futsal, bola tampar, dan badminton juga diadakan pada hari-hari minggu tertentu di dewan serbaguna masjid.

Ramadhan merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh kebanyakan Muslim di sini kerana bila tiba bulan mulia ini, masjid akan menjadi semakin meriah dan ukhwah islamiah begitu jelas terserlah. Muslim dari pelbagai negara dan bangsa sama-sama berkumpul untuk iftar, solat maghrib, isha’ dan terawih setiap hari sepanjang bulan ini. Iftar yang disediakan di masjid setiap hari adalah secara sukarela. Sudah menjadi tradisi setiap tahun sepanjang Ramadhan, pelbagai masakan dari negara yang berbeza-beza akan dapat dirasa. Muslim dari Arab Saudi, Afghanistan, Pakistan, Malaysia, Mesir, Brunei, Oman, Somalia dan beberapa negara lagi akan bergilir-gilir menyediakan iftar setiap hari. Tiada ‘Bazaar Ramadhan’ yang penuh dengan lauk pauk dan kuih muih seperti di Malaysia, tetapi yang ada adalah ‘Bazaar Ramadhan’ yang penuh dengan warna-warni mahabbah, kasih sayang dan sifat cintakan saudara semuslim.

Tilawah al-quran dalam solat terawih kini sudah hampir habis 30 juzu’. Setiap malam, kira-kira satu suku juzu` akan dibaca oleh imam dalam solat isha’ dan solat terawih 8 rakaat. Alhamdulillah kami punya imam yang hafiz dan bacaannya menyentuh hati. Satu setengah jam dari mula solat isha’ hingga habis solat witir kadangkala rasa berlalu begitu cepat. Untuk bangun solat malam dan sahur, waktu malam yang pendek dan cuaca yang sejuk jadi cabaran paling utama. Suhu pada lewat malam dan awal pagi biasanya di bawah 10 0C. Memang begitu mencabar untuk bangun di awal pagi, tetapi Alhamdulillah masih ramai lagi yang mampu untuk bangun solat, sahur dan ke masjid untuk solat subuh berjamaah.

Kini sudahpun dalam penghujung Ramadhan. Namun tidak langsung terdengar lagi ucapan Selamat Hari Raya, atau “Eid Mubarak” dari mana-mana Muslim. Tiada lagu raya dipasang, dan tiada iklan-iklan jualan murah hari raya ditayangkan. Tiada juga yang berlumba-lumba dengan persiapan raya dan tiada juga yang terlalu sibuk dengan kuih-muih raya. Pada masa hari-hari terakhir Ramadhan ini, fokus lebih kepada meningkatkan amal ibadah, qiam, iktikaf dan berdoa pada Allah SWT agar segala amalan dan doa diterima, dosa-dosa diampunkan dan Ramadhan yang akan berlalu tidak jadi sia-sia.

Terasa begitu kontra dengan apa yang berlaku di tanah air sendiri, kerana belum lepas 10 hari pertama Ramadhan pun, sudah ada orang mula sibuk tentang hari raya. Persoalan yang perlu ditanya pada diri masing-masing, betul layakkah Eidul Fitri itu untuk kita? Dapatkah fitrah asal manusia, yakni fitrah yang suci bersih dari dosa dengan manusia dan Allah SWT, dicapai dari bulan Ramadhan ini? Sungguh,setiap amal ibadah sepanjang bulan ini punya balasan dan matlamatnya tersendiri. Zakat buat menyucikan harta, solat, puasa, tilawah, tadarus, majlis ilmu dan doa buat menyucikan hati dan jasmani, melatih fizikal diri, memurnikan akhlak, membetulkan ibadah, menambahkan ilmu, meningkatkan pemahaman serta melahirkan rasa cinta dan takut pada Allah SWT.

Mohon pada Allah SWT agar natijah takwa yang dicari dari Ramadhan diperoleh oleh semua yang mencarinya. Moga dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang, dan moga Islam di dalam diri dan di dunia kembali tertegak Insha-Allah.

Bawalah bekal, kerana sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal sihat! [2:197]

Wallahua’lam