Selamat Hari Guru 2010

on 7:36 PM


1) Saban tahun, setiap kali menjelang tarikh 16 Mei sambutan Hari Guru disambut di Malaysia sebagai memperingati jasa dan pengorbanan para guru yang telah menabur budi mendidik dan melahirkan modal-modal insan yang berguna kepada masyarakat. Tarikh ini menjadi tarikh keramat dan disambut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira corak latar belakang yang berbeza kerana setiap individu kini boleh dikatakan tidak pernah terlepas dari memiliki sekurang-kurangnya seorang guru di sepanjang usia hidup.

2) Sejarah menunjukkan kekuatan suatu umat atau peradaban, banyak bergantung kepada kekuatan sistem pendidikan dan modal-modal insan yang dilahirkan melalui sistem pendidikan tersebut. Sejarah juga menunjukkan kejatuhan sesuatu umat atau peradaban berlaku apabila generasi pewaris gagal dididik melalui sistem pendidikan menyeluruh yang meliputi pembinaan iman, ilmu, akhlak serta keupayaan berfikir untuk mengaplikasi ilmu di dalam dunia realiti.

3) Menoleh melihat sejarah muallim (guru) teragung, Rasulullah SAW, beberapa kisah yang menunjukkan kepentingan pendidikan dan peranan guru boleh diambil pengajaran. Pertamanya melalui wahyu pertama yang turun, dalam surah al-`Alaq yang menunjukkan kepentingan membaca dan menguasai ilmu dalam hidup. Juga kisah tawanan perang Badar yang dijadikan guru kepada anak-anak kecil di Madinah sebagai syarat pembebasan mereka pula secara ringkas menunjukkan kepentingan mendidik generasi pewaris dan membolehkan kita menuntut ilmu dan hikmah dari segala apa sumber hatta melalui mereka yang bukan Islam sekalipun.

4) Melihat pada rukun tarbiah yang digariskan Hassan Al-Banna, seorang guru yang proaktif dalam masyarakat dan akhirnya diangkat menjadi seorang mujaddid Islam di abad ini, terdapat 4 elemen penting dalam rukun ini. Pertamanya adalah orang yang menyampaikan (guru/murabbi), kedua adalah orang yang menerima (murid/mutarabbi), ketiga adalah manhaj (sistem yang dipakai) dan keempat adalah bi’ah solehah (suasana yang baik).

Fiqh In Women's Health

on 6:21 PM

Hampir 3 minggu berlalu, masa hampir sepanjang hari dihabiskan di bahagian wad wanita dan wad kanak-kanak. Pesakit-pesakit yang ditemui saban hari, pastinya wanita (dan pasangan mereka kadang kala), juga bayi atau kanak-kanak (comel) bersama penjaga mereka.

Dari kes semudah follow-up bulanan, sehinggalah kes-kes yang lebih mencabar seperti kanser ovari, pendarahan tidak tentu dan penyakit neurologi keturunan yang berat.

Hari ini contohnya, awal pagi bermula dengan pesakit wanita yang disyaki keguguran selepas beberapa kali mengalami pendarahan sejak Jumaat lepas. Kemudian pesakit kedua juga masalah yang hampir sama, disyaki keguguran selepas beberapa minggu mengandung. Petang pula bermula dengan pembedahan elektif 'sterilisation' bagi mencegah kehamilan, diikuti pembedahan kompleks untuk membuang ketumbuhan berdarah di ovari seorang pesakit semuda 20 tahun!.

Malam jam 8 masih di wad, on-call di wad kanak-kanak, menanti jika ada pesakit dari bahagian kecemasan dipindahkan ke wad, sambil sibuk menyiapkan laporan-laporan kes minggu ini untuk dihantar dan kemudian menyiapkan pembentangan kes untuk esok hari.

Terasa lelah, kepenatan. Cuba mencari dinding bersandar, tetapi kesejukan malam membantutkan keinginan.Sekitar jam 9 baru balik ke rumah (dan terus ke dapur mencari nasi). Namun membayangkan lima atau sepuluh tahun ke hadapan, sebak merasakan yang kesibukan sekarang tidak mungkin dapat dibandingkan dengan kesibukan kemudian hari nanti.


Menyelak deretan emel, terbaca satu emel yang menarik perhatian. Sedikit sebanyak menguatkan lagi semangat untuk terus berjalan dan berjuang, menambah ilmu dan pengalaman dalam bidang yang sedang ditekuni sekarang. Mengambil semula hikmah yang telah hilang dari ummat Islam.

Dikongsikan beberapa persoalan dan pandangan dalam "Fiqh In Women's Health".

Moga bermanfaat untuk bakal-bakal doktor, jururawat, ahli farmasi dan pergigian, atau sekurang-kurangnya untuk pengetahuan semua yang bakal bergelar ibu, bapa, suami, isteri, anak, etc...

Membuat Pilihan

on 1:20 AM

Senario 1
"Besar nanti Man nak jadi ape?"
"Man nak jadi polis! Boleh tangkap orang jahat."

Senario 2
"Kau nak masuk kelas aliran ape Man? Sains? Agama? Sastera? Akaun?"
"Aku nak amik sains la, cerah sikit masa depan."

Senario 3
"Mintak universiti mana Man? Kau nak amik kos ape?"
"Aku nak amik Medic! Boleh tolong orang. Gaji pun boleh tahan."

Senario 4
"Eh, dah decide nak specialise dalam bidang ape?"
"Aku rasa nak fokus dekat Cardio. Mencabar sikit, prospek pun jelas."

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Beberapa senario di atas hanya secebis dari kisah panjang bernama kehidupan yang dilalui oleh tiap manusia.

Ilmu wahyu, sejarah, pengalaman dan fitrah manusia mengajar kita yang hidup tidak dapat dipisahkan dari membuat pilihan.

Sejak dari kecil, kita sentiasa diminta dan ditanya tentang pilihan yang dibuat. Walaupun sebahagian daripadanya pilihan yang bersifat peribadi atau personal yang bukan untuk dihebahkan, 'fitrah' semasa sentiasa memaksa kita untuk mengkhabarkan pilihan yang telah dibuat.

Jika ditanyakan tentang cita-cita seorang anak kecil berusia sekitar 6 tahun, apakah jawapan yang kerap diberikan? Saya pasti kebanyakan kita tahu jawapannya. Polis, bomba, dan tentera.

Menganjak sedikit usia ke sekitar awal sekolah rendah, apa pula jawapan yang selalu didengari jika diajukan soalan yang sama? Guru, jurutera dan doktor mungkin jawapannya.

Dan jika ditanya pula pada anak-anak kecil sekitar lewat sekolah rendah, jawapan yang diberi pasti pula lain 'pattern'nya. Pekerjaan lebih kompleks seperti usahawan, akauntan (dan penyanyi!) mungkin mula akan didengari dalam senarai cita-cita.

Inilah fitrah dalam membuat pilihan dalam hidup. Manusia sangat dipengaruhi oleh persekitarannya, dan kerana itu pilihannya sentiasa berubah-ubah. Pendedahan dan ilmu yang diperoleh sangat memberi kesan kepada pilihan yang dibuat.