Renungan 17 Ramadhan

on 11:06 PM


Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan 2H memberi kita beberapa pengajaran penting yang berguna untuk diaplikasi dalam kehidupan hari ini. Antara yang boleh kita kongsi bersama di malam 17 Ramadhan ini:

1. Yakin dan percaya pada pertolongan Allah SWT

Ingatkah kita pada seribu satu pertolongan Allah SWT ketika peperangan ini? Antaranya Dia menurunkan hujan sebelum peperangan ini berlaku, lalu membasahi lapangan Badar sehingga mudah dilalui (menjadi padat dan lembut) oleh tentera islam. Ia juga menambah bekalan air pada tentera islam di kawasan padang pasir yang kontang, membantu mereka menyucikan diri dan menguatkan jiwa mereka untuk menentang tentera kuffar (rujuk al-Anfal: 11).

Ingatlah yang Allah SWT akan sentiasa membuka jalan dan pintu pada kejayaan apabila kita meletakkan keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Dia!

Jangan biarkan malammu sia-sia

on 3:54 PM


Hairan dengan mereka yang berjaga malam di bulan Ramadan, atau bangun di awal pagi mengisi perut untuk bersahur, tetapi tidak berdiri mengerjakan solat sunat hatta dua rakaat. Apatah lagi duduk bertadabbur ayat-ayat al-Quran dan duduk sejenak menadah tangan memohon keampunan.

Lebih menghairankan lagi, mereka yang berjaga dan membiarkan malam berlalu dengan hiburan keduniaan dan gelak ketawa, seolah-olah malam di bulan Ramadan tiada apa yang istimewa dan perlu dikejar.

Sahabat, tidak cukupkah dengan peringatan dan penjelasan tentang keistimewaan Ramadan dari Rasulullah SAW yang kau katakan kau ingat, cinta dan rindu, telah sampaikan?