Lelaki bergelang dan berantai

on 3:16 AM


Dunia semakin canggih. Kecanggihan yang ada bukan hanya terletak pada perkembangan teknologi dan penciptaan alat- alat moden sahaja, malah pada perangai dan kelakuan manusia itu sendiri. Sekiranya kecanggihan yang dihasilkan itu sesuatu yang bermanfaat menurut syarak, bolehlah ia dibanggakan tetapi sekiranya ia merobek budaya bangsa, nilai ketimuran serta pegangan agama, maka ia adalah sesuatu yang memilukan.

Hari ini, fenomena wanita Melayu Islam bertudung berpelukan bersama teman lelaki di taman bunga, pusat rekreasi, di atas motor atau di kompleks beli-belah adalah suatu fenomena biasa yang boleh dilihat di mana-mana terutamanya di kota metropolitan.

Sesetengah lelaki Islam pula kelihatan begitu bangga apabila telinganya dihiasi subang berkilauan atau leher yang dililit rantai bergemerlapan. Sebahagian yang lain pula sengaja mengoyakkan seluar di peha dan lutut kononnya mengikut peredaran zaman. Semua di atas hanyalah sebahagian kecil antara ribuan fenomena ‘canggih’ yang wujud dalam masyarakat moden hari ini.

Fitrah manusia suka kepada perhiasan dan kecantikan. Hampir semua orang berkeinginan untuk memakai pakaian yang menarik, memiliki rumah yang cantik, mempunyai kenderaan mewah dan sebagainya. Malah Islam sendiri menggalakkan penganutnya sentiasa kelihatan bersih dan cantik. Namun begitu, makna kecantikan dalam Islam adalah sesuatu yang dinilai menurut kesesuaian fitrah manusia itu sendiri.

Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam hal ini terutamanya dari sudut perhiasan dan pakaian. Berhias untuk kelihatan cantik tidak dilarang dalam Islam. Namun, bentuk perhiasan yang digunakan perlulah diambil perhatian agar ia tidak bertentangan dengan garis panduan yang telah ditetapkan syarak.

Suatu fenomena yang agak membimbangkan berlaku dewasa ini di kalangan lelaki Melayu Islam apabila semakin ramai memakai perhiasan seumpama gelang, rantai leher dan subang. Biasanya tiada alasan yang kukuh untuk pemakaian selain daripada untuk kelihatan cantik, menarik dan lain dari yang lain. Mereka yang menggunakan alasan kesihatan untuk pemakaian pula jarang-jarang sekali dapat mengemukakan hujah yang jelas samada dari segi kesihatan mahupun dari hukum syarak.



Fenomena ini bukan sahaja berlaku di kalangan belia dan remaja, malah juga pada para suami dan bapa yang sudah mempunyai anak. Bukankah perbuatan seumpama ini merupakan tauladan buruk yang mencemar budaya kita malah bercanggah dengan hukum syarak?

Mungkin ada yang berpandangan bahawa tidak salah bagi golongan lelaki untuk memakai gelang dan rantai dari bahan yang bukan emas. Namun amat dikesali kerana pandangan ini sebenarnya lahir daripada mereka yang tidak menyandarkan sesuatu kepada asas ilmu, atau boleh dikatakan juga mereka yang hanya bertaqlid dan mengikut membuta-tuli!

Hukum pemakaian emas bagi lelaki dan memakai perhiasan bukan emas perlu dilihat dari dua sudut yang berbeza. Pertamanya, emas dan sutera sememangnya telah diharamkan bagi golongan lelaki untuk memakainya.

Hukum ini amat jelas dinyatakan dalam banyak dalil hadis, antaranya Saidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata: “Rasulullah SAW mengambil sutera, lalu diletakkan di sebelah kanannya dan mengambil emas lalu diletakkan di sebelah kirinya, lantas baginda bersabda: Kedua-dua ini haram buat orang lelaki dari umatku.” [Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah]. Dalam riwayat Ibnu Majah ditambah sedikit informasi iaitu: “halal bagi orang perempuan.”

Hadis di atas mengharamkan emas untuk orang lelaki, jadi bagaimana pula pemakaian perhiasan seumpama gelang tangan, rantai leher dan subang yang bukan daripada emas?

Dalam hal ini, perlu dirujuk perbincangan mengenai konsep pemakaian perhiasan di dalam ajaran Islam. Islam merupakan agama fitrah, maka ia memberi penekanan kepada penganutnya untuk menjalani kehidupan berasaskan fitrah agar tidak terseleweng daripada jalan kebenaran serta dapat menjalani kehidupan dengan baik dan sempurna tanpa sebarang kecelaruan.

Perhiasan gelang, rantai dan anting-anting adalah fitrah bagi kaum wanita. Justeru, ia dihalalkan bagi mereka tetapi TIDAK kepada kaum lelaki. Bahkan, Rasulullah SAW melalui hadis yang shahih dari Ibnu Abbas telah melaknat golongan lelaki yang meniru golongan wanita dan begitulah sebaliknya, dilaknat golongan wanita yang meniru lelaki (hadis riwayat Imam Bukhari). Peniruan yang dimaksudkan dalam hadis ini termasuklah dari sudut perwatakan, cara berpakaian dan sebagainya.

Justeru, dapat disimpulkan lelaki yang memakai perhiasan seperti gelang tangan, rantai leher dan anting-anting adalah termasuk dalam golongan yang meniru kaum wanita walaupun perhiasan itu bukan daripada emas. Oleh yang demikian, ia adalah HARAM dan wajib dihindari.

Andai kata pemakaian ini mempunyai hujah atau alasan yang kukuh seperti kaedah perubatan yang terbukti, hukumnya mungkin berubah kepada harus atau wajib. Namun perlu diingatkan bahawa kita tidak wajar menyalahgunakan kebijaksanaan yang dikurnia Allah dengan menjadi terlalu 'kreatif' dalam mencari ruang-ruang di celah hukum untuk menjustifikasikan perbuatan kita yang sebenarnya salah!

Jika perkara ini dilihat dari adab kesopanan masyarakat timur serta masyarakat Melayu sendiri, perbuatan ini juga tidak menepati dan bertentangan dengan apa yang diajarkan. Tindakan seumpama ini sebenarnya telah dicedok daripada unsur tidak sihat dari Barat semata-mata. Ianya ditanam saban hari melalui rancangan-rancangan di televisyen, internet serta media cetak supaya kelihatan seperti sesuatu yang biasa dan tidak salah walaupun hakikatnya bukan begitu.

Adakah kita sudah kehabisan sunnah Rasulullah SAW serta budaya kesopanan masyarakat untuk diamalkan sehingga terpaksa meniru budaya Barat? Apakah budaya Islam sudah lapuk, tidak mengikuti perkembangan zaman serta tidak serasi dengan jiwa masyarakat hari ini?

Sebelum fenomena di kalangan lelaki Melayu Islam ini semakin merebak dan parah, sama-samalah kita menanamkan kesedaran agar masyarakat kembali menghayati konsep fitrah dan adab yang baik agar kehidupan lebih bermakna serta mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

Wallahua’lam.

*Diolah dari segmen Adab, Milenia Muslim (Dis 09)

0 comments: