Penyubur Semangat 1: Duta Islam Pertama

on 2:00 AM

Kisah Mus’ab bin Umayr al-Abdari r.a atau Mus’ab al-Khair.

Pada tahun kedua belas kenabian, Rasulullah telah mengadakan Bai’ah Al-Aqabah Pertama dengan dua belas orang lelaki dari Yathrib, yang kemudiannya dikenali Madinah di Aqabah, Mina. Dalam bai’ah itu mereka berjanji untuk tidak mensyirikkan Allah, dan tidak melakukan dosa-dosa seperti mencuri, berzina dan membunuh anak.

Selepas selesai bai’ah ini, Rasulullah SAW mengutuskan Mus’ab bin Umair sebagai ‘duta’ ke Yathrib bersama-sama kumpulan berbai’ah ini. Misinya adalah untuk mengajar orang-orang Islam di sana berkenaan agama Islam, serta untuk menyampaikan risalah Islam kepada mereka yang masih musyrik.

Pengutusan ini amat tepat memandangkan beliau adalah seorang yang berhemah tinggi, mempunyai akhlak yang mulia dan berfikiran tajam. Pengetahuannya yang mendalam tentang al-Quran dan kemampuannya membaca al-Quran dengan begitu indah juga mendorong Rasulullah memilihnya menjalankan amanah yang amat besar itu, walau pun ada sahabat-sahabat lain yang lebih tua dan hampir kepada Rasulllah SAW.

Di Yathrib, Mus’ab menumpang di rumah As’ad bin Zurarah dari bani Khazraj. Mereka berdua menyampaikan Islam dengan penuh bersemangat dan gigih kepada penduduk Yathrib. Mereka pergi ke setiap perkampungan, dan menziarahi rumah ke rumah, juga menghadiri majlis-majlis untuk menyampaikan khabar tentang ajaran Rasulullah, menerangkan tentang Islam dan membacakan al-Quran.

Berkat kegigihan, keberanian dan keyakinan kepada Allah, Mus’ab telah berjaya menyampaikan Islam kepada penduduk Yathrib. Kebijaksanaanya dalam berdakwah telah melembutkan hari dan membuka mata penduduk Yathrib yang selama ini syirik kepada Allah. Hasilnya, ramai dari kalangan bani Aus dan Khazraz, termasuk dari golongan pemimpin mereka yang memeluk Islam.

Antara contoh hebat kejayaannya dalam dalam dakwah ialah kisah usaha dakwahnya di kampung Bani Zafar dan kampung Bani Abdul Asyhal. Pada suatu hari Mus’ab dan As’ad pergi ke sebuah kebun Bani Zafar dan duduk di tebing sebuah perigi yang dipanggil telaga Maraq. Beberapa orang muslimin turut datang berkumpul di situ.

Pada waktu itu dua tokoh besar iaitu Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudair, yang juga ketua kaum Bani Abdul Asyhal, masih belum memeluk Islam. Apabila mereka mendengar berita kehadiran Mus’ab, Saad berkata kepada Usaid: “Pergilah kamu kepada dua orang yang datang hendak memperbodohkan orang-orang kita yang lemah, dan halanglah mereka, serta larangi mereka agar jangan datang ke kampung kita. As’ad bin Zurarah itu adalah sepupuku sebelah ibu. Kalau tidak kerana itu sudah tentu aku sendiri yang akan pergi.”

Mendengar cabaran itu, Usaid terus mengambil tombak dan menuju ke arah mereka. Apabila As’ad melihat kedatangan Usaid, dia berkata kepada Mus’ab: “Orang ini adalah ketua kaumnya. Dia datang kepada mu, maka cuba tanamkan kebenaran agama Allah dalam dirinya:. Kata Mus’ab: “Kalau dia sudi duduk, maka aku akan berbicara dengannya”.

Kemudian Usaid pun sampai dan tercegat di hadapan mereka sambil merungut-rungut. Katanya: “Mengapa kamu berdua datang kemari? Adakah kamu hendak memperbodohkan orang-orang kami yang lemah? Kalau sayangkan diri, maka jauhkan diri dari kami”. Maka Mus’ab menjawab dengan tenang: “Sudikah tuan duduk sebentar untuk mendengar. Kalau tuan puas hati, boleh menerimanya dan kalau tuan tidak senang, tuan boleh halang apa yang tuan tidak senang itu”. Lalu Usaid berkata: “Ini cadangan yang adil.”

Sejurus itu, Usaid meletakkan tombaknya dan duduk. Lantas, Mus’ab mejelaskan tentang Islam dan membacakan beberapa ayat al-Quran. Usaid kelihatan tenang dan berseri-seri mendengar penjelasan Mus’ab. Lalu dia berkata: “Alangkah indah dan cantiknya. Bagaimana kamu lakukan apabila kamu mahu masuk ke dalam agama ini?”. Mereka menjawab: “Mandilah dan bersihkan pakaianmu, kemudian ucaplah syahadah kebenaran dan setelah itu bersolatlah dua rakaat”. Selesai Usaid memeluk Islam dan melakukan seperti yang diminta, beliau berkata: “Di belakang ku ada seorang lelaki. Jika dia sudi mengikut kamu, nescaya tidak seorang pun daripada kaumnya yang akan meminggir diri. Aku akan usahakan supaya dia datang kepada kamu bersua sekarang”. Orang yang dimaksudkan itu ialah Saad bin Muaz.

Dengan kebijaksanaan Usaid, Saad akhirnya pergi sendiri ke tempat perkumpulan itu. Setiba di sana dia merungut-rungut tentang kehadiran Mus’ab dan As’ad. Lantas, Mus’ab memberikan mempersilakannya duduk dan mendengar penjelasan sebagaimana yang dilakukan kepada Usaid. Saad akhirnya sudi mendengar dan akhirnya memeluk Islam. Kejayaan Mus’ab menarik Saad dan Usaid ke arah Islam telah memberikan kesan yang besar kepada dakwah di Yathrib.

Kejayaan ini juga diikuti dengan keIslaman seorang lagi tokoh besar Yathrib iaitu Saad bin Ubadah. Sehinggakan penduduk Yathrib berkata: “Jika Usaid bin Khudair, Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah sudah menerima agama baru, mana mungkin kita tidak ikut jejak langkah mereka? Ayuh, kita pergi menemui Mus’ab dan beriman dengan agamanya”.

Tegasnya, duta pertama Rasulullah SAW ini telah berjaya dalam usaha dakwahnya. Ramai yang memeluk Islam melalui usaha Mus’ab. Baik muda dan tua, lelaki mahu pun wanita dan mereka yang lemah dan yang berkuasa”.

Mus’ab terus menetap di rumah As’ad sambil menyeru penduduk Yathrib kepada Islam, sehingga semua kampung di kalangan orang-orang Ansar itu terdapat di dalamnya ada lelaki dan wanita yang memeluk Islam kecuali di tiga buah kampung sahaja.

Tidak sampai setahun selepas ketibaannya di Yathrib, Mus’ab kembali ke Makkah menjelang musim haji.

Kepulangannya ini membawa berita gembira tentang sambutan penduduk Yathrib. Bahkan sekumpulan tujuh puluh lima muslimin dari Yathrib turut datang menunaikan haji dalam musim berkenaan.

Di Makkah, Muslimin dari Yathrib ini membuat perhubungan rahsia dengan Rasulullah SAW dan mereka bersetuju untuk bertemu di Aqabah bagi melakukan baiah buat kali kedua. Baiah kedua ini mengandungi janji teguh utuk mempertahankan agama Islam dan Rasulullah SAW.

Demikianlah antara hasil kejayaan dakwah Mus’ab Umayr yang gigih memperjuangkan agama Allah SWT. inilah contoh qaedah sulbah yang berjaya Rasulullah didik hingga menjadi jurucakap Baginda dalam meluaskan empayar Islam.

Alangkah beruntungnya Sahabat-sahabat nabi yang bergelar assabiqun al awwalun di permulaan langkah dakwah Nabi. alangkah cemburunya pada mereka yang ditimpa kepayahan dan menghadapi pelbagai mehnah dalam meneruskan perjuangan hingga ke titisan darah terakhir...

0 comments: