Satu

on 6:31 PM

Umum tahu dan sedar dengan keagungan dan kemuliaan al-Quran. Kalau diimbas semula kenangan waktu kecil dulu, paling kurang masing-masing mungkin ada pengalaman dihantar balajar 'mengaji'. Kalau di kampung, biasanya hantar ke pondok ustaz ustazah dengan rotan di tangan. Waktu sekolah rendah, kalau di Selangor ada sesi sekolah petang, atau lebih tepat lagi sekolah agama berbaju putih bersampin/bertudung hijau (kini dah tukar pada kaler merah). Belajar segala macam perkara dalam islam, dari perkara yang penting dan masuk ke dalam kepala, hingga pada perkara kecil yang lama-kelamaan jadi amalan tanpa sedar.

Teringat kisah-kisah di waktu itu, dan cuba bandingkan dengan sekarang?

Waktu untuk 'menjamah' al-Quran semakin kurang. Lambakan buku tebal tepi katil dan atas almari mungkin jadi sebab. Ditambah lagi dengan laptop terpasang 24/7 sepanjang masa, tangan dan jari jemari selalu berlari ke arah mouse dan keyboard, belayar di internet (frenster cthnya) atau terpaku melihat movies dan drama. Oh, ada lagi satu!! Ramai ada masalah terikat dengan TV juga...

Cukup dulu mungkin sebagai permulaan. Peringatan untuk diri sendiri, yang selalu sangat leka.

Sebenarnya mahu berkongsi kisah semalam. Hidup dalam komuniti kecil di Dunedin, buat pertama kali, berkumpul bagi membudayakan al-Quran dalam perjalanan seharian, sambil saling memperingati semua.

Malam minggu (jumaat malam sabtu) biasanya waktu mereka (i.e. Kiwis') bersosial dengan parti mereka. Musik rancak, pub, arak dan tarian jadi pengubat mereka mengisi kekosongan. Bagi yang mengaku muslim dan beriman? Begitukah juga hiburan pengisi ruang hidup?

Semasa al-Quran baru diturunkan, kerana terlalu tinggi bahasa, sastera, nilai, peringatan dan kandungannya, kafir musyrikin Mekah bingung seketika. Bagaimana mahu melawan kekuatan bahasa yang tak terlawan ini? Lalu mereka berkumpul dan berpakat untuk melakukan beberapa perkara bagi menghentikan gerakan nabi ketika itu.

Pertama, mereka berpakat untuk mengatakan al-Quran sebagai sihir yang akan menyihir sesiapa yang mendengarnya. Kata-kata penasihat kaum kafir ketika itu, al-Walid bin al-Mughirah diceritakan Allah dalam surah al-Muddathir;

"Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh. Serta ia berkata: (al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya). Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!" (74:23-25)


Kemudian, langkah keduanya adalah dengan melarang sesiapa sahaja di kalangan mereka daripada mendengar al-Quran. Mereka tidak mahu orang lain mendengar bacaannya, dan tidak mahu ia nya disuarakan dan dikumandangkan. Mereka tidak mahu orang Mekah yang arif lagi faham akan bahasa Arab tersedar dengan ketinggian nilaian dalam al-Quran. Mereka tidak mahu jiwa dan hati terbuka kerana ketukan indah dan cantik yang dibawa itu. Firman Allah dalam surah Fussilat sudah cukup menggambarkan langkah mereka ini.

"Dan orang yang kafir berkata: Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak) supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan dan menenggelamkan suara pembacanya)." (41:26)

Andai dibuka kisah para sahabat, pasti ketemu kisah-kisah mereka yang masyhur memeluk islam setelah mendengar bacaan al-Quran. Contohnya Umar al-Khattab yang terkenal dengan ketegasannya dan kekerasannya sebelum islam, bagaimana bacaan surah Taaha oleh adiknya Fatimah menusuk hatinya hingga tergerak untuk memeluk islam.

Moga kita dapat selalu panjatkan doa dan berusaha supaya tentangan-tentangan pada al-Quran tadi (i.e. nyanyian / jeritan / tepuk sorak / bicara kosong / kejian / umpatan dll...) tidak datang menyerang dan mengalahkan diri kita.

Senang menulis, senang berkata.

Malang tapi;

Malas berkerja, sukar berbicara.

Tali yang menyatukan

on 10:18 PM

Hari minggu lepas semasa dalam satu mesyuarat, berpeluang mendengar cerita dari seorang sahabat yang baru dikenali. Sahabat ini bukan keturunan kiwi mahupun pakeha, tetapi antara minatnya adalah seperti mereka, berjalan mengembara dan mencuba aktiviti-aktiviti lasak yang ada.

Berada dalam sebuah negara yang terkenal dengan keindahan alam dan pelancongan sebagai salah satu sumber ekonomi utama, pelbagai kemudahan dan peluang untuk aktiviti extreme amat mudah didapati.
Yang dimaksudkan extreme di sini adalah aktiviti seperti bungy jumping, water rafting dan paragliding (i.e. nerve-wracking activities) yang dicipta dan direka khas buat manusia zaman kini yang agak 'manja'. Ya, manja! Kenapa dikatakan manja?

Fitrah manusia suka dan selesa berada dalam comfort zone masing-masing. Andai ada cabaran, atau ada sedikit risiko sekalipun, mahu dihapuskannya. Kalau tidak dihapuskan, mahu saja lari daripadanya.

Sebagai contoh, kerana mahu hapuskan risiko penyakit, vaccines dan additional supplements dibekalkan. Mahu keselamatan di rumah dan pejabat terpelihara, CCTV dipasang, bodyguard digaji dan pagar setinggi 3 kaki dibina. Tidak cukup lagi, alarm buat bingitkan telinga dipasang di sekeliling.
Bila satu invention terbina, ada saja penambahan dari masa ke masa. Telefon bimbit dari sebesar botol air kepada sekecil tapak tangan, dari fungsi penting untuk berhubung kepada fungsi sebagai hiburan instant. Memang diri manusia tidak pernah merasa cukup bukan? Dan sudah ketentuan pun yang segala 'binaan' manusia memang pasti akan ada kelemahan, bukan seperti ciptaan Al-Khaliq, Yang Maha Mencipta, yang sentiasa sempurna dan terpelihara.

Maka kesan daripada berada dalam suasana 'aman dan selesa' tadi lah yang membuatkan manusia manja. Hidup sudah terlalu senang dan mudah. Bercita-cita semuanya mahu dalam satu remote control di tangan.
Andai berhajatkan sesuatu, klik saja dan ia pasti datang. Mahu ayam golek, zupp... terus muncul di depan mata. Mahu ada pelayan atau robot buatkan kerja-kerja. Mahu keliling dunia tanpa perlu bersusah payah menjinjing beban galas dan mahu tidak ada beban atau tanggungjawab yang mencarik-carik minda.

Bukan mahu katakan TIDAK pada usaha-usaha penambahbaikan, jauh lagi dari mahu menentang deras pemodenan dan pembangunan. Tiada ada salahnya semua usaha itu, andai manusia sedar bumi yang dipijak itu cuma pinjaman seketika waktu.
Kerana jika kesedaran yang disertai dengan tindakan itu ada, dan maka segala usaha itu matlamatnya jadi satu. Iaitu buat mendekatkan diri dan mencari redhaNya semata.

Muslim yang sebenar juga tidak akan jadi manja kerana dia sedar yang perjalanan masih jauh, dengan ribuan liku dan duri di hadapan. Kita punya banyak pilihan dalam perjalanan. Bila berdepan liku, samada mahu tinggalkan atau betulkan. Bila tercucuk duri, dicabut, dibuang dan perjalanan diteruskan.

Ada yang fokusnya di liku satu, ada yang fokusnya di liku dua, tiga dan seterusnya. Bila semuanya bersatu, subhanallah, maka terserlah sirna keindahan dan syumulnya islam.

(aahh, sudah terlalu jauh menyimpang dari topik...)

Berbalik pada cerita sahabat tadi, yang mencetus idea jari-jari ini menari kembali.

Cerita tentang pengalamannya menyeberang sebatang sungai yang dalam lagi deras, tanpa tali mahupun jambatan, dengan air terjun beberapa meter di hadapan. Bukan di bawah air terjun, tapi di atas. Bermakna andai kalah dengan deruan air, dibawa arus, akan terus terjun ke bawah, ke atas batu-batu keras bersama-sama air. Bagai situasi memilih antara hidup atau mati...

Jadi untuk ke seberang sungai itu, dia dan sahabat2nya membentuk tali manusia dengan saling berpegangan tangan. Bermula dari satu seberang, seorang demi seorang turun ke dalam sungai sambil berpaut pada tangan sahabat di kiri kanan. Bila orang terakhir sampai di seberang yang lain dan sudah dapat berpaut pada punca yang kukuh, orang yang pertama tadi mula bergerak pada 'tali' tadi dengan cara yang sama dan diikuti oleh orang2 yang seterusnya.

Menakutkan dan mencabar diri, kerana andai salah seorang terlepas pegangan, maka yang lain akan turut ditarik sama terjun ke bawah.

Situasinya itu memberikan satu analogi mudah buat manusia berfikir, tentang tali yang menjadi pegangan. Tali yang menyatukan.

Kebanyakan manusia berpegang pada tali yang berasaskan aliran darah, kerana ia mudah dan nampak jelas di mata. Ada yang berpaut pada tali yang dibina kerana persamaan minat atau cita-cita, yang menjadi sebab pelbagai persatuan atau kelab terbentuk. Ada juga tali yang dicipta kerana kepentingan ekonomi, pengaruh, kuasa dan sebagainya.

Islam datang dengan satu hakikat dan konsep baru dalam pembentukan 'tali' yang menyatukan ini. Ia dibina bukan atas dasar aliran darah, malah bukan atas dasar persamaan dalaman (e.g. minat / cita2) mahupun luaran (e.g. fizikal / bangsa). Tetapi ia dibina dengan tautan kalimah tauhid La ila ha illallah.



Tali itulah yang menyatukan kaum muhajirin dan ansar. Tali itu jugalah yang mempertemukan Bilal dari Habsyah, Salman dari Parsi dan Suhaib yang berbangsa Romawi. Tali itu jugalah yang menjadi bukti pada termeterainya Perjanjian Aqabah 1 dan 2. Kerana tali itu juga, ahlu Badr seramai 313 orang itu sanggup menentang tentera kuffar walaupun di kalangan mereka ada sanak saudara dan ahli keluarga mereka sendiri.

Lihat saja contoh Abu Ubaidah Al-Jarrah, antara sahabat terawal masuk islam, berperang bermati-matian dan sanggup membunuh bapanya sendiri, Abdullah ibn Al-Jarrah.

Kerana tali yang sama itu, negara madinah bukan sekadar dipandang pada tanah dan airnya, tetapi pada penduduknya yang muslim, mu'min dan bersaudara. Islam bukan pada sebutan lidah atau pada negeri kelahiran, tetapi pada hati yang subur dengan keimanan dan ketakwaan.

Sirah nabi-nabi terawal juga memperlihatkan perkara yang sama. Isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh dipisahkan dari suami masing-masing dan diazab kerana perbezaan tauhid ini.

Asiah, isteri Firaun beroleh kebahagiaan dengan keimanan walaupun di sisinya seorang raja yang durhaka secara mutlak dengan Allah dan rasulNya.

Nabi Ibrahim berpisah dengan ayahnya serta kaumnya.

Para pemuda Ashabul Kahfi juga menguzlahkan diri mereka dari masyarakat kerana perbezaan pada tali yang dipegang oleh mereka.

Sungguh kisah-kisah dalam al-Quran ini jadi peringatan dan pengajaran pada kita manusia. Apalah ada pada cinta manusia, hubungan darah, rumahtangga pabila iman dihayati dan menjadi perentak pada nadi dalam diri. Rupa bangsa muslim itu adalah akidah yang menjadikannya berhak sebagai seorang anggota dalam ummat islam.

Sungguh-sungguh islam itu amat berat penekanannya pada nilai kesatuan dan luas ajarannya pada nilai patriotisma. Kesatuan dan patriotik yang dituntut pada negara yang sempadannya pada ucapan syahadah dan pusat pentadbirannya pada kalimah tauhid.

Moga kita kembali bersama-sama, menggenggam erat pada tali yang menyatukan ini.



"dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama islam) dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat islam). Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara..." [3:103]

Bukalah...

on 11:26 AM

Bila bercakap soal hidayah atau petunjuk, hati biasanya dikaitkan secara langsung. Kerana berpunca dari hati segalanya jadi bukti lahiriah, bukti yang dapat dilihat pada mata kasar. Bukti seperti amalan, perbuatan dan percakapan.

Apa yang ada di hati bukan sesuatu yang boleh dinilai dan disukat sepintas lalu. Ia dibina dan dibentuk dengan kesabaran dan ketaatan, dan ia berlalu mengikut masa dan perubahan. Persoalan pemikiran, mentaliti atau sikap (apa jua istilah yang digunakan..).

Syukur kerana semakin ramai yang melaung dan menyahut seruan perubahan, moga dipimpin dalam usaha-usaha ini dan mohon dijauhkan juga dari terpesong dalam mengikut arus perubahan yang semakin deras.

Ramai yang menanti untuk berubah, berharap untuk berubah dan ingin sekali untuk berubah. Ramai juga yang berusaha untuk berubah dan ada juga yang berusaha untuk terus berubah. Pening membacanya kerana terlalu banyak bahasa dan istilah??? =)

[[ Fikir dari segi definisi bahasa dan istilah, teringat kisah mendefinisikan kedai kopi di kampung. fikir maksudnya dari bahasa; (kedai=tempat menjual barang) + (kopi=sejenis minuman berwana hitam). Andai ada orang asing berkunjung, pasti pelik bila diterjemah 'makan di kedai menjual minuman' atau 'lepak di tempat menjual kopi'. Definisi istilah bukan hanya perlukan bahasa, ia perlukan ilmu, ia perlu dilihat dengan mata kepala dan ia perlu pemahaman tentang budaya... ]]

Dalam bahasa mudah, semua manusia sentiasa berubah. Itu fitrah ciptaan Maha Kuasa, kerana manusia diberi kuasa membuat pilihan dalam hidup. Isu yang ingin direnungkan, mengapa berubah? Kerana emosi atau kerana ilmu dalam diri? Emosi mungkin datangnya dari keluarga, harta, kedudukan, hatta dari 'comfort' dalam diri. Emosi mungkin lahir kerana memberontak dan ia lahir juga bila perasaan rasa dirobek walaupun tidak nampak pada pandangan.

Pengertiannya bukan sekadar rasa marah dan benci yang membuak, kerana kesedihan dan rasa serba cukup termasuk dalam emosi juga. Sejarah membuktikan, banyak perubahan lahir atas kesedihan dan kesengsaraan. Perubahan juga bercambah bila kuasa di tangan bertambah dan diri makin tinggi di kaca mata masyarakat. Perubahan-perubahan ini mendapat tempat, tidak ditolak kerana fitrah manusia tadi. Sesuatu yang baru dan panas, pantang dipandang sebelah mata. Ada saja yang menjamahnya dan ada juga lantang menghentamnya. Kerana ia satu benda baru, (dan juga benda hampir basi yang dihangatkan semula...) masing-masing ingin meletakkan nama atau sumbangan mereka sebelum yang hangat tadi sejuk semula.

"Bagus! Prihatin dan berjasa akhirnya.." (berkata-kata pada diri sendiri dan hati masing-masing pun lega..)

Yang mencetus perubahan kerana ilmu, hatinya terbuka dahulu sebelum mata dan telinga. Terbukanya hati itu dengan izin Maha Kuasa. Ia bukan terbuka kerana rajin membaca kitab atau kerana sering mendengar kuliah agama. Keduanya itu usaha.
Berusaha itu memang perlu, malah dituntut. Kalau sekadar menunggu di bawah pokok dan mengharapkan buah gugur ke tanah, silap-silap dari jatuh ke tanah buahnya jatuh atas kepala. Biar otak yang beku dan hanya menunggu serta berharap itu berubah dari static kepada sesuatu yang lebih dynamic.

Untuk melahirkan kekuatan "melihat dunia dengan pandangan iman", hati dan minda perlu dibuka. Buka seluas-luasnya dan biar akidah jadi tapisan. Hati dibuka dengan doa dan amalan, disinarkan dengan akhlak dan perbuatan. Minda dibuka dengan didikan dan pembacaan, disuluh dengan rujukan dan panduan.

Wahyu pertama diturunkan sebagai peringatan dan tanda pentingnya pembacaan dan pena dalam penyebaran ilmu, dan sumber ilmu tidak lain tidak bukan dari Maha Mengetahui. Semua ilmu samada yang lepas, kini mahupun akan datang sumbernya hanya Dia. Kita boleh membeli buku-buku dan membacanya, tetapi akhirnya pemahaman, kesedaran dan tindakan hanya datang jika diizinkan Dia.
Seperti bila melentokkan kepala ke bantal, tanpa izinNya kita tidak akan dapat melelapkan mata. Dan bila menjamah makanan, tanpa izinNya kita tidak akan hilang rasa lapar dan puas dengan makanan yang dimakan.

Kata Syed Qutub dalam menghuraikan wahyu pertama tadi, "Everything starts, works and moves in His name. He is the One Who creates, originates and teaches. Whatever man learns and experiences, and knowledge he acquires come originally from Allah. He has taught man what he did not know."

Ilmu tidak datang andai masa senggang antara kuliah diisi dengan gelak ketawa dan gurauan, masa lapang di hari minggu diisi dengan lena yang asyik di bilik, masa rehat di habiskan dengan berhibur. Minda tidak terbuka andai pembacaan isu semasa terhad kepada akhbar NST atau Utusan, atau lebih teruk hanya membaca akhbar picisan seperti Harian Metro dan Ikon. Minda tidak berkembang andai laman web yang sering dilawati hanya Friendster dan YouTube. Minda tidak terdidik secukupnya jika buku yang ditatap hanya novel cinta melayu dan buku-buku teks tebal untuk ke kuliah.

Seperti itu juga, hati tidak cukup terdidik hanya dengan ibadat wajib dan solat sunat raya 2 kali setahun. Hati juga tidak dapat bertahan dalam dunia yang penuh asakan ini andai benteng dibina hanya bila di masjid atau majlis-majlis agama.

Biarlah iman senipis kulit bawang sekalipun, insyaallah jika ada harapan yang tinggi, usaha berterusan, doa serta tawakal, perubahan yang bermula dengan diri, seterusnya masyarakat dan ummat akan berlaku.

Peringatan juga untuk diri dan sahabat-sahabat, sementara ada masa sebelum hari terakhir tiba dan buku amalan dibuka dan dibaca. Firman Allah:

"(It will be said to him) Read your book. You yourself are sufficient as a reckoner against you this Day."
[Al-Isra 17:14]

Syarah Ibnu Kathir; this ayat means that "you have not been treated unjustly and nothing has been recorded against you except what you have done, because you remember everything that you have done, and no one will forget anything that he did. Everyone will be able to read his Book, whether he is literate or illiterate."



"Iqra" bererti bacalah, berasal dari perkataan "qaraa" bererti membaca. Dan "al-muqri" juga asalnya dari perkataan yang sama, yang membawa erti orang yang membaca. Ya, dari segi bahasanya membaca. Tetapi dari istilah dan falsafah yang dibawanya menuntut supaya ilmu itu dicari dan disebarkan.

Menekankan supaya ilmu itu difahami dan diamalkan. Kita tidak mahu sekadar menjadi seorang pembaca biasa. Andai mendengar, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Andai membaca pula seperti membaca dengan mata dan memadamkannya selepas beberapa kerlipan. Input hanya sekadar di mata, tidak sampai ke otak dan lebih parah kerana tidak jatuh ke hati.

Kesudahannya? Pasti output nya, i.e. akhlak, amalan dan tindakan, tidak ada. Dalam hadith Nabi sendiri telah berpesan tentang bahaya sekiranya berada dalam kelompok ini. Na'uzubillahi min zalik..


“Sesungguhnya engkau berada pada satu zaman yg didapati banyak fuqaha' (org2 yg faham al-Quran) dan sedikit pula qara'nya (org2 yg pandai membaca ayat-ayatnya) tetapi hudud al-Quran (larangan-larangannya) tetap dipeliharanya sedangkan hurufnya tidak pula sangat diwajibkannya. Sedikit orang yg meminta, banyak orang yg memberi. Mereka memanjangkan solat dan memendekkan khutbah. Mereka memulakan saja amal-amal mereka sebelum percakapan mereka.

Dan akan datang satu zaman kepada manusia yg didapati sedikit sekali fuqaha'nya, banyak pula qara'nya, dipelihara benar huruf-hurufnya tetapi disia-siakan hududnya. Banyak orang yg meminta, sedikit org yg memberi. Mereka memanjangkan khutbah, memendekkan solat.
Mereka mulai menurut kemahuan2 mereka sebelum melakukan amal-amal mereka.”

[Hadith dari Ibn Mas`ud dari dalam kitab al-Muwatta’]

Moga sentiasa dalam perlindungan dan kerahmatan.
Wallahua'lam..

38 Wajibat

on 7:40 AM

Menerusi blog ini, kita berharap dapat membentuk kefahaman mengenai Islam yang syumul (menyeluruh) dan sedikit sebanyak gambaran Jalan yang harus kita lalui dalam menuju kepada keredhaan Ilahi dan kebahgiaan di dunia dan Akhirat.

Namun, kita masih berlegar-legar dalam mendapat hanya gambaran Jalan tesebut. Kita tidak akan ke mana kecuali kita menempuh atau melalui Jalan itu sendiri. Menempuh Jalan adalah dengan memahami Usul 20, Amal 7, Wajibat 38 dan seterusnya yang akan saya bentangkan.

Ingat, medan khayal tidak sama dengan medan kata-kata. Medan kata-kata tidak sama dengan medan amal dan tindakan. Medan amal tidak sama dengan medan jihad. Medan jihad yang salah tidak sama dengan medan jihad yang sebenar yang menuju ke matlamat yang dikehendakki Allah dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Wajibat adalah plural kepada “wajib” bererti kewajipan-kewajipan. Ia bermakna kewajipan-kewajipan yang harus kita lakukan di sepanjang kita melalui atau menempuh Jalan Dakwah dalam menuju kepada Allah swt. Kekurangan atau kepincangan dalam melaksanakannya sering menyebabkan seseorang tergelincir menyimpang dari Jalan sebenar atau berada di dalam Jalan tetapi berhenti di pertengahannya sahaja. Dalam kedua-dua hal di atas, kesudahannya ialah dia tidak kesampaian ke hujung Jalan.

TAJUK-TAJUK WAJIBAT 38
  1. Bacalah Al-Quran setiap hari dan baikilah cara bacaan kita.
  2. Banyakkan membaca buku-buku Seerah, Hadis, Aqidah, Feqah dan lain-lain.
  3. Jagalah kesihatan.
  4. Jauhi minuman dan merokok yang boleh menjejas kesihatan.
  5. Sentiasa berada dalam kebersihan.
  6. Jangan bercakap bohong.
  7. Jangan memunkiri janji.
  8. Jadilah seorang yang berani.
  9. Jaga hemah diri untuk orang boleh menghormati.
  10. Hiasi diri dengan sifat malu, tawadhuk, sensitif terhadap baik dan buruk.
  11. Jadilah seorang yang adil dalam semua keadaan.
  12. Aktifkan diri dalam kerja-kerja khidmat masyarakat.
  13. Milikilah sifat-sifat yang dengannya kita disenangi orang ramai.
  14. Mahir dan banyakkan membaca dan menulis.
  15. Berniaga sendiri adalah sifat yang mulia bagi pendakwah.
  16. Bekerja sendiri lebih baik untuk Dakwah dari makan gaji kerajaan.
  17. Setiap kita mesti cemerlang dalam apa bidang atau pekerjaan yang diceburi.
  18. Bersegera menunaikan hak-hak diri dan orang lain tanpa berlengah-lengah.
  19. Jauhi judi dan segala aktiviti pendapatan wang yang haram.
  20. Jauhi riba.
  21. Bantu tingkatkan ekonomi umat Islam.
  22. Peruntukkan sebahagian wang kita untuk Dakwah dan orang yang memerlukan.
  23. Buat tabungan wang untuk kecemasan dan jauhi bermewah dalam berbelanja.
  24. Praktikkan budaya Islam menggantikan budaya Barat yang dipakai orang ramai.
  25. Jauhkan diri dari kelab dan ideologi yang jauh dari Islam.
  26. Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan sunat dan nawafil.
  27. Sentiasa dalam keadaan bersuci.
  28. Solat dengan sempurna, secara berjemaah di surau atau masjid.
  29. Tunaikan puasa Ramadan dan Haji tanpa lengah jika telah mampu.
  30. Sentiasa rindu Jihad, mati syahid dan membuat persiapan untuknya.
  31. Selalu bertaubat dan istighfar. Jauhi dosa dan muhasabah diri setiap hari.
  32. Berjihad melawan nafsu sehingga kita dapat memimpinnya.
  33. Jauhi arak dan apa yang memabukkan.
  34. Jauhi orang yang jahat dan rosak serta sarang-sarang maksiat dan dosa.
  35. Tinggalkan sikap berpoya-poya dan bermewah-mewah.
  36. Saling berkenalan dan bantu membantu dengan pendokong-pendokong Islam.
  37. Jauhi badan atau kumpulan yang sia-sia.
  38. Sentiasa berfikir dan berusaha menjayakan Dakwah Islam dalam masyarakat.

Usul 20

on 7:00 AM

Menerusi blog ini, kita berharap dapat membentuk kefahaman mengenai Islam yang syumul (menyeluruh) dan sedikit sebanyak gambaran Jalan yang harus kita lalui dalam menuju kepada keredhaan Ilahi dan kebahgiaan di dunia dan Akhirat.

Namun, kita masih berlegar-legar dalam mendapat hanya gambaran Jalan tesebut. Kita tidak akan ke mana kecuali kita menempuh atau melalui Jalan itu sendiri. Menempuh Jalan adalah dengan memahami Usul 20, Amal 7, Wajibat 38 dan seterusnya yang akan kita bentangkan.

Ingat, medan khayal tidak sama dengan medan kata-kata. Medan kata-kata tidak sama dengan medan amal dan tindakan. Medan amal tidak sama dengan medan jihad. Medan jihad yang salah tidak sama dengan medan jihad yang sebenar yang menuju ke matlamat yang dikehendakki Allah dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

TAJUK-TAJUK USUL 20

1. Islam adalah agama yang menyeluruh dan lengkap.

2. Al-Quran dan As-Sunnah adalah rujukan asas dalam perundangan Islam.

3. Iman sejati, ibadah yang sah dan perjuangan mempunyai cahaya dan kemanisan di dalam hati. Ilham, lintasan hati, mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum Agama.

4. Tangkal, jampi selain ayat Al-Quran dan Hadis serta mendakwa tahu hal ghaib (yang belum berlaku) adalah munkar yang wajib dibenteras.

5. Keputusan pimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahat, yang tiada nas atau ada nas tetapi mempunyai berbagai tafsiran.

6. Kata-kata seseorang selain Rasulullah saw tidak semestinya betul dan diterima.

7. Seorang yang belum pakar dalam Feqah, ikutlah salah satu dari 4 Mazhab tanpa taksub. Terimalah pandangan mazhab lain jika dalilnya lebih kuat.

8. Perbezaan dalam Feqah jangan membawa kepada perpecahan hati.

9. Jauhi perdebatan Feqah yang tidak membawa kepada tindakan amali.

10. Kita beriman kepada Ayat-ayat Sifat tanpa menafsir atau menolaknya.

11. Semua Bid’ah yang tiada asas Syarak adalah munkar yang wajib dibenteras.

12. Bid’ah Idafiah, Bid’ah Tarkiah, Bid’ah Iltizamiah adalah khilaf ulamak.

13. Keramat boleh berlaku pada Wali-wali Allah, namun mereka tidak boleh memberi menfaat atau mudharat kepada diri mereka, apatah lagi kepada orang lain.

14. Ziarah kubur adalah sunnah Rasulullah saw. Jangan dicampur dengan Bid’ah.

15. Tawassul dalam berdoa adalah khilaf ulamak dan bukan dalam masalah Aqidah.

16. Dalam mengeluarkan hukum, Syarak merujuk kepada intipati sesuatu perkara dan bukan nama yang dipakai orang ramai. Contoh “Faedah Bank”.

17. Amal hati lebih utama dari amal anggota. Kedua-duanya penting.

18. Islam mengangkat peranan akal manusia.

19. Tiada pertembungan diantara Syarak dan ilmu Sains yang sahih.

20. Kita tidak mengkafirkan orang Islam melainkan dengan syarat-syarat yang ketat.

10 Peribadi Muslim

on 7:00 AM

Al-Qur'an dan Sunnah merupakan dua pusaka Rasulullah Saw yang harus selalu dirujuk oleh setiap muslim dalam segala aspek kehidupan. Satu dari sekian aspek kehidupan yang amat penting adalah pembentukan dan pengembangan peribadi muslim. Peribadi muslim yang dikehendaki oleh Al-Qur'an dan sunnah adalah peribadi yang soleh, peribadi yang sikap, ucapan dan tindakannya terwarnai oleh nilai nilai yang datang dari Allah Swt.

Persepsi masyarakat tentang peribadi muslim memang berbeza-beza, bahkan banyak yang pemahamannya sempit sehingga seolah-olah peribadi muslim itu tercermin pada orang yang hanya rajin mendirikan Islam dari aspek ‘ubudiyyah, padahal ia hanyalah salah satu dari aspek yang harus lekat pada peribadi seorang muslim.

Oleh kerana itu standard peribadi muslim yang berdasarkan Al-Qur'an dan sunnah merupakan sesuatu yang harus dirumuskan, sehingga menjadi acuan bagi pembentukan peribadi muslim. Bila disederhanakan, sekurang-kurangnya ada sepuluh ciri khas yang harus ada pada peribadi muslim.

1. Salimul ‘Aqidah
Aqidah yang sejahtera (salimul aqidah) harus ada pada setiap muslim. Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah Swt dan dengan ikatan yang kuat itu dia tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan-ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang ertinya:
'Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam' (QS 6:162).
Kerana memiliki aqidah yang salim adalah sesuatu yang amat penting, maka dalam da'wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah SAW mengutamakan pembinaan aqidah, iman dan tauhid.
· Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
· Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
· Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhah.

2. Shahihul Ibadah
Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul Saw yang penting, dalam satu haditsnya; beliau menyatakan:
'shalatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku shalat.'
Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap ‘ibadah, seorang muslim haruslah merujuk kepada sunnah Rasul SAW, bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.
· Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
· Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
· Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

3. Matinul Khuluq
Akhlaq yang mantap (matinul khuluq) atau akhlaq yang mulia merupakan sikap dan perilaku yang harus dimiliki oleh setiap muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah mahupun dengan
makhluk-makhluk-Nya. Dengan akhlaq yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apalagi di akhirat. Kerana begitu penting memiliki akhlaq yang mulia, maka Rasulullah SAW telah diutus untuk menjadi qudwah hasanah untuk sekalian ummat Islam. Baginda sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaqnya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah di dalam Al-Qur'an, Allah berfirman yang artinya:
'Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung' (QS 68:4).
· Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
· Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.

4. Qowiyyul Jismi
Kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani berarti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimal dengan fizikalnya yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan tubuh badan yang sehat dan kuat, apalagi perang di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya. Oleh karena itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada perubatan. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi, dan jangan sampai seorang muslim berterusan sakit. Rasulullah SAW bersabda yang artinya:
'Mu'min yang kuat lebih aku cintai daripada mu'min yang lemah' (HR. Muslim).
· Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
· Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.
· Pesanan al-Banna: Memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riyadhah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.

5. Mutsaqqoful Fikri
Intelek dalam berpikir (mutsaqqoful fikri) merupakan salah satu sisi pribadi muslim yang penting. Karena itu salah satu sifat Rasul adalah fatonah (cerdas) dan Al-Qur'an banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berpikir, misalnya firman Allah yang artinya:
Mereka bertanya kepadamu tentang, khamar dan judi. Katakanlah:pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.' Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: 'Yang lebih dari keperluan.' Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berpikir (QS 2:219).
Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang harus kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan aktivitas berpikir. Karenanya seorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Bisa kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu. Oleh karena itu Allah mempertanyakan kepada kita tentang tingkatan intelektualitas seseorang sebagaimana firman-Nya yang ertinya:
Katakanlah:samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran (QS 39:9).
· Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
· Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
· Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
· Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

6. Mujahadatun Linafsihi.
Setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada bilamana seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsunya sendiri. Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus ditundukkan sedaya upayauntuk patuh pada ajaran Islam, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam) (HR. Hakim).
· Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
· Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
· Dai mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

7. Harishun 'ala Waqtihi.
Pandai menjaga waktu. Hal waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah Swt banyak bersumpah di dalam Al-Qur'an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya. Allah Swt memberikan waktu kepada individu manusia dalam jumlah yang sama, 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tak sedikit manusia yang rugi. Karena itu tepat sebuah mutiara kata yang menyatakan: 'Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.' Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi. Oleh itu setiap muslim amat dituntut untuk meguruskan waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tak ada yang sia-sia. Antara yang ditekankan oleh Nabi SAW adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.
· Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
· Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
· ..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.

8. Munazhzhamun fi Syu'unihi.
Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk kepribadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur'an maupun sunnah. Oleh karena itu dalam hukum Islam, baik yang terkait dengan masalah ubudiyah maupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya. Dengan kata lain, suatu urusan dikerjakan secara profesional, sehingga apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian darinya. Bersungguhsungguh, bersemangat dan berkorban, adanya kontinyuitas dan berbasih ilmu pengetahuan merupakan diantara yang mendapat perhatian secara serius dalam menunaikan tugas-tugasnya.
· Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
· Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

9. Qodirun 'alal Kasbi.
Memiliki kemampuan untuk berusaha sendiri adalah ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilaksanakan bilamana seseorang memiliki kemampuan, terutama dari segi ekonomi. Tak sedikit seseorang mengorbankan prinsip pegangannya kerana tidak memiliki kekuatan dari segi ekonomi. Kerana itu pribadi muslim tidaklah mesti miskin. Seorang muslim boleh saja kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia boleh menunaikan haji dan umroh, zakat, infaq, shadaqah, dan mempersiapkan masa depan yang baik. Perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Qur'an maupun hadith dan hal itu memiliki keutamaan yang sangat tinggi.
· Walaupun kaya, perlu bekerja.
· Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.
· Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.
· Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
· Menjauhi riba dalam semua lapangan.
· Menyimpan untuk waktu kesempitan.
· Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
· Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

10. Naafi'un Lighoirihi.
Bermanfaat bagi orang lain (naafi'un lighoirihi) merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim. Manfaat yang dimaksudkan tentu saja manfaat yang baik sehingga dimanapun dia berada, orang disekitarnya merasakan keberadaannya karena dia bermanfaat besar. Maka jangan sampai seorang muslim adanya tidak menggenapkan dan tidak adanya tidak mengganjilkan. Ini bererti setiap muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berupaya semaksimumnya untuk bermanfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai seorang muslim itu tidak memainkan peranan yang baik dalam masyarakatnya. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain (HR. Qudhy dari Jabir).
Demikian secara umum cirri-ciri seorang muslim yang disebutkan dalam Al-Qur'an dan hadith, sesuatu yang perlu kita jadikan kayu ukur pada diri kita masing-masing.
· Da’i umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
· Da’i adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada da’i.
· Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
· Da’i merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Amal 7

on 7:00 AM

Menerusi blog ini, kita berharap dapat membentuk kefahaman mengenai Islam yang syumul (menyeluruh) dan sedikit sebanyak gambaran Jalan yang harus kita lalui dalam menuju kepada keredhaan Ilahi dan kebahgiaan di dunia dan Akhirat. Namun, kita masih berlegar-legar dalam mendapat hanya gambaran Jalan tesebut. Kita tidak akan ke mana kecuali kita menempuh atau melalui Jalan itu sendiri.

Menempuh Jalan adalah dengan memahami Usul 20, Amal 7, Wajibat 38 dan seterusnya yang akan saya bentangkan. Ingatlah, medan khayal tidak sama dengan medan kata-kata. Medan kata-kata tidak sama dengan medan amal dan tindakan. Medan amal tidak sama dengan medan jihad. Medan jihad yang salah tidak sama dengan medan jihad yang sebenar yang menuju ke matlamat yang dikehendakki Allah dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Meneliti Seerah Rasulullah saw, kita jelas mendapati jalan perjuangan dan fasa-fasa yang dilalui oleh Baginda saw dan para Sahabat ra seperti yang diatur oleh Allah swt. Sebaik turun dari Gua Hirak pada 610M, Nabi saw mula membentuk:

(1) Peribadi-peribadi Islam yang bakal mendokong Dakwah Islam dan teguh melalui jalan panjang hingga mencapai matlamatnya. Setiap sahabat pula mendidik keluarga masing-masing hingga menjadi

(2) Keluarga Islam sejati lagi mithali. Kesemua isteri dan anak-anak Nabi saw seperti Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah mendokong Risalah dan melalui Jalan yang dilalui Baginda saw. Begitu juga Abu Bakar As-Siddiq didokong oleh isteri dan anak-anaknya Abdullah, Abdur Rahman, Aisyah, Asma' dan lain-lain. Tumbuhnya keluarga-keluarga Islam ini mewarnai dan mencorak suasana dan didikan Islam di sekitar, maka lahirlah bibit sebuah

(3) Masyarakat Islam di Mekah sebelum mereka diperintah oleh Allah dan RasulNya saw untuk berhijrah ke Madinah pada tahun 622M membentuk sebuah

(4) Kerajaan Islam dibawah pimpinan Rasulullah saw sendiri. Di Madinah, turun ayat-ayat Al-Quran mengenai Perundangan Islam sedikit demi sedikit menyentuh dan mengatur dari kehidupan ibadah dan sosial kepada hal ehwal berkait dengan kenegaraan dan Jihad (kekuatan dan kedaulatan) sehinggalah sempurna ciri-ciri sebuah

(5) Negara Islam di Madinah. Selepas Pembukaan Mekah pada tahun 630M, kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Arab datang berbondong-bondong ke Madinah mengiklankan penggabungan ketua negara, kerajaan dan rakyat masing-masing di bawah Rasulullah saw dan berterusan ke zaman Abu Bakar As-Siddiq ra membentuk

(6) Khilafah Islam. Pada masa itu, kuasa besar masih di tangan Kerajaan Rum dan Kerajaan Parsi. Selepas Rasulullah saw wafat (632M), Islam mengalahkan kedua-dua Kuasa Besar tersebut di zaman Umar Al-Khattab ra. lalu Islam ditabal

(7) Memimpin Alam Sejagat dan terus membimbingnya dengan Sistem Islam ke arah mendapatkan Syurga dan keredhaan Allah swt.

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada umat Islam dan dunia), ‘Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah (jalan) aku, nescaya kamu akan dicintai Allah dan Dia ampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran;31).

Kepada mereka yang mencintai Allah dan berazam menuju kepadanya Seerah RasulNya itulah jalan menuju kepadaNya. Berusaha dan beramallah melalui Jalan dan fasa-fasa di bawah :

TAJUK-TAJUK RUKUN AMAL 7

1) Peribadi Islam
2) Keluarga Islam
3) Masyarakat Islam
4) Kerajaan Islam
5) Negara Islam
6) Khilafah Islam
7) Memimpin Alam