Berkongsi Buku

on 8:41 PM


Baru semalam berakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KL International Book Fair - KLIBF) di PWTC. Kini masuk 5 tahun berturut-turut saya terlepas dari pesta buku ini. Rasa terlalu lama, kali terakhir memori tahun 2005 pun sudah hampir padam.

Satu-satunya buku yang sampai pada saya kali ini dari KLIBF, adalah buku novel "Denyut Kasih Medik", yang mengisahkan tentang perjalanan dan perjuangan seorang doktor 'houseman' yang baru memulakan tugas di sebuah hospital di Malaysia. Sepetang saya habiskan untuk mengkhatamkan novel ini. Sangat sarat dengan kisah-kisah pengalaman, juga dengan ilmu-ilmu fikah perubatan Islam yang sangat penting samada anda bergelar doktor atau tidak. Tidak hairan salah satu komen dari pengulas buku ini mencadangkan supaya ia dibaca oleh setiap bakal doktor, pesakit juga staff di hospital supaya dapat memahami bagaimana syariat Islam sepatutnya diamalkan dalam suasana di hospital atau klinik kesihatan.

Saya asalnya bukanlah seorang 'ulat buku'. Teringat semasa di darjah 3, saya dilantik sebagai pengawas perpustakaan oleh guru di sekolah. Atas dasar apa lantikan itu saya tidak tahu, kerana kalau diikutkan, saya bukanlah 'pelanggan' tetap pustakaan. Diberi jawatan sebagai pustakawan, seingat saya sepanjang tahun itu tidak sampai tiga kali sahaja saya singgah di perpustakaan untuk menunaikan tugas menjaga kaunter dan mengemas buku-buku. Waktu-waktu lain saya lebih suka mengelak dan bermain di padang sekolah.

Mengurus Diri, Manusia, Organisasi

on 7:14 PM

Dihantar ke kawasan pedalaman, seoalah-olah satu mimpi ngeri untuk bakal-bakal doktor dan guru di Malaysia. Antara yang pertama terbayang di fikiran adalah menaiki perahu panjang, tinggal di pondok kecil, berbasikal atau berjalan kaki ke tempat kerja dan berkerja di dalam serba serbi kekurangan.

Namun apabila bercakap tentang kawasan pedalaman di New Zealand, ia tidak sama dengan kawasan pedalaman di Malaysia. Jalanraya berturap, internet, elektrik, pasaraya kecil, khidmat kesihatan dan pendidikan masih lagi mudah didapati dan berada pada tahap yang sangat baik.

Hidup di pekan-pekan kecil ini tidak sama seperti hidup di bandar-bandar besar. Seperti di atas, secara fizikalnya saya yakin semua orang boleh senaraikan, bermula dari bangunan bertingkat-tingkat sehinggalah ke keluasan jalanraya dan kawasan perumahan. Namun bagaimana dengan perbezaan mentaliti atau pemikiran? Juga akhlak dan tingkah laku?


Selesai lima minggu saya dihantar ke pedalaman New Zealand untuk "Rural GP attachment" di South Canterbury. Setiap pagi berulang alik ke klinik-klinik kecil sekitar Geraldine, bertemu pelbagai jenis manusia dan penyakit. Tua, muda, lelaki, wanita, miskin,kaya. Dari semudah mendapatkan preskripsi baru dan mengambil darah, sehinggalah sesukar memotong keluar kanser kulit dan mengambil sampel sel di pangkal rahim. Saya bertemu dengan muka-muka baru yang sentiasa tersenyum, peramah dan mudah berbicara.

Tidak bertuhan

on 4:58 PM

Apa kata anda bila seseorang mengaku mereka tidak percaya pada tuhan? Bila logik akal digunakan dalam serba serbi kehidupan, dan hujah bahawa sesuatu yang tidak dapat dibuktikan wujud dengan sains maka dikira tidak wujud?

Pernahkah pula anda diminta memberi pandangan saintifik atau bukti pada kepercayaan yang anda pegang selama beberapa dekad? Contohnya yang pernah ditanya pada saya sendiri, mengapa saya tidak minum alkohol dan makan babi? Mengapa sedikitpun tidak boleh dirasa atau dijamah? Apa bukti saintifiknya bahawa keduanya bahaya?


Sewaktu makan malam semalam, tertarik sebentar pada satu temuramah dalam rancangan Close Up di TV One. Isunya berkenaan tentang usaha golongan Atheist di New Zealand untuk meletakkan iklan-iklan mereka pada badan-badan bas awam, dan seorang 'tokoh' mereka yang diimport jauh dari UK dijemput untuk memberikan pandangan.

Secara lantang mereka mempertikaikan kewujudan tuhan, juga mengutuk tindakan pengusaha bas awam yang menolak usaha mereka untuk memaparkan iklan atheist dan menuduh mereka tidak menghormati prinsip 'freedom of speech' dan bersikap diskriminasi. *videonya boleh didapati di sini

Maulidur Rasul: Pengajaran buat diri

on 8:26 PM

Mengenali Baginda

Setiap kali tarikh 12 Rabiul Awal datang kepada kita, kita sentiasa diperingatkan dengan kisah maulidur rasul atau kelahiran Rasulullah SAW. Sememangnya banyak pengajaran dan renungan yang boleh diambil dari kisah ini.


Peringatan ini boleh disampaikan dalam bentuk menceritakan kisah seerah mengikut turutan peristiwa yang berlaku, keajaiban semasa baginda dilahirkan, kisah-kisah ketika ketika baginda dibesarkan, dan juga sekitar keistimewaan diberikan kepada Nabi Muhammad SAW serta kepada ahli keluarga baginda.

Pastinya ini perkara yang paling penting, kerana jika kita tidak mengetahui seerah baginda, bagaimana mungkin kita dapat mengambil pengajaran darinya. Juga bagaimana kita dapat mengaku mencintai baginda dan meraikan ulang tahun kelahirannya sedangkan kita tidak mengenali utusan Allah yang teragung ini?

Untukmu Sahabatku...

on 7:01 PM

Untukmu sahabat yang dikasihi lagi hormati.

Semoga sentiasa berada dalam kekuatan iman dan taqwa, serta dalam suasana amal soleh yang terbaik insyaAllah.

Pertamanya, mari kita sama-sama ucapkan syukur pada Allah SWT kerana telah memperkenalkan sesama kita, dan kemudiannya menyatukan hati kita di atas jalan ini, jalan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Yakinlah sesungguhnya ikatan ini bukan dibina dengan pengenalan di program-program semata-mata, apatah lagi dengan ikatan material yang sementara. Sesungguhnya yang menyatukan hati kita adalah Allah SWT, dengan limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Anfal: 63]

وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ
فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا

“Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam).” [Ali Imran: 103]

Ikatan ukhuwah yang terbina antara kita ini, walaupun dipisahkan jarak beribu batu, merupakan satu kekuatan imaniyah yang tersendiri. Ia dirasai secara mendalam dengan sifat belas kasihan, cinta, saling menghormati dan mempercayai, bantu membantu ketika senang, berkerjasama ketika kesusahan, dan menjauhkan diri bersama-sama dari perkara kerosakan. Semuanya adalah hasil dari cahaya keimanan dan ketaqwaan di dalam kekuatan ukhuwah itu sendiri.

5th Year Awaits - Mencari Hikmah

on 7:13 AM

Esok bermula tahun kelima untuk saya dalam usaha mendapatkan segulung ijazah dalam bidang perubatan dan bergelar doktor perubatan. Tahun yang terpenting kerana peperiksaan di penghujung tahun ini menentukan lulus atau tidak saya dalam bidang ini selepas 5 tahun.

Ya, ijazah ini memang mengambil masa selama 6 tahun. Tetapi di New Zealand, tahun keenam dalam bidang perubatan adalah sepenuh masa sebagai trainee-intern, atau junior-houseman. Peperiksaan terakhir dan terpenting adalah semasa tahun 5, tahun ini!

Alhamdulillah dipertemukan dengan beberapa video yang dikongsi di bawah, buat pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan. Mengembalikan hikmah kepada yang sepatutnya, meletakkan Islam di hadapan dalam apa jua bidang kehidupan.

ربي اشرح لي صدري و يسرلي امري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي

Ya Allah! bukakanlah dadaku,
mudahkanlah urusanku dan
hilangkanlah kekakuan pada lidahku
agar mereka faham akan perkataanku.

"Hikmah (kebaikan dan kebijaksanaan) adalah milik orang Mukmin. Di mana pun ia ditemukan, maka ia lebih berhak mengambilnya."

1) Muslim Heritage In Hospital



'She tells us how hospitals, pharmacies, sophisticated surgery, dentistry, the understanding of blood circulation, vaccination and many other medical developments came to us from Muslim civilisation.'

8 Tahun Berlalu

on 4:00 AM

8 tahun yang lalu, pada tarikh ini saya menjejakkan kaki ke pertama kali ke Maktab Rendah Sains MARA Pontian. Dari Maktab Mahmud di utara, saya berpusing 180 darjah menukar haluan ke selatan. Dari sebuah sekolah 'arab' dan agama, berpindah ke sebuah sekolah sains yang pernah dipanggil 'sekular'. Apalah ada agaknya pada tarikh dan sejarah peribadi silam ini, selain bertukar sekolah, meninggalkan guru dan rakan-rakan lama; kemudian bertemu pula dengan guru dan rakan-rakan baru.

Gambar terbaru semasa melawat maktab 3 minggu lalu

Namun sejarah tetap sejarah. Hakikatnya ia diceritakan semula kerana apa yang berlaku hari ini ada kaitannya dengan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Ia mengajar kita sesuatu; menjelaskan apa dan kenapa, juga bagaimana ia boleh berulang atau dielak jika membinasakan. Dari sejarah kita boleh membina semula bangsa dan tamadun, menegakkan semula agama dan menyelamatkan umat manusia dari ditimpa kehinaan.

Jika tidak mengapa dalam al-Quran kisah-kisah Nabi terdahulu dicerita berulang-ulang? Kisah Bani Israil bukan sedikit jumlahnya bukan? Juga kisah-kisah umat terdahulu yang diangkat kehormatannya, juga sebaliknya mereka yang maut digoncang, ditelan bumi atau dipukul ombak badai.