Pengajaran dari ANZAC Day untuk seorang muslim

on 5:45 PM

Anzac Day di New Zealand / Australia sempena memperingati pendaratan tentera bersekutu ANZAC semasa peperangan dunia pertama di semenanjung Gallipolli pada 25 April 1915.

Hampir 3,000 tentera New Zealand, dan 8,000 tentera Australia terbunuh dalam misi menawan Istanbul dari Gallipolli sepanjang 8 bulan itu. Lebih 40,000 tentera British jug terbunuh, di samping sekitar 80,000 tentera Turki Uthmaniyah.

Tidak mahu bercerita panjang tentang sejarah ini, sekadar membawa satu hakikat dari peristiwa ini yang boleh diambil pengajaran oleh seorang Muslim.

Kemenangan di Gallipolli oleh tentera Turki secara langsung menjulang imej dan mengangkat nama panglima tenteranya ketika itu, yang terkenal dan disebut namanya sehingga kini, tidak lain tidak bukan, Mustafa Kamal Ataturk.

8 tahun selepas peperangan ini berlalu, pada tahun 1923, Mustafa Kamal Ataturk diangkat menjadi Presiden Republik Turki , lalu memecat khalifah terakhir dari Khilafah Uthmaniyah dan membubarkan sistem khilafah ini.

Wajar direnungkan semula, adakah kita perlu berbangga atau bergembira dengan kemenangan di Gallipoli itu?

Secara mata kasar dan pandangan masa pendek memang jelas kemenangan berpihak di tentera islam, tetapi melihat jauh ke hadapan dan mengkaji kesan di sebaliknya, adakah kemenangan di pihak kita?

Renungkan salah satu ayat yang diturunkan Allah SWT kepada tentera dan masyarakat islam, selepas kecamuk di medan Uhud:

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." [Surah Ali Imran: 144] 

Allah SWT mengajar umat islam ketika itu bahawa kebergantungan dan pengharapan kita hanyalah kepada Allah SWT, bukan kepada mana-mana figur manusia, hatta bukan kepada Rasul utusan-Nya sekalipun.

Pengajaran yang saya boleh simpulkan:

1) Kembalikanlah pergantungan dan harapan kita kepada Allah SWT, bukan kepada mana-mana figur manusia walaupun kelihatan pada dasarnya kelihatan dia membawa kebaikan atau kemenangan.

2) Letaklah agenda islam sebagai agenda utama, pakailah kaca mata islam dalam melihat dan menganalisa, dan berhujahlah dengan dalil-dalil dari Allah SWT dari menggunakan dalil-dalil pemikiran manusia seperti hak asasi, hak demokrasi, hak sosial dan sebagainya.

3) Pandanglah jauh ke depan, dan jauh ke dasar dalam menganalisa, supaya kita tidak tersilap langkah dalam memilih dan memberikan sokongan kepada seseorang manusia.

4) Sejarah berlalu, dan akan terus berulang jika kita tidak mengambil pengajaran darinya. Cakna dan mengambil berat akan hal umat akan menjamin survival dan kebangkitan umat pada landasan yang benar.

Wallahua'lam

0 comments: