Insan Rabbani

on 1:14 AM




Berapa Nilai Harga Nyawa Manusia?

on 7:39 PM

Berita terbaru di media melaporkan anggaran kematian kerana taufan Nargis di Myanmar minggu lalu mungkin mencecah 128 000 orang. Dalam masa 24 jam dari artikel ini ditulis pula, ribut taufan kedua dijangka akan melanda negara yang sudah musnah dan dalam keadaan kritikal ini. Kira-kira 2 juta orang penduduknya hilang tempat tinggal, kekurangan bekalan makanan dan air yang bersih, serta menghadapi ancaman wabak penyakit yang akan menular kesan daripada bencana yang berlaku.

Pada masa yang sama di bahagian timur peta dunia, jumlah mangsa yang meninggal dunia, hilang dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan kerana gempa bumi di China pula dianggarkan lebih dari 40 000 orang. Nyawa kira-kira 600 000 orang penduduk di bandar Dujiangyan pula dalam keadaan terancam kerana empangan Zipingpu berhampiran mungkin akan runtuh kesan daripada kerosakan dan rekahan selepas gempa bumi lalu.

Delta Irrawady yang terkenal dengan kesuburan tanahnya kini telah ditenggelami air. Bandar-bandar yang dahulu berdiri megah kini sudah hilang bila bangunan-bangunan yang dibina tunduk menyembah bumi. Taufan yang melanda Myanmar merosakkan dan menghancurkan apa sahaja yang berada dalam laluannya. Gempa bumi di China juga begitu. Gegaran dan rekahan yang berlaku tidak memilih antara satu tempat dengan tempat yang lain, asalkan mereka berada dalam kawasan amplitudnya. Dalam masa satu minggu sahaja, kedua-dua bencana ini telah mengorbankan beratus-ratus ribu nyawa dan menyebabkan berjuta-juta orang lagi tinggal dalam kesempitan, keperitan dan kesusahan.

Melihat pada angka kematian dan kecederaan ini, timbul satu persoalan pada diri. Berapa nilai harga nyawa manusia? Jika segala infrastruktur, tanaman, ternakan dan perniagaan yang musnah atau hilang boleh dinilai dengan harga pasaran, kos pembinaan dan penjagaannya, maka bolehkah nyawa manusia juga dinilai sebegitu?

Sebagai seorang muslim, pertamanya kita perlu sedar bahawa segala bencana yang berlaku adalah ketetapan dari Allah SWT. Taufan dan gempa bumi hanyalah ‘makhluk’ yang muslim seperti manusia, di mana tugasnya adalah untuk tunduk, patuh dan menyerah diri pada Maha Pencipta. Keduanya adalah muslim secara Ijbari (terpaksa) yang tiada pilihan selain daripada tunduk kepada kehendak Allah SWT.

Manusia juga pada asalnya begitu. Diri yang dicipta lengkap dengan pelbagai sistem badan yang menyokong untuk hidup adalah juga Islam Ijbari. Jika manusia cuba menentang Islam secara terpaksa ini, maka manusia tidak lagi dapat hidup. Contohnya apabila seseorang cuba untuk menentang ketetapan Allah SWT dengan mengatakan bahawa dia tidak memerlukan oksigen untuk bernafas. Jika dia cuba melaksanakan perkataannya ini, maka kesudahannya sudah pasti. Dia tidak akan dapat hidup dan selepas beberapa ketika akan sesak nafas dan mati di situ juga. Dia tidak dapat tidak perlu tunduk dan patuh pada ketetapan ini, kerana inilah yang dikatakan sebagai Islam Ijbari yang ada pada semua manusia ciptaan Allah SWT.

Seterusnya, satu kelebihan kepada manusia sebagai sebaik-baik kejadian adalah mereka diberikan kebebasan untuk memilih samada untuk beriman atau tidak kepada Allah SWT. Perkara ini disimpulkan sebagai Islam Ikhtiari (pilihan) di mana manusia boleh memilih samada mahu menjadi mu’min atau kafir. Rasulullah SAW telah diutus kepada manusia untuk menjelaskan hakikat dan matlamat kehidupan. Baginda telah menunjukkan jalan yang lurus dan juga jalan yang sebaliknya. Dua tinggalan baginda yang paling berharga, al-Quran dan as-Sunnah, menjadi sumber rujukan hingga ke akhir zaman. Maka golongan yang memilih untuk beriman dan melaksanakan tuntutan keimanan mereka dengan sebaiknya, beruntunglah mereka kerana telah dijanjikan balasan terbaik di akhirat kelak. Dunia dan isinya akan redha dan datang kepada golongan ini kerana mereka punya satu persamaan. Kedua-duanya tidak kufur kepada Maha Berkuasa. Manakala bagi golongan yang menolak dan cuba menutup kebenaran (kufur), bagi mereka telah dijanjikan azab dan seksaan. Malah dunia dan isinya juga tidak redha pada perbuatan mereka.

“Maka betapa banyak negeri yang telah Kami binasakan kerana (penduduknya) dalam keadaan zalim, sehingga runtuh bangunan-bangunannya dan betapa banyak pula sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi (tidak ada penghuninya).

Maka tidak pernahkah mereka berjalan di muka bumi sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta,

tetapi YANG BUTA IALAH HATI DI DALAM DADA.”

[Al-Hajj: 45-46]

Sejarah telah membuktikan bahawa bagi setiap kaum atau kelompok manusia itu ada waktu jatuh dan bangunnya. Begitulah sunnatullah yang telah ditetapkan. Beberapa bulan dahulu kerajaan junta Myanmar yang telah berkuasa selama dua dekad rakus menangkap dan menindas rakyatnya yang bangkit menentang pemerintahan tentera. Negara luar yang mahu masuk campur pada ketika itu diminta “jaga tepi kain sendiri”. Kini mereka pula ditekan dari segenap pelusuk dunia kerana tidak cekap dan lambat dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa-mangsa taufan Nargis. Malah ada laporan yang mengatakan mereka cuba mengambil kesempatan atas kesusahan rakyat dengan menyelewengkan bantuan yang diterima dan meminta ‘upah’ dari pihak-pihak luar yang cuba menghulurkan bantuan. Mungkinkah nilaian yang diletakkan pada ratusan ribu nyawa penduduknya yang terkorban itu begitu rendah sehingga mereka sanggup berbuat begitu?

Keadaan di China juga tidak jauh berbeza jika difikirkan. Tindakan pihak polis China menangkap serta menembak mati sami dan penunjuk perasaan di Tibet dua bulan lalu mendapat kritikan dan bantahan dari para aktivis sosial di seluruh dunia. Kempen memboikot sukan olimpik di Beijing pada bulan Ogos tahun ini sudahpun dimulakan. Malah bantahan-bantahan dapat dilihat daripada penunjuk perasaan yang cuba menghalang larian obor olimpik di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Kini tumpuan beralih pula pada operasi menyelamat dan mencari mangsa-mangsa gempa bumi dasyat berukuran 7.5 skala ritcher di selatan China beberapa hari lalu. Suatu yang sangat kontradik antara dua peristiwa ini. Kes yang pertama menangkap dan menembak mati, manakala yang kedua mencari (baca: membebaskan yang terperangkap) dan menyelamat! Apakah nilai nyawa mereka yang terperangkap kini lebih daripada mereka yang bebas tetapi ditembak dahulu?

Apapun yang berlaku, kita sebagai muslim sebenarnya punya neraca yang terbaik untuk menilai sesuatu. Ingatlah yang kita menilai hanya dengan neraca nilaian Allah SWT, bukan dengan neraca nilaian manusia. Mungkin pada sesuatu ketika, kita tidak mampu untuk memahami nilaian Allah SWT, tetapi ingatlah bahawa Dia Yang Maha Penyayang sentiasa memberikan yang terbaik untuk diri kita, selagi kita berusaha dengan cara yang diterima-Nya. Jika kita mahu memuaskan hati manusia (baca: nafsu) maka sampai bilapun ia tidak akan tercapai. Letakkanlah neraca nilaian Allah SWT pada tempat yang pertama dalam segala perkara.

Beringatlah bahawa kematian itu boleh berlaku pada bila-bila masa. Sentiasa berusaha untuk membersihkan hati supaya ia tidak buta dek kesalahan-kesalahan yang kita lakukan. Bebaskanlah diri daripada kongkongan jahiliah, iaitu sesuatu yang selain daripada Islam, sebelum terlambat. Pada saat ini, atau seketika nanti (atau bila-bila sahaja mungkin!) kehidupan ini tidak akan bererti lagi bagi kita. Segala kesenangan dan kemewahan dunia akan lenyap. Yang tinggal hanyalah amalan-amalan kita, sedekah jariah dan doa dari anak-anak yang soleh.

Wahai saudara, mari kita fikirkan. Berapakah nilai harga nyawa diri kita pula?



(p/s: entry ini ditulis untuk disiarkan di DuniaDeen)