Maulidur Rasul: Pengajaran buat diri

on 8:26 PM

Mengenali Baginda

Setiap kali tarikh 12 Rabiul Awal datang kepada kita, kita sentiasa diperingatkan dengan kisah maulidur rasul atau kelahiran Rasulullah SAW. Sememangnya banyak pengajaran dan renungan yang boleh diambil dari kisah ini.


Peringatan ini boleh disampaikan dalam bentuk menceritakan kisah seerah mengikut turutan peristiwa yang berlaku, keajaiban semasa baginda dilahirkan, kisah-kisah ketika ketika baginda dibesarkan, dan juga sekitar keistimewaan diberikan kepada Nabi Muhammad SAW serta kepada ahli keluarga baginda.

Pastinya ini perkara yang paling penting, kerana jika kita tidak mengetahui seerah baginda, bagaimana mungkin kita dapat mengambil pengajaran darinya. Juga bagaimana kita dapat mengaku mencintai baginda dan meraikan ulang tahun kelahirannya sedangkan kita tidak mengenali utusan Allah yang teragung ini?

Jadi secara mudah, jika anda belum lagi mengetahui tentang sejarah hidup baginda, maka tekad anda yang sewajarnya semasa maulidur rasul ini adalah untuk menghabiskan pembacaan buku-buku seerah kehidupan Rasulullah SAW. Antara buku seerah yang baik sebagai permulaan adalah buku Raheeq al-Makhtoom (The Sealed Nectar) dan Biografi Muhammad bin Abdullah.

Manakala jika anda ingin membaca dengan lebih mendalam berserta sedikit huraian dan pengajaran, buku Sirah Nabawiyah tulisan Mustafa Sibaie dan Fiqh al-Sirah tulisan Ramadhan al-Buti merupakan buku yang amat sesuai untuk pemuda-pemudi Islam yang bersemangat untuk mengembalikan semula Islam di puncak dunia berpandukan manhaj yang telah dibawa Nabi Muhammad SAW.

Pembersihan Hati

Dalam hadis sahih ada menceritakan tentang peristiwa pembedahan dada Nabi Muhammad SAW oleh malaikat Jibril A.S. ketika baginda masih kecil dan dalam penjagaan ibu susunya, Halimatus Sa'adiah. Kisah ini membawa beberapa pengajaran penting.

Pertamanya peristiwa ini merupakan salah satu dari 'alamatun nubuwwah, atau tanda-tanda kenabian pada nabi sejak kecil. Tujuan peristiwa ini bukanlah untuk mencabut kejahatan dari hati baginda secara jasadiah, tetapi sebaliknya adalah lebih kepada satu bentuk pengumuman Ilahi kepada manusia tentang persiapan dan pemeliharaan baginda sejak kecil lagi.

Pengajaran kedua pula adalah untuk mengajar manusia tentang kepentingan menjaga dan membersihkan hati dari anasir-anasir kejahatan dan keburukan, dengan memasukkan dan menggantikan isi hati itu dengan anasir-anasir yang baik dan bermanfaat.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله
وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب

"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka rosak dan kotorlah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan itu adalah hati."

Pengajaran yang sama juga dapat diambil dari kisah Luqman al-Hakim, sepertimana yang disampaikan dalam tafsir Ibn Kathir; diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Khalid AR-Raba'i berkata:

"Luqman merupakan seorang hamba dari Habsyah. Dia juga seorang tukang kayu. Pada suatu hari, tuan kepada Luqman menyuruhnya menyembelih seekor kambing. Kemudian, dia meminta Luqman membawakan untuknya 2 bahagian terbaik daripada sembelihan itu. Maka, Luqman pun membawakan kepadanya hati dan lidah. Hari berlalu dan sehinggalah tiba pada satu masa, tuan itu sekali lagi meminta Luqman menyembelih seekor kambing. Kali ini, tuan itu meminta Luqman membawakan padanya 2 bahagian terburuk daripada sembelihan itu. Maka Luqman pun membawakan kepadanya hati dan lidah.

Tuan kepada Luqman berasa hairan lalu bertanya,"Bila dahulu aku minta kau bawakan 2 bahagian terbaik, hati dan lidah kau serahkan kepadaku. Kini, bila aku minta kau berikan 2 bahagian terburuk, hati dan lidah juga yang kau hulurkan?" Lalu jawab Luqman,"Tuan, tiadalah 2 bahagian yang lebih baik daripada hati dan lidah sekiranya kedua ini baik. Dan tiada pula 2 bahagian yang lebih buruk daripada hati dan lidah sekiranya kedua ini buruk."

Secara ringkasnya, jika ada tekad atau pengajaran yang ingin benar-benar ingin difahami dari sambutan maulidur rasul, inilah satu pengajaran yang utama. Jagalah hati. Jagalah hati. Jagalah hati.

Ringankanlah lidah untuk berdoa dengan salah satu doa yang sering dibacakan Rasulullah SAW iaitu:

اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

"Ya Allah, Tuhan yang membolak balikkan hati. Tetapkanlah hati aku pada agama-Mu."

Sesungguhnya kita mahu bangkit pada hari akhirat nanti dengan hati yang sejahtera, yang akan menyelamatkan kita dari dicampakkan ke dalam api neraka. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Shu'ara ayat 88-89:

(يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ (٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬ (٨٩

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)."



Pemeliharaan Diri

Satu lagi peristiwa yang berlaku semasa Rasulullah SAW masih kecil, yang boleh kita renungi dan ambil pengajaran sempena maulidur rasul ini adalah ketika mana baginda ditidurkan sewaktu terlintas di hatinya untuk menghadiri majlis keraian dan keramaian seperti pemuda-pemuda lain pada zaman baginda.

Perkara ini pastinya tidak berlaku secara kebetulan. Pertamanya ia membuktikan Nabi Muhammad SAW juga memiliki pelbagai sifat fitrah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada manusia. Namun dengan 'inayah (pemeliharaan) Allah SWT baginda telah dipersiapkan dan dipelihara dari dorongan-dorongan naluri yang tidak layak untuk seorang utusan terulung yang membawa risalah kebenaran dan keimanan kepada manusia.

Pengajaran kedua yang dekat dengan diri kita, adalah tentang pentingnya menjaga diri dari awal sebelum terjebak dalam perkara kemungkaran. Mencegah lebih mudah dari mengubati. Suatu perkara kecil yang boleh membawa kepada kemungkaran lebih besar perlu dielakkan dari awal. Satu contoh jelas dan mudah adalah dari larangan Allah SWT di dalam al-Quran untuk tidak mendekati zina.

Maka dalam kehidupan seharian, dengan pelbagai majlis yang perlu dihadiri dan jemputan yang diterima, sewajarnya kita berfikir tentang pengajaran dari peristiwa ini. Dari kaca mata masyarakat mungkin tiada masalahnya, juga sudah jadi budaya dan ikutan rakan-rakan sebaya kita di sekeliling. Namun dari kaca mata yang ditetapkan Allah SWT pula bagaimana?

Bolehkah kita menyalahkan tiada 'inayah (pemeliharaan) Allah SWT kepada kita sehingga pelbagai kejahatan seperti zina, seks dan pergaulan bebas, kes penderaan, buang bayi, dan penindasan ummat terus berlaku?

Penutup

Kesimpulannya, jika maulidur rasul mahu diraikan, fikirkanlah secara bersungguh-sungguh dan mendalam untuk benar-benar mengambil pengajaran daripada kehidupan baginda, rasul yang utama Muhammad SAW. Sungguh kita mahu diri kita menjadi tauladan kepada ummat manusia secara keseluruhan seperti mana yang telah ditunjukkan oleh baginda.

Kita merupakan tetamu atau penumpang di atas muka bumi ini, maka bertindaklah seperti seorang tetamu semasa berjalan, duduk, berlari juga baring di atas tanah dan udara yang dipinjamkan ini. Tiadalah yang lebih benar dan berkuasa daripada Allah SWT yang berkuasa mutlak dan telah menciptakan kita lalu meminjamkan pelbagai nikmat untuk digunakan dengan sebaiknya. Wallahua'lam.

0 comments: