Penyubur Semangat 3: Harta & Keluarga Bukan Penghalang

on 2:35 AM

Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik adiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah mengherankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyiksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu membujuk ibunya memeluk Islam kerana sayang pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai usaha tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun menanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahwa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya. Mendengar jawaban ibunya, Mus’ab berkata kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Mendengar jawaban Mus’ab yang begitu tegas dan berani, ibunya pun mengusir Mus’ab dari rumah, maka Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:, “Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah ditengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi ke Madinah untuk berdakwah. Hasil dakwahnya, pada tahun tersebut 12 orang Madinah Masuk Islam dan bertemu dengan Nabi di Musim Haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi (Perjanjian A’qabah 1). Pada tahun berikutnya 70 lagi orang Madinah masuk Islam dan datang ke Mekah di musim Haji untuk berjanji setia dengan Nabi (Perjanjian A’qabah 2). Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.

Penyubur Semangat 2: Syahid di Medan Uhud

on 2:30 AM

Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus’ab bin Umayr ditugaskan memegang bendera Islam. Pada awalnya kaum muslimin berjaya menguasai pertempuran, sehingga tentera musyrikin bertempiaran lari. Peringkat kedua peperangan, berlaku kelekaan dari kalangan pasukan yang mengawal bukit Uhud, yang telah membuka ruang kepada musyrikin untuk melakukan serangan balas kepada muslimin.

Kaum musyrikin melakukan serangan hebat dengan matlamat untuk membunuh Rasulullah SAW. Dalam saat getir itu, Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan teguh mempertahankan Rasulullah SAW.
Menyedari ancaman ke atas Baginda, beliau cuba untuk memberikan semangat serta mengalih perhatian musuh dengan mengangkat panji setinggi-tingginya sambil bertakbir dengan nyaring.

Sebelah tangan memegang bendera, sementara sebelah lagi menghunuskan pedang menangkis serangan musuh, sambil melaungkan: “Muhammad itu adalah Rasul, dan sebelumnya telah diutuskan rasul-rasul lain”

Menyedari kehadiran Mus’ab, sebahagian tentera-tentera musyrikin yang asalnya menghala serangan ke arah Rasulullah beralih arah dengan meluru ke arahnya. Antaranya, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah yang menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam.

Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan lehernya dan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

Ibn Qamiah bersungguh-sungguh berusaha membunuh Mus’ab kerana menyangka bahawa Mus’ab itu adalah Rasulullah SAW, disebabkan wajah Mus’ab seiras dengan wajah Rasulullah SAW. Lantaran itu, sebaik sahaja dia membunuh Mus’ab, dia terus pergi kepada kawan-kawan musyrikin yang lain lalu menjerit-jerit mengatakan bahawa Muhammad telah dibunuh.

Ketika gugurnya Mus’ab, sahabat-sahabat Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al-Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya.

Apabila selesai pertempuran, Rasulullah meminta para sahabat meninjau tentera Islam yang cedera dan syahid. Para sahabat kemudiannya mengumpulkan jenazah-jenazah para syuhada’ untuk dikebumikan.

Pengkebumian jenazah Mus’ab antara yang paling menyayat hati. Ketika jenazahnya yang syahid itu hendak dikafankan, didapati tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Apa yang ada hanyalah pakaiannya yang singkat dan tidak mencukupi untuk menutup jasadnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah SAW tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda.

Para sahabat yang menguruskan jenazah tidak dapat menutup jasad Mus’ab yang syahid itu keseluruhannya. Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, Baginda Rasulullah SAW meminta agar kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun idhkhir.

Rasulullah SAW amat tersentuh dengan pemergian para syuhada Uhud termasuk Mus’ab dan bapa saudara Baginda Hamzah bin Abdul Muttalib, yang jasadnya dipotong dengan kejam. Sambil menghadap jenazah para syuhada Uhud, Rasulullah SAW membaca ayat yang bermaksud: “Daripada orang-orang yang beriman itu ada yang telah membenarkan janji mereka kepada Allah”.

Kemudiannya, sambil bercucuran air mata, Rasulullah SAW bersabda kepada jenazah syuhada termasuk Mus’ab: Sesungguhnya Rasulullah menjadi saksi bahawa kalian semua adalah syuhada di sisi Allah di akhirat nanti”

Demikian kisah kekuatan peribadi Mus’ab Umayr, seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah.

Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Seterusnya, dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat. Akhirnya beliau menemu Allah dengan penuh kemuliaan sebagai seorang syahid.

Penyubur Semangat 1: Duta Islam Pertama

on 2:00 AM

Kisah Mus’ab bin Umayr al-Abdari r.a atau Mus’ab al-Khair.

Pada tahun kedua belas kenabian, Rasulullah telah mengadakan Bai’ah Al-Aqabah Pertama dengan dua belas orang lelaki dari Yathrib, yang kemudiannya dikenali Madinah di Aqabah, Mina. Dalam bai’ah itu mereka berjanji untuk tidak mensyirikkan Allah, dan tidak melakukan dosa-dosa seperti mencuri, berzina dan membunuh anak.

Selepas selesai bai’ah ini, Rasulullah SAW mengutuskan Mus’ab bin Umair sebagai ‘duta’ ke Yathrib bersama-sama kumpulan berbai’ah ini. Misinya adalah untuk mengajar orang-orang Islam di sana berkenaan agama Islam, serta untuk menyampaikan risalah Islam kepada mereka yang masih musyrik.

Pengutusan ini amat tepat memandangkan beliau adalah seorang yang berhemah tinggi, mempunyai akhlak yang mulia dan berfikiran tajam. Pengetahuannya yang mendalam tentang al-Quran dan kemampuannya membaca al-Quran dengan begitu indah juga mendorong Rasulullah memilihnya menjalankan amanah yang amat besar itu, walau pun ada sahabat-sahabat lain yang lebih tua dan hampir kepada Rasulllah SAW.

Di Yathrib, Mus’ab menumpang di rumah As’ad bin Zurarah dari bani Khazraj. Mereka berdua menyampaikan Islam dengan penuh bersemangat dan gigih kepada penduduk Yathrib. Mereka pergi ke setiap perkampungan, dan menziarahi rumah ke rumah, juga menghadiri majlis-majlis untuk menyampaikan khabar tentang ajaran Rasulullah, menerangkan tentang Islam dan membacakan al-Quran.

Berkat kegigihan, keberanian dan keyakinan kepada Allah, Mus’ab telah berjaya menyampaikan Islam kepada penduduk Yathrib. Kebijaksanaanya dalam berdakwah telah melembutkan hari dan membuka mata penduduk Yathrib yang selama ini syirik kepada Allah. Hasilnya, ramai dari kalangan bani Aus dan Khazraz, termasuk dari golongan pemimpin mereka yang memeluk Islam.

Antara contoh hebat kejayaannya dalam dalam dakwah ialah kisah usaha dakwahnya di kampung Bani Zafar dan kampung Bani Abdul Asyhal. Pada suatu hari Mus’ab dan As’ad pergi ke sebuah kebun Bani Zafar dan duduk di tebing sebuah perigi yang dipanggil telaga Maraq. Beberapa orang muslimin turut datang berkumpul di situ.

Pada waktu itu dua tokoh besar iaitu Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudair, yang juga ketua kaum Bani Abdul Asyhal, masih belum memeluk Islam. Apabila mereka mendengar berita kehadiran Mus’ab, Saad berkata kepada Usaid: “Pergilah kamu kepada dua orang yang datang hendak memperbodohkan orang-orang kita yang lemah, dan halanglah mereka, serta larangi mereka agar jangan datang ke kampung kita. As’ad bin Zurarah itu adalah sepupuku sebelah ibu. Kalau tidak kerana itu sudah tentu aku sendiri yang akan pergi.”

Mendengar cabaran itu, Usaid terus mengambil tombak dan menuju ke arah mereka. Apabila As’ad melihat kedatangan Usaid, dia berkata kepada Mus’ab: “Orang ini adalah ketua kaumnya. Dia datang kepada mu, maka cuba tanamkan kebenaran agama Allah dalam dirinya:. Kata Mus’ab: “Kalau dia sudi duduk, maka aku akan berbicara dengannya”.

Kemudian Usaid pun sampai dan tercegat di hadapan mereka sambil merungut-rungut. Katanya: “Mengapa kamu berdua datang kemari? Adakah kamu hendak memperbodohkan orang-orang kami yang lemah? Kalau sayangkan diri, maka jauhkan diri dari kami”. Maka Mus’ab menjawab dengan tenang: “Sudikah tuan duduk sebentar untuk mendengar. Kalau tuan puas hati, boleh menerimanya dan kalau tuan tidak senang, tuan boleh halang apa yang tuan tidak senang itu”. Lalu Usaid berkata: “Ini cadangan yang adil.”

Sejurus itu, Usaid meletakkan tombaknya dan duduk. Lantas, Mus’ab mejelaskan tentang Islam dan membacakan beberapa ayat al-Quran. Usaid kelihatan tenang dan berseri-seri mendengar penjelasan Mus’ab. Lalu dia berkata: “Alangkah indah dan cantiknya. Bagaimana kamu lakukan apabila kamu mahu masuk ke dalam agama ini?”. Mereka menjawab: “Mandilah dan bersihkan pakaianmu, kemudian ucaplah syahadah kebenaran dan setelah itu bersolatlah dua rakaat”. Selesai Usaid memeluk Islam dan melakukan seperti yang diminta, beliau berkata: “Di belakang ku ada seorang lelaki. Jika dia sudi mengikut kamu, nescaya tidak seorang pun daripada kaumnya yang akan meminggir diri. Aku akan usahakan supaya dia datang kepada kamu bersua sekarang”. Orang yang dimaksudkan itu ialah Saad bin Muaz.

Dengan kebijaksanaan Usaid, Saad akhirnya pergi sendiri ke tempat perkumpulan itu. Setiba di sana dia merungut-rungut tentang kehadiran Mus’ab dan As’ad. Lantas, Mus’ab memberikan mempersilakannya duduk dan mendengar penjelasan sebagaimana yang dilakukan kepada Usaid. Saad akhirnya sudi mendengar dan akhirnya memeluk Islam. Kejayaan Mus’ab menarik Saad dan Usaid ke arah Islam telah memberikan kesan yang besar kepada dakwah di Yathrib.

Kejayaan ini juga diikuti dengan keIslaman seorang lagi tokoh besar Yathrib iaitu Saad bin Ubadah. Sehinggakan penduduk Yathrib berkata: “Jika Usaid bin Khudair, Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah sudah menerima agama baru, mana mungkin kita tidak ikut jejak langkah mereka? Ayuh, kita pergi menemui Mus’ab dan beriman dengan agamanya”.

Tegasnya, duta pertama Rasulullah SAW ini telah berjaya dalam usaha dakwahnya. Ramai yang memeluk Islam melalui usaha Mus’ab. Baik muda dan tua, lelaki mahu pun wanita dan mereka yang lemah dan yang berkuasa”.

Mus’ab terus menetap di rumah As’ad sambil menyeru penduduk Yathrib kepada Islam, sehingga semua kampung di kalangan orang-orang Ansar itu terdapat di dalamnya ada lelaki dan wanita yang memeluk Islam kecuali di tiga buah kampung sahaja.

Tidak sampai setahun selepas ketibaannya di Yathrib, Mus’ab kembali ke Makkah menjelang musim haji.

Kepulangannya ini membawa berita gembira tentang sambutan penduduk Yathrib. Bahkan sekumpulan tujuh puluh lima muslimin dari Yathrib turut datang menunaikan haji dalam musim berkenaan.

Di Makkah, Muslimin dari Yathrib ini membuat perhubungan rahsia dengan Rasulullah SAW dan mereka bersetuju untuk bertemu di Aqabah bagi melakukan baiah buat kali kedua. Baiah kedua ini mengandungi janji teguh utuk mempertahankan agama Islam dan Rasulullah SAW.

Demikianlah antara hasil kejayaan dakwah Mus’ab Umayr yang gigih memperjuangkan agama Allah SWT. inilah contoh qaedah sulbah yang berjaya Rasulullah didik hingga menjadi jurucakap Baginda dalam meluaskan empayar Islam.

Alangkah beruntungnya Sahabat-sahabat nabi yang bergelar assabiqun al awwalun di permulaan langkah dakwah Nabi. alangkah cemburunya pada mereka yang ditimpa kepayahan dan menghadapi pelbagai mehnah dalam meneruskan perjuangan hingga ke titisan darah terakhir...

"we are brothers?"

on 5:37 AM

Bismillah..
Bercakap tentang 'brothers', yg kalau diterjemahkan bermaksud 'saudara', seolah-olah satu perkara kecil dan mudah. Dalam bahasa arab, 'akh' juga bermaksud hampir sama. Cuma tafsirannya mungkin lebih luas, tidak tersekat pada aliran darah dan bangsa sahaja. Bukan tidak mahu bercakap tentang 'sisters' atau 'ukht', tetapi lebih baik dan mudah jika perkataan pertama tadi dikira sebagai merangkumi keduanya.

Jika mengikut kaedah pembinaan rasul, kekuatan islam itu dibina bermula kekuatan akidah, diikuti dengan kekuatan kesatuan dan seterusnya kekuatan tangan dan persenjataan.

Di makkah akidah para sahabat digilap dan dibina supaya ikatan dan aliran akidah menjadi satu, di madinah puak yang bertelagah disatukan dan disaudarakan, dan islam terus berkembang dan menjalar pada hati-hati yang baru disirami dengan kepercayaan akidah yang satu.

Dengan penyebaran islam ke seluruh pelusuk arab, kekuatan dengan kuasa tangan dan persenjataan mula dibina. Tarbiah, dakwah dan jihad jadi tonggak mengembangkan risalah.
Kembali kepada kekuatan kesatuan, kerana kaitannya dengan istilah 'brothers' tadi lebih dekat dan jelas. Sesuai sebagai permulaan kepada entry2 yang seterusnya dan selari dengan niche area yang dipilih.

Orang yang berjuang dengan atas nama kebenaran, mencari keredhaan Allah di dunia serta di akhirat pastinya faham kepentingan begerak dalam jamaah, bersatu dan tidak berpecah belah dalam gerak kerja. Bersatu dalam erti kata tidak dengki-mendengki, tiada sengketa, tidak bermusuhan dan tiada fitnah-menfitnah.

Tetapi keadaan sekarang tidak memungkinkan kesatuan itu ditakrifkan sebagai bersatu dalam satu jamaah, satu persatuan, melainkan jika jamaah itu ditakrifkan sebagai kesatuan gerakan-gerakan islam. Kesatuan dalam erti kata berkerjasama dalam perkara yang disepakati, dan memberi maaf dalam perkara yang diselisihi.

Pesan Al-Maududi dalam menyeru ummat ke arah syahadatul haq (maksud syahadah yang sebenar) memberi contoh bagaimana kesatuan dalam masa sekarang perlu difahami.

Bagi mereka ini kami ingin seru supaya mereka memilih salah satu daripada tiga pilihan yang terbentang di hadapan mereka... tiada pilihan selain daripada yang tiga ini:
  1. Jika hati kamu merasa yakin dan selesa bahawa dakwah, prinsip, objektif, struktur jamaah kami dan cara bekerja yang kami pilih untuk jamaah dan diri kami ini adalah benar, bersumberkan al-Kitab dan sunnah tanpa dicemar oleh sebarang unsur jahiliyyah; jika kamu yakin semua ini dan kamu sendiri mengakui bahawa segala amalan yang telah kami laksanakan dan dakwah kami ini merupakan amalan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan objektif utama setiap muslim dan muslimat di seluruh dunia, maka marilah bersama-sama sertai kami untuk membantu kami melaksanakan tugas ini dan bersama-sama kita beramal demi kepentingan kamu sendiri di dunia dan di akhirat, dengan izin Allah.
  2. Jika kamu tidak yakin dengan cara kerja kami dan hati kamu tidak terbuka untuk bersama-sama kami, carilah jamaah lain yang bekerja untuk matlamat agama yang sebenar, jamaah yang berusaha dengan menggunakan cara yang islamik. Gabungkan diri kamu ke dalam jamaah tersebut. Bernaunglah di bawah panjinya dan sertailah mereka bersama amalan mereka. Demi sesungguhnya, jika kami temui sebuah jamaah seperti ini sudah tentu kami akan turut serta bersamanya. Kami adalah golongan yang amat berusaha untuk bekerja di bawah satu jamaah. Kami tidak mahu sama sekali berkelainan dan berpisah. Kami juga tidak mahu sama sekali berpecah.
  3. Jika kedua-dua pilihan ini masih tidak sesuai dengan diri kamu, maksudnya jika kamu tidak setuju untuk bersama dengan kami dan tidak menemui mana-mana jamaah lain yang memiliki ciri tersebut, bentuklah sebuah jamaah yang berlandaskan agama yang sebenar, bermatlamat menegakkan agama Allah sepenuhnya dan melaksanakan Syahadah Al-Haq melalui perkataan dan perbuatan supaya kamu dapat melaksanakan kewajipan Islam kamu dan kamu dapat melaksanakan segala kewajipan agama kamu.
Umum faham tentang matlamat dan cara. Tentang tujuan dan alat. Sememangnya tidak elok di mata melihat kelompok-kelompok kecil yang berbeza menjalankan gerak kerja yang hampir sama. Tetapi jika muslim itu benar-benar faham, sebenarnya kelompok-kelompok itu datangnya dari sumber yang sama. Cuma kelihatan terpisah di mata, tetapi bukan di hati.

Insyaallah orang-orang yang mengorbankan diri untuk islam faham akan perbezaan ini. pesan Al-Maududi lagi,

"Tidak dinafikan kewujudan lebih daripada satu jamaah yang mempunyai hasrat dan objektif yang sama merupakan suatu yang tidak baik. Mungkin kepelbagaian ini akan memudaratkan objektif yang dicita-citakan itu sendiri. Namun tiada apa yang dapat kita lakukan pada peringkat awal ini. Kuasa Islam telahpun terungkai dan hancur lebur semenjak beberapa abad yang lalu. Pada hari ini bukan kita sahaja yang mempelopori usaha ini dan bukan kita sahaja yang menentukan nasib kuasa Islam yang ingin kita tegakkan ini. Apa yang pasti pada hari ini ialah kita memikul tanggungjawab untuk menghidupkan kembali kuasa yang dicitakan ini, kita bangkitkan semula daripada lenanya dan kita akan bangunkan segala asas dan ranting serta cabangnya sekali lagi."

Sememangnya persilisihan dan perbezaan pendapat itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Tetapi kita tidak mahu (na'uzubillah) perselisihan itu berlaku pada perkara asas, perkara yang menjadi dasar dalam bergerak di muka bumi.

Semenjak zaman sahabat lagi, sememangnya ada perbezaan dalam memberi pendapat. Contohnya seperti dalam satu kisah di mana para sahabat yang dalam perjalanan dan masuk waktu solat, ada yang memilih untuk terus solat dan ada pula yang memilih untuk meneruskan perjalanan dan menunaikan solat apabila sampai ke destinasi. Rasulullah tidak melarang, malah tidak menghukum mana-mana kumpulan sebagai salah. Perbezaan pendapat bukan kerana mereka berpecah, tetapi kerana perbezaan dalam beberapa perkara.

Seperti yang dihuraikan Imam Hassan Al-Banna, antara faktor perbezaan pendapat itu adalah:
  • Perbezaan keupayaan akal mengambil sesuatu hukum atau memahami sesuatu dalil dan menyelami secara mendalam sesuatu maksud.
  • Perbezaan keupayaan ilmu seseorang. Ada orang yang tahap ilmunya lebih tinggi dari yang lain dan ada pula sebaliknya.
  • Perbezaan tempat, kerana pelaksanaan sesuatu hukum berbeza mengikut perbezaan tempat. Antara contoh yang jelas adalah Imam Syafie yang memberi fatwa qadim (lama) di Iraq dan kemudian memberi fatwa jadid (baru) di Mesir.
  • Perbezaan dalam meyakini dan menerima sesuatu riwayat.
  • Perbezaan dalam menentukan kedudukan sesuatu dalil.
Perbezaan pendapat ini jika lebih difahami pada nilaiannya, tidak tersekat pada sesuatu hukum fiqh atau ibadat wajib sahaja.

Perbezaan dalam memahami sesuatu pelajaran ilmu sains, juga berlaku kerana berbeza keupayaan ilmu dan akal. Ada yang dapat faham dengan lebih mudah dan jelas, sedangkan ada pula yang perlukan lebih masa dan pembacaan untuk faham sesuatu perkara. Orang yang menyokong idealism seperti nasionalism dan patriotism juga contohnya berbeza.
Ada yang menyokong kerana kebenaran dan ada pula yang menyokong kerana kebatilan.

Patriotism yang bersempadakan akidah bukan tanah, patriotism yang cintakan tanah air (hubbul watan) dan inginkan kebebasan supaya dapat beribadah merupakan idealism yang disokong, malah sebahagian daripada permulaan dalam tuntutan islam.
Permulaan kerana pastinya selepas itu ada lagi gerak kerja yang penting menyusul. Nasionalism yang inginkan sesuatu ummat belajar dari kesilapan dahulu dan bangkit semula untuk maju dan membangun juga disokong. Tetapi nasionalism satu bangsa satu negara, merendahkan dan memijak bangsa lain, saling memusuhi dan menfitnah jelas satu kebatilan dalam gerakan.

Kesatuan dan kasih sayang insyaallah akan menjayakan semua 'brothers' yang berkerja dan menyumbang. Walaupun bukan dalam satu barisan di mata, tetap satu barisan di hati.

Pesan rasulullah, "Manusia itu ibarat logam. Orang yang terbaik di zaman jahiliah adalah orang yang terbaik di zaman islam, jika mereka memahami."

Logam kerana ia andai berkarat atau berhabuk, bila digilap, sirnanya kembali dan keutuhannya tetap kekal. Umar Al-Khattab, keberaniannya sebelum islam diwarisi dan menjadi salah satu kekuatan ummat. Abdur Rahman, kebijaksanaannya dalam ekonomi, jual beli berterusan sebelum dan juga selepas islam.

Cuma kemewahan yang melampau pastinya tidak diwarisi kerana ia nilaian yang rendah. Umar Abdul Aziz membuang kemewahan apabila diangkat menjadi khalifah, Mus'ab bin Umair meninggalkan keluarga dan harta kerana dakwah nabi. Semoga teladan dari zaman nabi dan para sahabat menjadi salah satu bekal untuk 'brothers' yang benar-benar berjuang dan berkorban. Wallahua'lam..

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu." [Al-Hujurat:10]


p/s: mengapa al-muqri? insyaallah di next entry =)

testing post..

on 11:12 PM

my first test post
before berangkat ke ettrick
ladang appple bakal jadi lapangan
bermain-main dengan pokok di hutan
salam perjuangan dari celahan rimbunan