Curahan Hujan

on 11:01 PM


Sehari suntuk hujan turun lebat di bumi Dunedin, dan ramalan cuaca menjangka akan terus hujan dan basah sekurang-kurangnya sehingga tengahari esok. Hujan adalah salah satu rahmat yang utama dari Allah, jadi elakkanlah dari mencerca atau berkeluh-kesah.

Boleh mulakan dengan berfikiran positif, melihat kepada beberapa kelebihan yang diberikan ketika hujan turun. Waktu hujan merupakan antara waktu mustajab untuk berdoa.

Imam al-Syafi'i berkata, "Aku telah mendapati banyak orang yang mencari terkabulnya doa pada saat turun hujan dan pada saat shalat didirikan."

Sabda Nabi SAW: “Berdoalah pada waktu mustajab doa, iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun.” [HR Abu Daud]

 Nabi SAW juga mengajar untuk berdoa ketika hujan turun. Antara doa yg diajar oleh baginda ialah doa yg diriwayatkan oleh 'Aisyah r.a yang cukup bermakna dan mudah untuk diamalkan. Doanya seperti berikut:

 اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً

(Allahumma Soyyiban Naafi'a)

"Ya Allah, jadikanlah ia hujan yg memberi manfaat." [Riwayat Bukhari]

Berdoalah, nescaya akan dimakbulkan!

on 6:55 PM




Menjelang musim peperiksaan ini, suka saya untuk berkongsi beberapa waktu mustajab untuk berdoa, khususnya waktu di sekitar solat.

Selayaknya pengharapan dan permintaan semuanya kembali kepada Maha Pemilik dan Maha Pencipta, bukan kepada manusia semata-mata.

Semoga kumpulan waktu mustajab doa ini bermanfaat untuk semua insyaAllah.


Ibnu Atha’ berkata: “Doa itu mempunyai beberapa rukun (sendi) yang kuat, mempunyai beberapa sayap mampu naik ke langit tinggi, mempunyai beberapa sebab menyebabkan diterimanya. Rukun doa itu ialah hadir hati bila berdoa serta tunduk menghinakan diri kepada Allah SWT. Sayapnya ialah berdoa dengan sepenuh kemahuan, keikhlasan yang timbul daripada lubuk jiwa dan (masanya berdoa) bertepatan dengan waktunya. Sebab ia diterima ialah berselawat kepada Nabi SAW sebelum berdoa.”

Antara waktu-waktu mustajab doa:

1.       Ketika hendak solat
“Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun.” [HR Abu Daud]

2.       Waktu diantara azan dan iqamah
Sabda Nabi SAW: “Tidaklah ditolak doa diantara azan dan iqamah .” [HR Al-Tirmizi, dianggap sebagai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami]

Nabi SAW juga bersabda: “Dua jenis doa yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT atau jarang sekali ditolak, doa sewaktu azan dan doa ketika berlakunya peperangan.” [HR Abu Dawud, hadis hasan]

3.       Selepas mengucapkan ‘Aameen’ apabila selesai membaca surah al-Fatihah
Sabda Nabi SAW: “Apabila imam mengatakan ‘Aameen’, maka ucapkanlah ‘Aameen’. Sesiapa yang mengucapkan ‘Aameen’ bersama dengan para malaikat, dan diampunkan dosa yang telah lalu.” [HR Bukhari dan Muslim]