Bercakap tentang 'brothers', yg kalau diterjemahkan bermaksud 'saudara', seolah-olah satu perkara kecil dan mudah. Dalam bahasa arab, 'akh' juga bermaksud hampir sama. Cuma tafsirannya mungkin lebih luas, tidak tersekat pada aliran darah dan bangsa sahaja. Bukan tidak mahu bercakap tentang 'sisters' atau 'ukht', tetapi lebih baik dan mudah jika perkataan pertama tadi dikira sebagai merangkumi keduanya.
Jika mengikut kaedah pembinaan rasul, kekuatan islam itu dibina bermula kekuatan akidah, diikuti dengan kekuatan kesatuan dan seterusnya kekuatan tangan dan persenjataan.
Di makkah akidah para sahabat digilap dan dibina supaya ikatan dan aliran akidah menjadi satu, di madinah puak yang bertelagah disatukan dan disaudarakan, dan islam terus berkembang dan menjalar pada hati-hati yang baru disirami dengan kepercayaan akidah yang satu.
Dengan penyebaran islam ke seluruh pelusuk arab, kekuatan dengan kuasa tangan dan persenjataan mula dibina. Tarbiah, dakwah dan jihad jadi tonggak mengembangkan risalah.
Kembali kepada kekuatan kesatuan, kerana kaitannya dengan istilah 'brothers' tadi lebih dekat dan jelas. Sesuai sebagai permulaan kepada entry2 yang seterusnya dan selari dengan niche area yang dipilih.
Orang yang berjuang dengan atas nama kebenaran, mencari keredhaan Allah di dunia serta di akhirat pastinya faham kepentingan begerak dalam jamaah, bersatu dan tidak berpecah belah dalam gerak kerja. Bersatu dalam erti kata tidak dengki-mendengki, tiada sengketa, tidak bermusuhan dan tiada fitnah-menfitnah.
Tetapi keadaan sekarang tidak memungkinkan kesatuan itu ditakrifkan sebagai bersatu dalam satu jamaah, satu persatuan, melainkan jika jamaah itu ditakrifkan sebagai kesatuan gerakan-gerakan islam. Kesatuan dalam erti kata berkerjasama dalam perkara yang disepakati, dan memberi maaf dalam perkara yang diselisihi.
Pesan Al-Maududi dalam menyeru ummat ke arah syahadatul haq (maksud syahadah yang sebenar) memberi contoh bagaimana kesatuan dalam masa sekarang perlu difahami.
Bagi mereka ini kami ingin seru supaya mereka memilih salah satu daripada tiga pilihan yang terbentang di hadapan mereka... tiada pilihan selain daripada yang tiga ini:
- Jika hati kamu merasa yakin dan selesa bahawa dakwah, prinsip, objektif, struktur jamaah kami dan cara bekerja yang kami pilih untuk jamaah dan diri kami ini adalah benar, bersumberkan al-Kitab dan sunnah tanpa dicemar oleh sebarang unsur jahiliyyah; jika kamu yakin semua ini dan kamu sendiri mengakui bahawa segala amalan yang telah kami laksanakan dan dakwah kami ini merupakan amalan yang sepatutnya menjadi tumpuan dan objektif utama setiap muslim dan muslimat di seluruh dunia, maka marilah bersama-sama sertai kami untuk membantu kami melaksanakan tugas ini dan bersama-sama kita beramal demi kepentingan kamu sendiri di dunia dan di akhirat, dengan izin Allah.
- Jika kamu tidak yakin dengan cara kerja kami dan hati kamu tidak terbuka untuk bersama-sama kami, carilah jamaah lain yang bekerja untuk matlamat agama yang sebenar, jamaah yang berusaha dengan menggunakan cara yang islamik. Gabungkan diri kamu ke dalam jamaah tersebut. Bernaunglah di bawah panjinya dan sertailah mereka bersama amalan mereka. Demi sesungguhnya, jika kami temui sebuah jamaah seperti ini sudah tentu kami akan turut serta bersamanya. Kami adalah golongan yang amat berusaha untuk bekerja di bawah satu jamaah. Kami tidak mahu sama sekali berkelainan dan berpisah. Kami juga tidak mahu sama sekali berpecah.
- Jika kedua-dua pilihan ini masih tidak sesuai dengan diri kamu, maksudnya jika kamu tidak setuju untuk bersama dengan kami dan tidak menemui mana-mana jamaah lain yang memiliki ciri tersebut, bentuklah sebuah jamaah yang berlandaskan agama yang sebenar, bermatlamat menegakkan agama Allah sepenuhnya dan melaksanakan Syahadah Al-Haq melalui perkataan dan perbuatan supaya kamu dapat melaksanakan kewajipan Islam kamu dan kamu dapat melaksanakan segala kewajipan agama kamu.
Insyaallah orang-orang yang mengorbankan diri untuk islam faham akan perbezaan ini. pesan Al-Maududi lagi,
"Tidak dinafikan kewujudan lebih daripada satu jamaah yang mempunyai hasrat dan objektif yang sama merupakan suatu yang tidak baik. Mungkin kepelbagaian ini akan memudaratkan objektif yang dicita-citakan itu sendiri. Namun tiada apa yang dapat kita lakukan pada peringkat awal ini. Kuasa Islam telahpun terungkai dan hancur lebur semenjak beberapa abad yang lalu. Pada hari ini bukan kita sahaja yang mempelopori usaha ini dan bukan kita sahaja yang menentukan nasib kuasa Islam yang ingin kita tegakkan ini. Apa yang pasti pada hari ini ialah kita memikul tanggungjawab untuk menghidupkan kembali kuasa yang dicitakan ini, kita bangkitkan semula daripada lenanya dan kita akan bangunkan segala asas dan ranting serta cabangnya sekali lagi."
Sememangnya persilisihan dan perbezaan pendapat itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Tetapi kita tidak mahu (na'uzubillah) perselisihan itu berlaku pada perkara asas, perkara yang menjadi dasar dalam bergerak di muka bumi.
Semenjak zaman sahabat lagi, sememangnya ada perbezaan dalam memberi pendapat. Contohnya seperti dalam satu kisah di mana para sahabat yang dalam perjalanan dan masuk waktu solat, ada yang memilih untuk terus solat dan ada pula yang memilih untuk meneruskan perjalanan dan menunaikan solat apabila sampai ke destinasi. Rasulullah tidak melarang, malah tidak menghukum mana-mana kumpulan sebagai salah. Perbezaan pendapat bukan kerana mereka berpecah, tetapi kerana perbezaan dalam beberapa perkara.
Seperti yang dihuraikan Imam Hassan Al-Banna, antara faktor perbezaan pendapat itu adalah:
- Perbezaan keupayaan akal mengambil sesuatu hukum atau memahami sesuatu dalil dan menyelami secara mendalam sesuatu maksud.
- Perbezaan keupayaan ilmu seseorang. Ada orang yang tahap ilmunya lebih tinggi dari yang lain dan ada pula sebaliknya.
- Perbezaan tempat, kerana pelaksanaan sesuatu hukum berbeza mengikut perbezaan tempat. Antara contoh yang jelas adalah Imam Syafie yang memberi fatwa qadim (lama) di Iraq dan kemudian memberi fatwa jadid (baru) di Mesir.
- Perbezaan dalam meyakini dan menerima sesuatu riwayat.
- Perbezaan dalam menentukan kedudukan sesuatu dalil.
Perbezaan dalam memahami sesuatu pelajaran ilmu sains, juga berlaku kerana berbeza keupayaan ilmu dan akal. Ada yang dapat faham dengan lebih mudah dan jelas, sedangkan ada pula yang perlukan lebih masa dan pembacaan untuk faham sesuatu perkara. Orang yang menyokong idealism seperti nasionalism dan patriotism juga contohnya berbeza.
Ada yang menyokong kerana kebenaran dan ada pula yang menyokong kerana kebatilan.
Patriotism yang bersempadakan akidah bukan tanah, patriotism yang cintakan tanah air (hubbul watan) dan inginkan kebebasan supaya dapat beribadah merupakan idealism yang disokong, malah sebahagian daripada permulaan dalam tuntutan islam.
Permulaan kerana pastinya selepas itu ada lagi gerak kerja yang penting menyusul. Nasionalism yang inginkan sesuatu ummat belajar dari kesilapan dahulu dan bangkit semula untuk maju dan membangun juga disokong. Tetapi nasionalism satu bangsa satu negara, merendahkan dan memijak bangsa lain, saling memusuhi dan menfitnah jelas satu kebatilan dalam gerakan.
Kesatuan dan kasih sayang insyaallah akan menjayakan semua 'brothers' yang berkerja dan menyumbang. Walaupun bukan dalam satu barisan di mata, tetap satu barisan di hati.
Pesan rasulullah, "Manusia itu ibarat logam. Orang yang terbaik di zaman jahiliah adalah orang yang terbaik di zaman islam, jika mereka memahami."
Logam kerana ia andai berkarat atau berhabuk, bila digilap, sirnanya kembali dan keutuhannya tetap kekal. Umar Al-Khattab, keberaniannya sebelum islam diwarisi dan menjadi salah satu kekuatan ummat. Abdur Rahman, kebijaksanaannya dalam ekonomi, jual beli berterusan sebelum dan juga selepas islam.
Cuma kemewahan yang melampau pastinya tidak diwarisi kerana ia nilaian yang rendah. Umar Abdul Aziz membuang kemewahan apabila diangkat menjadi khalifah, Mus'ab bin Umair meninggalkan keluarga dan harta kerana dakwah nabi. Semoga teladan dari zaman nabi dan para sahabat menjadi salah satu bekal untuk 'brothers' yang benar-benar berjuang dan berkorban. Wallahua'lam..
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu." [Al-Hujurat:10]
p/s: mengapa al-muqri? insyaallah di next entry =)
1 comments:
r we brothers?
brothers we r...
we r brothers...
"tidak sempurna iman seseorang daripada kamu hingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sndiri.."
Post a Comment