Bukalah...

on 11:26 AM

Bila bercakap soal hidayah atau petunjuk, hati biasanya dikaitkan secara langsung. Kerana berpunca dari hati segalanya jadi bukti lahiriah, bukti yang dapat dilihat pada mata kasar. Bukti seperti amalan, perbuatan dan percakapan.

Apa yang ada di hati bukan sesuatu yang boleh dinilai dan disukat sepintas lalu. Ia dibina dan dibentuk dengan kesabaran dan ketaatan, dan ia berlalu mengikut masa dan perubahan. Persoalan pemikiran, mentaliti atau sikap (apa jua istilah yang digunakan..).

Syukur kerana semakin ramai yang melaung dan menyahut seruan perubahan, moga dipimpin dalam usaha-usaha ini dan mohon dijauhkan juga dari terpesong dalam mengikut arus perubahan yang semakin deras.

Ramai yang menanti untuk berubah, berharap untuk berubah dan ingin sekali untuk berubah. Ramai juga yang berusaha untuk berubah dan ada juga yang berusaha untuk terus berubah. Pening membacanya kerana terlalu banyak bahasa dan istilah??? =)

[[ Fikir dari segi definisi bahasa dan istilah, teringat kisah mendefinisikan kedai kopi di kampung. fikir maksudnya dari bahasa; (kedai=tempat menjual barang) + (kopi=sejenis minuman berwana hitam). Andai ada orang asing berkunjung, pasti pelik bila diterjemah 'makan di kedai menjual minuman' atau 'lepak di tempat menjual kopi'. Definisi istilah bukan hanya perlukan bahasa, ia perlukan ilmu, ia perlu dilihat dengan mata kepala dan ia perlu pemahaman tentang budaya... ]]

Dalam bahasa mudah, semua manusia sentiasa berubah. Itu fitrah ciptaan Maha Kuasa, kerana manusia diberi kuasa membuat pilihan dalam hidup. Isu yang ingin direnungkan, mengapa berubah? Kerana emosi atau kerana ilmu dalam diri? Emosi mungkin datangnya dari keluarga, harta, kedudukan, hatta dari 'comfort' dalam diri. Emosi mungkin lahir kerana memberontak dan ia lahir juga bila perasaan rasa dirobek walaupun tidak nampak pada pandangan.

Pengertiannya bukan sekadar rasa marah dan benci yang membuak, kerana kesedihan dan rasa serba cukup termasuk dalam emosi juga. Sejarah membuktikan, banyak perubahan lahir atas kesedihan dan kesengsaraan. Perubahan juga bercambah bila kuasa di tangan bertambah dan diri makin tinggi di kaca mata masyarakat. Perubahan-perubahan ini mendapat tempat, tidak ditolak kerana fitrah manusia tadi. Sesuatu yang baru dan panas, pantang dipandang sebelah mata. Ada saja yang menjamahnya dan ada juga lantang menghentamnya. Kerana ia satu benda baru, (dan juga benda hampir basi yang dihangatkan semula...) masing-masing ingin meletakkan nama atau sumbangan mereka sebelum yang hangat tadi sejuk semula.

"Bagus! Prihatin dan berjasa akhirnya.." (berkata-kata pada diri sendiri dan hati masing-masing pun lega..)

Yang mencetus perubahan kerana ilmu, hatinya terbuka dahulu sebelum mata dan telinga. Terbukanya hati itu dengan izin Maha Kuasa. Ia bukan terbuka kerana rajin membaca kitab atau kerana sering mendengar kuliah agama. Keduanya itu usaha.
Berusaha itu memang perlu, malah dituntut. Kalau sekadar menunggu di bawah pokok dan mengharapkan buah gugur ke tanah, silap-silap dari jatuh ke tanah buahnya jatuh atas kepala. Biar otak yang beku dan hanya menunggu serta berharap itu berubah dari static kepada sesuatu yang lebih dynamic.

Untuk melahirkan kekuatan "melihat dunia dengan pandangan iman", hati dan minda perlu dibuka. Buka seluas-luasnya dan biar akidah jadi tapisan. Hati dibuka dengan doa dan amalan, disinarkan dengan akhlak dan perbuatan. Minda dibuka dengan didikan dan pembacaan, disuluh dengan rujukan dan panduan.

Wahyu pertama diturunkan sebagai peringatan dan tanda pentingnya pembacaan dan pena dalam penyebaran ilmu, dan sumber ilmu tidak lain tidak bukan dari Maha Mengetahui. Semua ilmu samada yang lepas, kini mahupun akan datang sumbernya hanya Dia. Kita boleh membeli buku-buku dan membacanya, tetapi akhirnya pemahaman, kesedaran dan tindakan hanya datang jika diizinkan Dia.
Seperti bila melentokkan kepala ke bantal, tanpa izinNya kita tidak akan dapat melelapkan mata. Dan bila menjamah makanan, tanpa izinNya kita tidak akan hilang rasa lapar dan puas dengan makanan yang dimakan.

Kata Syed Qutub dalam menghuraikan wahyu pertama tadi, "Everything starts, works and moves in His name. He is the One Who creates, originates and teaches. Whatever man learns and experiences, and knowledge he acquires come originally from Allah. He has taught man what he did not know."

Ilmu tidak datang andai masa senggang antara kuliah diisi dengan gelak ketawa dan gurauan, masa lapang di hari minggu diisi dengan lena yang asyik di bilik, masa rehat di habiskan dengan berhibur. Minda tidak terbuka andai pembacaan isu semasa terhad kepada akhbar NST atau Utusan, atau lebih teruk hanya membaca akhbar picisan seperti Harian Metro dan Ikon. Minda tidak berkembang andai laman web yang sering dilawati hanya Friendster dan YouTube. Minda tidak terdidik secukupnya jika buku yang ditatap hanya novel cinta melayu dan buku-buku teks tebal untuk ke kuliah.

Seperti itu juga, hati tidak cukup terdidik hanya dengan ibadat wajib dan solat sunat raya 2 kali setahun. Hati juga tidak dapat bertahan dalam dunia yang penuh asakan ini andai benteng dibina hanya bila di masjid atau majlis-majlis agama.

Biarlah iman senipis kulit bawang sekalipun, insyaallah jika ada harapan yang tinggi, usaha berterusan, doa serta tawakal, perubahan yang bermula dengan diri, seterusnya masyarakat dan ummat akan berlaku.

Peringatan juga untuk diri dan sahabat-sahabat, sementara ada masa sebelum hari terakhir tiba dan buku amalan dibuka dan dibaca. Firman Allah:

"(It will be said to him) Read your book. You yourself are sufficient as a reckoner against you this Day."
[Al-Isra 17:14]

Syarah Ibnu Kathir; this ayat means that "you have not been treated unjustly and nothing has been recorded against you except what you have done, because you remember everything that you have done, and no one will forget anything that he did. Everyone will be able to read his Book, whether he is literate or illiterate."



"Iqra" bererti bacalah, berasal dari perkataan "qaraa" bererti membaca. Dan "al-muqri" juga asalnya dari perkataan yang sama, yang membawa erti orang yang membaca. Ya, dari segi bahasanya membaca. Tetapi dari istilah dan falsafah yang dibawanya menuntut supaya ilmu itu dicari dan disebarkan.

Menekankan supaya ilmu itu difahami dan diamalkan. Kita tidak mahu sekadar menjadi seorang pembaca biasa. Andai mendengar, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Andai membaca pula seperti membaca dengan mata dan memadamkannya selepas beberapa kerlipan. Input hanya sekadar di mata, tidak sampai ke otak dan lebih parah kerana tidak jatuh ke hati.

Kesudahannya? Pasti output nya, i.e. akhlak, amalan dan tindakan, tidak ada. Dalam hadith Nabi sendiri telah berpesan tentang bahaya sekiranya berada dalam kelompok ini. Na'uzubillahi min zalik..


“Sesungguhnya engkau berada pada satu zaman yg didapati banyak fuqaha' (org2 yg faham al-Quran) dan sedikit pula qara'nya (org2 yg pandai membaca ayat-ayatnya) tetapi hudud al-Quran (larangan-larangannya) tetap dipeliharanya sedangkan hurufnya tidak pula sangat diwajibkannya. Sedikit orang yg meminta, banyak orang yg memberi. Mereka memanjangkan solat dan memendekkan khutbah. Mereka memulakan saja amal-amal mereka sebelum percakapan mereka.

Dan akan datang satu zaman kepada manusia yg didapati sedikit sekali fuqaha'nya, banyak pula qara'nya, dipelihara benar huruf-hurufnya tetapi disia-siakan hududnya. Banyak orang yg meminta, sedikit org yg memberi. Mereka memanjangkan khutbah, memendekkan solat.
Mereka mulai menurut kemahuan2 mereka sebelum melakukan amal-amal mereka.”

[Hadith dari Ibn Mas`ud dari dalam kitab al-Muwatta’]

Moga sentiasa dalam perlindungan dan kerahmatan.
Wallahua'lam..

1 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah..terjawab akhirnya soalan di entry pertama..