Surah yang dibaca ketika mengimamkan solat Maghrib walaupun di atas kerusi roda membuatkan saya sebak terutamanya bila diulang2 doa dalam ayat2 terakhir surah al-Baqarah. Ia menyuntik semangat baru kepada ribuan orang yang hadir mendengar dengan penuh ikhlas.

Saya kongsikan sedikit catatan yang tidak seberapa dari pertemuan semalam bersama gambar dari tempat duduk saya di celahan ribuan manusia yang hadir. Semoga dapat dimanfaatkan catitan ini, walaupun ianya pasti tidak dapat menyaingi kekuatan, perasaan dan izzah yang wujud ketika mendengar sendiri amanat daripada beliau.
Syeikh Yusuf al-Qardhawi memulakan kalimahnya dengan rasa syukur pada Allah SWT kerana mempertemukannya sekali lagi dengan masyarakat Malaysia, dan mengizinkannya juga bertemu dengan pemuda2 yang memperjuangkan Islam serta sahabat2nya yang telah lama tidak berjumpa. Rasa syukur ini lebih hebat lagi kerana dipertemukan dalam tempat yang terbaik di muka bumi, dalam taman-taman syurga di rumah Allah SWT.