Pernahkah pula anda diminta memberi pandangan saintifik atau bukti pada kepercayaan yang anda pegang selama beberapa dekad? Contohnya yang pernah ditanya pada saya sendiri, mengapa saya tidak minum alkohol dan makan babi? Mengapa sedikitpun tidak boleh dirasa atau dijamah? Apa bukti saintifiknya bahawa keduanya bahaya?
Sewaktu makan malam semalam, tertarik sebentar pada satu temuramah dalam rancangan Close Up di TV One. Isunya berkenaan tentang usaha golongan Atheist di New Zealand untuk meletakkan iklan-iklan mereka pada badan-badan bas awam, dan seorang 'tokoh' mereka yang diimport jauh dari UK dijemput untuk memberikan pandangan.
Secara lantang mereka mempertikaikan kewujudan tuhan, juga mengutuk tindakan pengusaha bas awam yang menolak usaha mereka untuk memaparkan iklan atheist dan menuduh mereka tidak menghormati prinsip 'freedom of speech' dan bersikap diskriminasi. *videonya boleh didapati di sini
Semasa dalam penerbangan Air NZ dari Melbourne ke New Zealand awal tahun ini, saya juga sempat menonton sebuah movie bertajuk "The Invention of Lying". Mulanya saya menyangkakan kisahnya lebih pada kisah komedi, namun lama kelamaan menyedari bahawa ia lebih pada satu kritikan dan sindiran pada orang-orang yang beragama. Temanya juga sama seperti kisah di atas. Golongan atheist yang mempersoalkan kepercayaan mereka yang bertuhan.
New Zealand tidak mempunyai agama rasmi seperti di Malaysia, tetapi gereja-gereja Kristian lama mudah dijumpai di mana-mana. Namun kebanyakannya semakin sepi dan terpinggir, sehinggakan beberapa buah gereja di Auckland dan Christchurch sudah dibeli oleh masyarakat muslim dan ditukar kepada masjid.
Puncanya majoriti golongan muda 'kiwi' di sini semakin ramai yang memilih untuk tidak berpegang kepada agama. Hidup bebas, bergembira tanpa terikat dengan peraturan dan prinsip bertuhan. Tidak hairanlah yang rajin memenuhkan pusat ibadah mereka hanyalah golongan tua, juga golongan pendatang atau imigran terutamanya dari Asia. Saya yakin fenomena yang sama juga berlaku di negara-negara barat seperti Amerika dan England. Inilah yang berlaku apabila sains dan akal diletakkan mengatasi agama dan wahyu.
Jauh terbang mengintai di negara orang, apa kata kita alihkan pandangan ke negara dan bangsa sendiri. Mereka yang berkulit sawo matang sama seperti kita, bercakap bahasa yang serupa, makan makanan yang sama dan berketurunan dari susur galur yang sama.
Sejauh mana pula pengakuan orang-orang kita yang mereka bertuhan? Jika golongan atheist di atas bersungguh-sungguh mahu menyampaikan pendirian mereka kepada masyarakat, tidakkah kita rasa bersalah dan segan apabila kita masih malu dan segan untuk mengaku yang kita bertuhan? Lebih teruk lagi bila kita mengaku bertuhan tetapi tingkah laku, akhlak, gerak geri kita menyampaikan mesej sebaliknya?
Jika dilihat golongan kristian sendiri pun berusaha bersungguh-sungguh memperkenalkan Nabi Isa a.s. yang mereka percaya sebagai anak Tuhan kepada anak-anak mereka dan orang lain melalui pelbagai kisah, lukisan, gambar dan patung. Iklan-iklan mereka terpampang luas bukan di dalam gereja sahaja, malah di kawasan luar, juga di dalam pelbagai media yang menjadi santapan kita seharian.
Apa pula usaha kita untuk memperkenalkan Nabi Muhammad SAW kepada orang lain? Cukupkah sekadar disimpan di dalam diri sendiri sahaja? Benar kita dilarang dari menggambarkan baginda melalui lukisan, gambar mahupun patung. Namun kisah-kisah perwatakan dan urusan seharian baginda jika dibaca dan disampaikan, sangat mengasyikkan. Menunjukkan sikap seorang rasul, yang juga seorang bapa, seorang pemimpin, seorang teman, seorang panglima, seorang ketua keluarga dan ketua dalam segala segi.
Tidak hairan mengapa Michael H. Hart, penulis buku "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History", meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai The Most Influential Person. Tulis Hart dalam bukunya:
"My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels."
Kesimpulannya, perasaan bertuhan itu perlu dibuktikan dan diterjemahkan kepada bentuk amal. Definisi tuhan perlu difahami berdasarkan maksud ilah (إله) yang sebenarnya di mana ia tidak terhad kepada 'tuhan-tuhan' yang seperti kebanyakan kita percaya.
Harta kekayaan, sistem ekonomi kapitalis, sistem hidup sosialis, anak isteri keluarga, pangkat kuasa dan nama juga boleh jadi ilah kepada kita tanpa kita sedari. Ilah secara umumnya boleh diertikan sebagai tuhan/ idola/ sandaran/ pegangan/ keterikatan/ panduan/ pengharapan/ sumber utama/ matlamat.
Maka sewajarnya tindakan kita hanyalah kerana Allah SWT, juga mengikut prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan-Nya. Hanya kepada-Nya lah perasaan khauf dan raja' (takut dan berharap) kita tumpukan. Wallahua'lam...
"اللهم لا سهل الا ما جعلته سهلا ، وانت تجعل الحزن ان شئت سهلا"
O Allah! There is nothing easy except what You make easy,
and You make the difficult easy if it be Your will.
0 comments:
Post a Comment