Kedinginan musim sejuk sentiasa mengingatkan saya pada kisah seorang sahabat yang terulung, digelar sebagai "Penyimpan Rahsia Nabi", juga diberi kebebasan oleh Nabi SAW untuk memilih samada menjadi sebahagian dari golongan Muhajirin ataupun Ansar kerana salasilah bapanya.
Beliau adalah Hudzaifah bin al-Yaman. Bapa beliau al-Yaman adalah merupakan salah seorang dari 10 orang Bani Abbas yang datang menemui Nabi SAW ketika awal kemunculan risalah dan memeluk Islam. Kisah beliau yang sentiasa terngiang-ngiang setiap kali musim sejuk berlaku ketika Perang Khandak atau Perang Ahzab (Perang Parit) ketika tentera Kaum Musyrikin mengepung Kota Madinah.
Hudzaifah bercerita : "Malam itu kami (tentera muslim) duduk berbaris. Abu Sufyan dengan dua baris pasukan kaum musyrikin Makkah mengepung kami sebelah atas, manakala orang-orang Yahudi Bani Quraizoh berada disebelah bawah. Yang kami khuatirkan ialah serangan mereka terhadap para wanita dan anak-anak kami. Malam sangat gelap. Belum pernah kami alami gelap malam yang sepekat itu, sehingga tidak dapat melihat anak jari sendiri. Angin bertiup sangat kencang, sehingga desirnya menimbulkan suara bising yang memekakkan.
Orang-orang yang lemah iman dan orang-orang munafik meminta izin pulang kepada Rasulullah dengan alasan rumah mereka tidak terkunci. Padahal sebenarnya rumah mereka terkunci. Setiap orang yang minta izin pulang diberi izin oleh Rasulullah SAW, tidak ada yang dilarang atau ditahan baginda. Semuanya pergi dengan sembunyi-sembunyi sehingga kami yang tetap bertahan hanya tinggal 300 orang.
Rasulullah SAW berdiri dan berjalan memeriksa kami satu persatu. Setelah beliau sampai dekat padaku, aku sedang meringkuk kesejukan. Tidak ada yang melindungi tubuhku dari udara sejuk yang menusuk-nusuk, selain sehelai sarung kepunyaan isteriku yang hanya dapat menutupku sehingga lutut. Beliau mendekatiku yang sedang menggigil, seraya bertanya, “Siapa ini?”
“Hudzaifah!” jawabku.
“Hudzaifah?” Tanya Rasulullah SAW minta kepastian. Aku merapatkan diri ke tanah, sukar berdiri kerana sangat lapar dan dingin.
“Betul, ya Rasulullah SAW!” jawabku.
“Ada beberapa perkara sedang dialami musuh, pergilah engkau ke sana dengan sembunyi-sembunyi untuk mendapatkan berita yang pasti dan laporkan kepadaku segera!” kata beliau memerintah.
Aku bangun dengan ketakutan dan kedinginan yang sangat menusuk. Kemudian Rasulullah SAW berdoa, “Ya Allah! Lindungilah dia dari hadapan, dari belakang, kanan, kiri, atas dan dari bawah.”
Demi Allah! Sesudah Rasulullah SAW selesai berdoa, ketakutan yang menghantui dalam dadaku dan kedinginan yang menusuk tubuhku hilang seketika sehingga aku merasa segar dan perkasa. Tatkala aku memalingkan diriku dari Rasulullah SAW, beliau memanggilku dan berkata, “Hai Hudzaifah! Jangan sekali-kali melakukan tindakan yang mencurigakan mereka sehingga tugasmu selesai dan kembali melaporkan kepadaku!”
Jawabku, “Saya faham ya Rasulullah SAW!”
Lalu aku pergi dengan sembunyi-sembunyi dan berhati-hati dalam kegelapan malam yang hitam kelam. Aku berhasil menyusup ke tengah-tengah pertahanan musuh dengan berlagak seolah-olah aku anggota pasukan mereka. Tidak lama aku berada di tengah-tengah mereka, tiba-tiba terdengar Abu Sufyan memberi arahan.
Katanya, “Wahai pasukan Quraisy! Dengarkanlah aku berbicara kepada kamu sekalian. Aku sangat khuatir jika perkara ini sampai terdengar oleh Muhammad. Kerana itu perhatikanlah terlebih dahulu setiap orang yang berada di sebelah kamu masing-masing!”
Mendengar ucapan Abu Sufyan itu, aku segera memegang tangan orang yang di sebelahku seraya bertanya, “Siapa kamu?” Jawabnya, “Aku si Fulan, anak si Fulan!”
Sesudah dirasakannya selamat, Abu Sufyan melanjutkan bicaranya, “Wahai pasukan Quraisy! Demi Tuhan! Sesungguhnya kita tidak dapat bertahan di sini lebih lama lagi. Haiwan-haiwan kenderaan kita telah banyak yang mati. Bani Quraizoh telah khianat meninggalkan kita. Angin taufan menyerang kita dengan ganas seperti kalian rasakan. Kerana itu berangkatlah kalian sekarang dan tinggalkan tempat ini. Sesungguhnya aku sendiri akan berangkat.”
Selesai berkata begitu, Abu Sufyan terus mendekati untanya, dilepaskan tali penambat, lalu dia menaiki dan memukulnya untuk berjalan. Unta itu bangun dan Abu Sufyan terus berangkat. Seandainya Rasulullah SAW tidak melarangku melakukan sesuatu tindakan di luar perintah sebelum datang melaporkan kepada baginda, sungguh telah kubunuh Abu Sufyan dengan pedangku.
Aku kembali ke kumpulan tentera Islam menemui Rasulullah SAW. Kudapati baginda sedang solat di tikar kulit milik salah seorang isterinya. Tatkala baginda melihatku, didekatkan kakinya kepadaku dan dihulurkannya hujung tikar menyuruhku duduk dekat dengan baginda. Lalu aku melaporkan kepada baginda segala kejadian yang kulihat dan kudengar. Beliau sangat senang dan gembira, lalu mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT.
Wednesday, June 16, 2010
1 comments:
Rupanya, perintah Rasulullah itu bermakna...
Abu Sufyan memeluk Islam pula kemudiannya... ^^
Allah maha mengetahui dan mengatur dunia... ^^
Post a Comment