Renungan 17 Ramadhan

on 11:06 PM


Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan 2H memberi kita beberapa pengajaran penting yang berguna untuk diaplikasi dalam kehidupan hari ini. Antara yang boleh kita kongsi bersama di malam 17 Ramadhan ini:

1. Yakin dan percaya pada pertolongan Allah SWT

Ingatkah kita pada seribu satu pertolongan Allah SWT ketika peperangan ini? Antaranya Dia menurunkan hujan sebelum peperangan ini berlaku, lalu membasahi lapangan Badar sehingga mudah dilalui (menjadi padat dan lembut) oleh tentera islam. Ia juga menambah bekalan air pada tentera islam di kawasan padang pasir yang kontang, membantu mereka menyucikan diri dan menguatkan jiwa mereka untuk menentang tentera kuffar (rujuk al-Anfal: 11).

Ingatlah yang Allah SWT akan sentiasa membuka jalan dan pintu pada kejayaan apabila kita meletakkan keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Dia!


2. Kepentingan Tawakal pada Allah SWT

Peperangan ini mengajar dan menunjukkan kepada ummat islam kepentingan dan kesan dari sikap tawakal kepada Allah SWT. Orang yang bertawakal kepada Allah SWT akan diberi ketenangan dan ketenteraman ke dalam hati mereka, dan akan turun para malaikat membantu menetapkan pendirian mereka dan membantu mereka dalam menyelesaikan sesuatu urusan.

3. Kejayaan adalah hak milik Allah SWT dan hanya datang dari Dia!

Kisah perang Badar mengajar kita bahawa untuk mencapai kejayaan, bukan sekadar kekuatan fizikal, material dan kuantiti yang diperlukan. Keimanan, keyakinan dan tawakal pada Allah SWT adalah antara resepi penting lain yang mesti ada kerana kejayaan adalah hak milik Dia.

Ingatlah yang kesenangan dan kejayaan hidup kita kini bukanlah kerana usaha tungkus lumus kita, tetapi kerana ia dikurniakan oleh Allah SWT (rujuk al-Anfal: 17).

Wajar diingatkan juga bawaha usaha kita dalam bulan Ramadhan ini untuk membentuk jiwa tidak boleh hanya dengan usaha ibadah fizikal semata-mata, tetapi perlukan doa dan pengharapan pada Dia.

4. Kamu tidak pernah bersendiri!

Rasulullah SAW tahu bahawa baginda dan para sahabat tidak bersendirian ketika di medan pertempuran Badar. Allah SWT telah mengkhabarkan di dalam al-Quran akan turunnya bantuan dari para malaikat, juga bantuan dalam bentuk hujan dan ketenangan, kepada tentera islam.

Persoalan yang boleh ditanya kepada diri kita adalah bagaimana dan apa yang perlu dilakukan supaya bantuan Allah SWT ini turun membantu kita dalam kehidupan masa kini? Cukupkah dengan niat yang baik sahaja dalam melakukan sesuatu perkara sebagai syarat untuk mendapat pertolongan dan bantuan? Bagaimana dengan cara dan tindakan dalam amalan seharian?

5. Mukmin itu bersaudara

Hari ini kita melihat persengketaan dan perselisihan sesama ummat islam sendiri kerana tiada kesefahaman dan kesepakatan. Namun jika diimbas kembali peperangan Badar menunjukkan hasil dari kekuatan ukhuwah persaudaraan islam, bilamana tentera islam yang jumlahnya sedikit bersatu, saling membantu dan menguatkan.

Tentera kuffar yang asalnya keluar dengan perasaan bongkak dan takabbur kerana kelebihan mereka akhirnya kucar kacir dan takut melihat kekuatan kesatuan dan disiplin yang ada pada tentera islam. Hatta syaitan sendiri lari dan berpaling dari medan peperangan setelah melihat kekuatan tentera islam dan bantuan yang turun dari Allah SWT (rujuk al-Anfal: 48).

6. Pantang tewas dan jangan mengalah!

Satu pengajaran penting dari peperangan Badar untuk kita di bulan Ramadhan ini adalah jangan biarkan diri dan jiwa kita ditewaskan oleh hawa nafsu sendiri – samada dengan sifat malas, memberi seribu satu alasan, atau bertangguh. Sungguh bantuan dari Allah SWT itu sangat dekat dan hebat, jadi jangan biarkan diri kita tewas!

0 comments: