Satu

on 6:31 PM

Umum tahu dan sedar dengan keagungan dan kemuliaan al-Quran. Kalau diimbas semula kenangan waktu kecil dulu, paling kurang masing-masing mungkin ada pengalaman dihantar balajar 'mengaji'. Kalau di kampung, biasanya hantar ke pondok ustaz ustazah dengan rotan di tangan. Waktu sekolah rendah, kalau di Selangor ada sesi sekolah petang, atau lebih tepat lagi sekolah agama berbaju putih bersampin/bertudung hijau (kini dah tukar pada kaler merah). Belajar segala macam perkara dalam islam, dari perkara yang penting dan masuk ke dalam kepala, hingga pada perkara kecil yang lama-kelamaan jadi amalan tanpa sedar.

Teringat kisah-kisah di waktu itu, dan cuba bandingkan dengan sekarang?

Waktu untuk 'menjamah' al-Quran semakin kurang. Lambakan buku tebal tepi katil dan atas almari mungkin jadi sebab. Ditambah lagi dengan laptop terpasang 24/7 sepanjang masa, tangan dan jari jemari selalu berlari ke arah mouse dan keyboard, belayar di internet (frenster cthnya) atau terpaku melihat movies dan drama. Oh, ada lagi satu!! Ramai ada masalah terikat dengan TV juga...

Cukup dulu mungkin sebagai permulaan. Peringatan untuk diri sendiri, yang selalu sangat leka.

Sebenarnya mahu berkongsi kisah semalam. Hidup dalam komuniti kecil di Dunedin, buat pertama kali, berkumpul bagi membudayakan al-Quran dalam perjalanan seharian, sambil saling memperingati semua.

Malam minggu (jumaat malam sabtu) biasanya waktu mereka (i.e. Kiwis') bersosial dengan parti mereka. Musik rancak, pub, arak dan tarian jadi pengubat mereka mengisi kekosongan. Bagi yang mengaku muslim dan beriman? Begitukah juga hiburan pengisi ruang hidup?

Semasa al-Quran baru diturunkan, kerana terlalu tinggi bahasa, sastera, nilai, peringatan dan kandungannya, kafir musyrikin Mekah bingung seketika. Bagaimana mahu melawan kekuatan bahasa yang tak terlawan ini? Lalu mereka berkumpul dan berpakat untuk melakukan beberapa perkara bagi menghentikan gerakan nabi ketika itu.

Pertama, mereka berpakat untuk mengatakan al-Quran sebagai sihir yang akan menyihir sesiapa yang mendengarnya. Kata-kata penasihat kaum kafir ketika itu, al-Walid bin al-Mughirah diceritakan Allah dalam surah al-Muddathir;

"Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh. Serta ia berkata: (al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya). Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!" (74:23-25)


Kemudian, langkah keduanya adalah dengan melarang sesiapa sahaja di kalangan mereka daripada mendengar al-Quran. Mereka tidak mahu orang lain mendengar bacaannya, dan tidak mahu ia nya disuarakan dan dikumandangkan. Mereka tidak mahu orang Mekah yang arif lagi faham akan bahasa Arab tersedar dengan ketinggian nilaian dalam al-Quran. Mereka tidak mahu jiwa dan hati terbuka kerana ketukan indah dan cantik yang dibawa itu. Firman Allah dalam surah Fussilat sudah cukup menggambarkan langkah mereka ini.

"Dan orang yang kafir berkata: Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyanyian dan jeritan riuh rendah serta tepuk sorak) supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan dan menenggelamkan suara pembacanya)." (41:26)

Andai dibuka kisah para sahabat, pasti ketemu kisah-kisah mereka yang masyhur memeluk islam setelah mendengar bacaan al-Quran. Contohnya Umar al-Khattab yang terkenal dengan ketegasannya dan kekerasannya sebelum islam, bagaimana bacaan surah Taaha oleh adiknya Fatimah menusuk hatinya hingga tergerak untuk memeluk islam.

Moga kita dapat selalu panjatkan doa dan berusaha supaya tentangan-tentangan pada al-Quran tadi (i.e. nyanyian / jeritan / tepuk sorak / bicara kosong / kejian / umpatan dll...) tidak datang menyerang dan mengalahkan diri kita.

Senang menulis, senang berkata.

Malang tapi;

Malas berkerja, sukar berbicara.

0 comments: