Bergembiralah kamu!

on 12:38 PM

Bergembiralah kamu! Hanya beberapa hari sahaja lagi tinggal sebelum hadiah yang sangat hebat akan sampai. Hadiah yang sangat luas rahmatnya, sangat besar keampunan di dalamnya, dan sangat hebat keberkatannya. Hadiah ini untuk semua muslim di seantero dunia, tidak kira di mana seseorang itu berada.
Tahukah anda apa hadiah itu???

Itulah Ramadhan al-Kareem. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh pemuda pemudi Islam terutamanya untuk berlumba-lumba mengejar kebaikan, kerahmatan dan keampunan. Bulan di mana peristiwa besar Lailatul Qadr berlaku, yang mana malam itu lebih baik dari seribu bulan dan bulan kemuncak pengibadatan orang-orang Islam untuk mengejar darjat muttaqin di sisi Allah SWT. Di bulan ini juga berlaku beberapa peristiwa besar dan penting bagi kaum muslimin. Antaranya peristiwa peperangan Badar pada 17 Ramadhan 2 H, pembukaan kota Makkah pada 10 Ramadhan 8 H, pembukaan Kota Andalus pada 92 H dan peperangan Ain Jalut pada 658 H.

“Ya Allah, pertemukan kami dengan Ramadhan. Bantulah kami Ya Allah untuk menunaikan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya dan melakukan Qiam pada malamnya.Ya Allah, terimalah segala amalan kami ini. Amin…”


Sesunguhnya Rasulullah SAW sangat gembira apabila menyambut kedatangan Ramadhan ini dan baginda juga memberikan khabar gembira kepada umatnya akan kedatangan bulan ini. Kegembiraan ini dapat dilihat secara ringkas menerusi intipati khutbah baginda dalam menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia ini.

Dari Salman Al-Farisi r.a. berkata: “Rasulullah shalallahu ‘alaihi wa sallam berkhutbah pada hari terakhir bulan Sya’ban:
Wahai manusia telah datang kepada kalian bulan yang agung, bulan penuh berkah, didalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasanya wajib, dan qiyamullailnya sunnah. Siapa yang mendekatkan diri dengan kebaikan, maka seperti mendekatkan diri dengan kewajiban di bulan yang lain. Siapa yang melaksanakan kewajiban, maka seperti melaksanakan 70 kewajiban di bulan lain. Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan kesabaran balasannya adalah surga. Bulan solidaritas, dan bulan ditambahkan rezeki orang beriman. Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari api neraka dan mendapatkan pahala seperti orang orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun.”
Kami berkata: Wahai Rasulullah SAW Tidak semua kita dapat memberi makan orang yang berpuasa?
Rasul SAW bersabda: “Allah memberi pahala kepada orang yang memberi buka puasa walaupun dengan satu biji kurma atau seteguk air atau susu. Ramadhan adalah bulan dimana awalnya rahmat, tengahnya maghfirah dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Siapa yang meringankan orang yang dimilikinya, maka Allah mengampuninya dan dibebaskan dari api neraka. Perbanyaklah melakukan 4 perkara; dua perkara membuat Allah redha dan dua perkara Allah tidak butuh dengannya. 2 perkara itu adalah; Syahadat Laa ilaha illallah dan beristighfar kepada-Nya. Adapaun 2 perkara yang Allah tidak butuh adalah engkau meminta surga dan berlindung dari api neraka. Siapa yang membuat kenyang orang berpuasa, Allah akan memberikan minum dari telagaku (Rasul SAW) satu kali minuman yang tidak akan pernah haus sampai masuk syurga.”(HR al-‘Uqaili, Ibnu Huzaimah, al-Baihaqi, al-Khatib dan al-Asbahani)

Bersediakah kamu?

Jadi persoalannya kini bersediakah kita untuk menyambut bulan yang mulia ini? Atau mungkin ada yang masih tidak tahu atau tidak jelas mengapa perlu bersedia?
Sesetengah orang mungkin akan berkata, “Ahh, bulan puasa aje. Nak bersedia apa? Sediakan stok makanan untuk berbuka boleh laa.” Atau, mungkin ada juga yang akan bertanya, “Bulan puasa? Hmm, mesti aku penat dan letih nanti. Susah laa aku macam ni. Nak belajar susah, nak bangun pagi susah, nak pergi kelas susah, apa lagi nak tahan lapar dalam sejuk-sejuk Dunedin nih!”
Jadi bagaimana agaknya kita menghadapi masalah-masalah seperti ini? Itulah sebenarnya penting untuk kita bersiap sedia. Persiapan menyambut Ramadhan bukan hanya dengan menyimpan stok makanan atau memuaskan nafsu makan, tetapi lebih besar dari itu. Mari kita selidiki sama-sama bagaimana mempersiapkan diri untuk menyambut bulan yang mulia ini.

1) Persediaan Mental

Bagaimana agaknya mental mempengaruhi persediaan kita menyambut Ramadhan? Pertama-tamanya, tahniah pada anda kerana usaha anda untuk membaca artikel ini menunjukkan mental anda sedikit sebanyak sudah bersedia. Persiapan mental ini penting supaya usaha dan keyakinan kita sepanjang bulan Ramadhan akan kekal dan bertambah, tidak turun naik terutamanya di bahagian penghujung Ramadhan apabila segala macam tarikan jualan murah dan persiapan raya merajai persekitan kita. Orang yang bersedia secara mental akan mampu untuk meneruskan proses ibadah Ramadhan, hinggakan mampu beriktikaf dan ber’taqarrub’ kepada Allah di penghujung Ramadhan. Ada benarnya pendapat mereka yang berkata bahawa kejayaan dalam Ramadhan bagi seseorang dilihat pada ibadah di penghujung bulan.

2) Persediaan Spiritual (Ruhiyah)

Persediaan ini dapat dilakukan dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir, solat sunat dan puasa sunat apabila Ramadhan semakin hampir. Jika sebelum ini anda hanya membaca sehelai muka al-Quran sehari, tingkatkanlah perlahan-lahan kepada dua atau tiga muka. Begitu juga dengan solat malam dan solat subuh berjamaah di masjid, latihlah diri untuk bangun di awal pagi. Contoh yang terbaik bagi persediaan ini dapat dilihat pada qudwah hasanah kita, sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah r.a. berkata, “Saya tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya, kecuali di bulan Ramadhan; dan saya tidak melihat dalam satu bulan yang lebih banyak puasanya kecuali pada bulan Say’ban.” (HR Muslim)


3) Persediaan Fikriah (Pemahaman)

Persediaan ini dilakukan dengan mendalami ilmu-ilmu Allah SWT, khususnya ilmu yang berkaitan dengan ibadah Ramadhan. Realiti hari ini memperlihatkan ramai yang berpuasa hanya sekadar menahan lapar dan minum. Hal ini berlaku kerana ibadah puasa itu tidak dilandaskan dengan ilmu yang cukup. Pastinya kita tidak mahu beramal tanpa ilmu, kerana ianya akan menjadi sia-sia seperti pohon yang tidak berbuah. Antara ilmu yang boleh dibaca dan dipelajari adalah tentang erti ibadah puasa, cara-cara solat sunat tarawih dan solat sunat malam, hukum hakam dalam bersahur, berpuasa, berbuka dan sebagainya. Jika anda tidak mempunyai sumber bacaan untuk ini, mintalah dari mereka yang lebih tahu dan mnegerti.

4) Persediaan Fizikal

Mengapakah persediaan ini penting? Bayangkan jika anda berpuasa dalam keadaan anda selesama atau demam, susah bukan? Pastinya anda tidak mahu duduk sepanjang hari di dalam bilik dan di bawah selimut ketika berpuasa. Maka itulah pentingnya untuk menjaga kesihatan anda dan sahabat-sahabat anda juga. Antara langkah praktikal yang boleh dilakukan adalah membersihkan bilik, rumah dan masjid, tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh mendedahkan kepada kecederaan seperti bermain ragbi tanpa henti dan juga menjaga waktu tidur anda setiap hari. Elakkan tidur lewat malam, sebaliknya tidurlah awal dan kemudian bangun awal untuk solat malam. Menghiaskan diri, bilik, rumah dan kawasan persekitaran juga termasuk dalam persediaan ini.

5) Persediaan Harta

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa persediaan ini perlu. Mari kita sama-sama fikirkan. Sebelum ini, bila tiba bulan Ramadhan, berapa banyakkah yang kita bazirkan untuk membeli lauk-pauk hidangan untuk berbuka? Atau berapa banyak yang kita habiskan untuk membeli kuih raya, baju raya, handphone raya, songkok raya dan sebagainya? Dalam bulan Ramadhan ini kita digalakkan untuk memberi makan kepada orang lain terutamanya ketika berbuka, bukan untuk memberi makan tanpa henti kepada diri sendiri. Maka didiklah diri untuk berbelanja dengan cermat sejak dari sebelum Ramadhan lagi. Banyakkan bersedekah pada ahli keluarga, orang miskin dan juga pada sahabat-sahabat di sekeliling kita. Jangan lupa juga untuk tunaikan zakat fitrah anda di penghujung Ramadhan.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
[Al-Baqarah 2: 183]


Tingkatkan Prestasi & Muhasabah Sentiasa

Satu pegangan yang penting bagi seorang muslim adalah biar hari ini lebih baik dari semalam, dan esok labih baik dari hari ini. Dalam erti kata lain, hidup ini perlukan peningkatan yang berterusan!
Jika tahun lepas kita mampu berpuasa selama sebulan dan mengkhatamkan setengah daripada al-Quran, maka tahun ini tingkatkan azam dan usaha untuk mengkhatamkan keseluruhan al-Quran. Ajak rakan-rakan serumah untuk bertadarus dan bangun malam, hidupkan bacaan zikir dan ma’thurat selepas subuh dan sebelum maghrib, dan sentiasa menilai amalan harian di penghujung setiap hari. Muhasabah, atau evaluation merupakan satu perkara pokok yang kita tidak boleh tinggalkan. Untuk membantu dalam muhasabah ini, disertakan (klik: borang muhasabah) untuk simpanan anda sendiri. Anda yang menjawabnya, dan anda juga yang memeriksanya. Amanah ini untuk anda simpan dan nilai, moga membantu dalam mempertingkatkan ketaqwaan diri.

Wallahua’alam

“Ramadhan merupakan jihad ruhi yang menguji keimanan manusia dan kekuatan iradahnya. Semakin kita dapat mengekang gelojak keinginan nafsu, maka semakin hampir kita dengan kelazatan rohani. Apabila kita mampu menguasai diri, maka akan terbukalah pintu-pintu kemenangan.”

(Entry ini ditulis untuk DuniaDeen)

0 comments: