Zaman Kebangkitan

on 2:14 PM

Zaman ini adalah zaman kebangkitan. Zaman di mana mujahid dan mujahidah muda dakwah muncul di merata tempat di seluruh pelusuk dunia memperjuangkan kalimah Allah SWT, meningkatkan kefahaman muslim tentang Islam yang hakiki serta menyebarkan Islam kepada mereka yang belum menerimanya.

Zaman ini adalah zaman di mana sistem dan produk Islam mula dicari, dikaji dan digunapakai di dalam masyarakat. Ribuan jutaan penulisan dihasilkan, samada semudah perkongsian pengalaman, curahan hati, penyampaian semula nota kuliah atau tazkirah yang didengar, sehinggalah kepada penulisan idea-idea bernas dan bermutu untuk melonjakkan lagi kebangkitan ini. Amal-amal kebaikan juga sudah mula mengalir ke dalam masyarakat dan juga mudha diterima.

Masjid Khalid al-Walid di Syria

Di celah-celah ribuan jutaan pemuda-pemuda yang berkerja ini, insyaAllah terselitlah nama kita selaku salah seorang pekerja. Walaupun bukan nama yang dicari, namun hakikatnya kerja-kerja ini membawa kepada nama kita dikenali, malah kita sendiri yang sebenarnya memerlukannya untuk terus maju ke hadapan.

Dakwah Nabi SAW tidak akan berkembang jika kaum kafir quraisy serta pemimpin-pemimpin di sekitar semenanjung tanah arab tidak mengenali baginda. Para sahabat yang jumlahnya ribuan itu juga nama mereka sehingga kini masih lagi disebut-sebut. Begitu juga para tabi’en dan generasi ulama’ seterusnya, penyambung kepada penyebaran risalah, nama-nama mereka sehingga kini masih lagi dikenali dan diulang-ulang.

Inilah satu fitrah dan ketetapan yang mulia. Generasi demi generasi yang menyambung usaha dawah, nama mereka dimuliakan dan diangkat darjatnya lebih tinggi di sisi Allah SWT, malah juga di sisi manusia. Dari setiap generasi pasti ada contoh tauladan yang boleh diikut dan dijadikan contoh. Walau mereka bukan maksum seperti Nabi SAW, pasti ada sedikit sebanyak iktibar, ilmu serta pengajaran yang boleh diambil.

Dalam ratusan ribu pekerja atau jundiyyah ini, kita perlu meyakini bahawa setiap individu mempunyai peranan dan kemampuannya yang tersendiri. Al-Quranul Karim menjelaskan bahawa manusia tidak semuanya berada pada peringkat yang sama, meskipun wujud persamaan dalam sifat manusia berdasarkan asal penciptaaanya. Beberapa contoh ayat menjelaskan tentang perbezaan ini yang disebabkan oleh perbezaan ilmu pengetahuan dan amal perbuatan manusia itu sendiri (*rujuk surah al-Hujurat: 13, az-Zumar: 9, an-Nisa’: 95, dan Fatir: 32).

Beruntunglah mereka yang menjadi pengasas usaha dakwah, membentuk pekerja-pekerja baru yang faham dan taat, serta merancang masa depan dakwah dengan tersusun. Berbahagialah mereka yang melepasi tahap kematangan dalam dakwah, tanpa segan silu tampil ke dalam masyarakat mengisytiharkan dakwah secara terang-terangan, memperkatakan kebenaran dengan penuh hikmah dan mengorbankan diri sebagai bukti keimanan dan kefahamannya terhadap tuntutan agama ini.

Bertuahlah mereka yang dahulunya leka dan alpa dengan kemewahan dunia, namun kemudiannya sedar dan berpaling, dan seterusnya tampil menjadi pembela dan penyumbang yang tidak pernah kikir dan berkira dengan habuan dunia. Berbahagia jugalah mereka tidak merasa hina dan lemah diri walaupun terpaksa berusaha keras melawan godaan dunia, malah tetap cekal dan tabah berada di atas jalan agama ini tanpa keluh kesah dengan dugaan dan ujian sementara yang menimpa.

Perbincangan ini membawa kepada persoalan tentang di mana letaknya kedudukan kita sekarang? Apakah amal yang terbaik perlu dilakukan pada waktu ini? Siapakah yang memainkan peranan yang lebih penting dalam barisan jundiyyah ini? Siapakah yang paling istimewa darjatnya dan tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT?

Imam Malik ketika menjawab sepucuk surat yang dihantar kepadanya menyeru supaya beliau beruzlah, meninggalkan orang ramai untuk beribadat, telah memberi jawapan yang cukup ringkas dan padat:
“Allah telah memberikan amal sebagai mana Dia membahagikan rezeki. Berapa ramai orang yang dikurniakan Allah untuk memperbanyakkan solat tetapi dia tidak memperbanyakkan puasa. Yang lain pula memperbanyakkan sedekah tetapi tidak memperbanyakkan puasa. Yang lain dikurniakan untuk berjihad dan menyebarkan ilmu yang merupakan sebaik-baik amal. Aku telah meredhai apa yang Allah kurniakan kepadaku. Aku tidak beranggapan apa yang kamu lakukan itu lebih baik daripada apa yang aku lakukan. Apa yang aku harapkan semoga kita semua berada di atas kebaikan.”

Perumpamaan kebaikan itu dibahagikan seumpama rezeki menjelaskan kita tentang perkara ini. Para nabi dan rasul telah mendapat bahagian yang paling baik, lengkap dalam setiap kelebihan. Manakala manusia yang lain hanya mewarisi sebahagian daripada kebaikan dan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka. Ada yang kelebihannya dari segi ilmu pengetahuan, sebahagian yang lain dari ibadah dan taqarrubnya kepada Allah, dan sebahagian yang lain memahami Islam secara keseluruhan dan melaksanakannya secara termampu dengan ilmu pengetahuan yang ada.

Mengetahui tentang hakikat ini sudah cukup untuk menjadikan kita semua saling tolong menolong dan nasihat menasihati untuk kesejahteraan ummah secara keseluruhan. Setiap kelebihan yang diberikan bukan untuk merasakan diri lebih hebat dari yang lain, atau merasakan amal diri lebih afdal dan itulah jalan yang sebenar, apatah lagi digunakan untuk menyerang orang lain yang tidak punya kelebihan yang sama. Dunia seluruhnya hari ini memerangi Islam dengan hebat dari segenap penjuru. Malang jika pendokong-pendokong Islam sibuk dengan masalah yang dicipta sendiri dan sibuk mempertikaikan mereka yang lain.

Hayatilah kata-kata Imam Malik, “Apa yang aku harapkan semoga kita semua berada di atas kebaikan.” Setiap dari kita punya peranan masing-masing dan tersendiri. Ada yang letaknya di barisan hadapan sebagai pimpinan, dan ada juga yang letaknya di barisan hadapan sebagai rujukan. Bukan semua sahabat seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Ali dan Uthman radiallahu’anhum yang memegang jawatan khalifah, dan bukan semua sahabat juga yang terkehadapan sebagai ulama tempat rujukan seperti Abdullah b Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud dan Ibnu Amru.

Bukan semua sahabat juga boleh menjadi pimpinan perang seperti Khalid al-Walid, Miqdad dan Usamah b Zaid. Ribuan sahabat lagi nama-nama mereka masyhur dalam perkara yang lain, dan tidak tertonjol dalam perkara-perkara yang telah disebut. Pintu-pintu kebaikan dalam Islam sangat luas dan pelbagai. Walaupun ada perbezaan dari segi martabat dan kelebihan masing-masing, Allah SWT telah menjanjikan keredhaan-Nya dan balasan yang terbaik untuk mereka yang berkerja dengan niat yang ikhlas serta punya nilai ketakwaan yang tinggi. Maka ayuh, berlumba-lumbalah melakukan kebaikan!

“Dan bagi setiap umat ada arah yang mereka menghadap kepadanya; maka berlumba-lumbalah kamu (melakukan) kebaikan.” [al-Baqarah: 148]

0 comments: