Sejak pulang ke Malaysia, hari-hari pertama saya disibukkan dengan urusan-urusan di bank dan pejabat-pejabat kerajaan. Sementara menanti nombor giliran dipanggil (yang pernah sehingga 3 jam!), sempat saya memerhatikan pelbagai ragam manusia di sekeliling. Kebanyakannya sibuk dengan telefon bimbit. Ada yang sempat tidur, yang lain melayan kerenah anak kecil dan ramai juga yang sekadar melangut kosong.
Mengapa masa terluang seperti ini disia-siakan begitu saja?
Situasi yang sama juga untuk sahabat-sahabat sekeliling, terutamanya yang sedang bercuti panjang dalam cuti musim panas New Zealand dan Australia. Tentu banyak bukan masa lapang anda di rumah sekarang?
“Baru seminggu balik je dah bosan la tak tahu nak buat apa.” kata seorang teman baru-baru ini.
Bukankah semasa sibuk dengan buku-buku pelajaran dahulu kita juga yang merungut mahukan cuti dan masa lapang? Mengapa kini masa lapang itu disia-siakan?
Ketika di pejabat pendaftaran, sewaktu menunggu seorang pemuda di kiri saya sibuk dengan Playstation Portable (PSP)-nya. Di depan pula, seorang remaja lelaki sibuk dengan telefon bimbitnya dari awal waktu menunggu sehingga akhir dan kawan wanitanya di sebelah asyik dengan lagu-lagu dari MP3 yang disumbat ke dalam telinganya.
Mengapa hiburan-hiburan seperti ini jadi pilihan?
"Siapa yang merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke Syurga." (H.R. Muslim)
Bukankah lebih baik jika waktu senggang seperti ini digunakan untuk sesuatu yang dapat mengangkat darjat dan kemuliaan kita bukan sahaja di sisi manusia tetapi yang lebih utama di sisi Allah Swt?
Bagaimana menambahkan ilmu ketika waktu senggang? Saya yakin sahabat semua sudah tahu jawapannya. Ya, membaca!
“Bacalah!” Bukankah itu perkara pertama yang diperintahkan oleh Jibril kepada Rasulullah SAW junjungan mulia kita?
Orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang khusus di dunia mahupun akhirat. Orang yang berilmu boleh jadi lebih mulia daripada mereka yang banyak harta dan tinggi jawatan atau kuasa. Bahkan, lebih mulia dari ahli ibadah sekalipun.
Rasulullah SAW bersabda, "Kelebihan seorang alim (ilmuwan) terhadap seorang 'abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang." (H.R. Abu Dawud)
Di waktu semester universiti atau sekolah berjalan, ataupun di tempat kerja, tumpuan semestinya pada perkara-perkara yang berkaitan dengan pelajaran atau kerja. Namun apa pula alasannya jika di waktu lapang ini tidak kita gunakan untuk meluaskan pembacaan pada bidang-bidang lain yang juga penting dalam kehidupan?
Islam menginginkan umatnya bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. Namun tidak ada satu kejayaanpun yang dapat dicapai melainkan dengan ilmu dan izin Allah Swt. Daripada sekecil-kecil perbuatan seperti menyuap nasi sehinggalah membina tamadun dunia, semuanya perlukan ilmu. Mahu mendidik diri perlukan ilmu, apatah lagi mahu membina keluarga dengan pasangan dan anak-anak yang soleh dan solehah juga perlukan ilmu.
Ilmu ini tidak dapat dicapai dengan hanya memerhati dan mengharapkan ditunjuk ajar oleh orang lain. Mengapa tidak kita yang ke hadapan mengambil langkah awal untuk mendalami lautan ilmu yang luas ini?
Jika kita diajak bicara tentang ekonomi, politik, isu-isu semasa, sains dan teknologi, atau pertanian, mampukah kita memahami dan mengupasnya dengan baik?
Bagaimana pula dengan ilmu yang menyuluh jalan untuk kita ke syurga? Cukupkah ilmu yang dipelajar dari buku teks di sekolah beberapa ketika dahulu?
“Ustaz aku dekat sekolah dulu cakap macam ni, jadi aku ikut la.”
“Oh, dulu atuk aku ajar solat dan doa macam ni. Aku tak tahu kenapa. Korang kena tanya atuk aku la kalau nak tahu.”
Ini sesuatu yang agak biasa didengari. Di kalangan pemuda pemudi yang usianya sudah lebih dua abad, referens dalam perbualan ilmiah atau lebih spesifik ilmu agamanya adalah dari ustaz-ustaz atau ahli keluarga dalam abad yang lepas!
Apakah pelajaran tentang ilmu Islam-nya terhenti setakat itu sahaja?
Benar, untuk mereka yang di luar negara, tidak ada lagi subjek Pendidikan Islam yang diajar sebagai subjek wajib dalam silibus. Jarang pula bertemu ustaz-ustaz untuk mengajar dan mengulangkaji ilmu-ilmu terdahulu yang dihafal semata-mata kerana peperiksaan dan apabila mahu diaplikasikan terpinga-pinga tidak tahu bagaimana.
Namun itu bukan alasan sebenarnya untuk tidak mendalami ilmu-ilmu baru.
Seorang doktor sepanjang perjalanan hidupnya akan sentiasa mengkaji dan menjumpai ilmu-ilmu baru dalam bidang kedoktoran. Seorang guru juga perlu untuk mengikuti perkembangan pendidikan terbaru dan belajar dahulu untuk mengajar anak-anak muridnya kemudian. Begitu juga dalam bidang-bidang pekerjaan yang lain. Semuanya sentiasa berkembang dan semakin hari semakin banyak perkara baru ditemui dan perlu diketahui.
Nah, sekarang bagaimana pula dengan ‘profession’ kita sebagai seorang Muslim?
Sudahkah kita tunaikan haknya? Perkembangan dan pengetahuan kita tentang Islam, sudah terhenti atau masih terus berjalan? Jika dua jam dihabiskan setiap hari untuk membaca buku pelajaran universiti, berapa banyak waktu digunakan untuk membaca buku-buku ilmu Islam?
Benar, buku-buku pelajaran universiti itu juga buku-buku Islam. Tetapi buku-buku Islam yang dimaksudkan di sini adalah ilmu-ilmu wajib fardhu ‘ain yang wajib dipelajari oleh setiap muslim tanpa kecuali yang di dalamnya termasuk aqidah, ibadah, tazkiyatunnafs, akhlak dan lain-lain.
Bagaimana seseorang dapat mengelakkan diri dari melakukan dosa jika erti dosa itu sendiri tidak difahami?
Bagaimana pula seseorang dapat menjaga akhlaknya jika erti akhlak yang baik serta sifat-sifat akhlak mahmudah itu tidak diketahui?
Bagaimana untuk mencontohi Rasulullah SAW jika seerah kehidupan baginda serta para sahabat tidak kita ketahui?
Bagaimana untuk mengambil al-Quran dan sunnah sebagai panduan jika al-Quran hanya dibuka pada majlis-majlis keramaian? Dibaca pula tanpa difahami dan dihayati?
Al-Quran menjelaskan bahawa orang yang paling takut pada Allah adalah para ulama.
"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama." (Fathir: 28)
Apa yang diertikan dengan para ulama di sini? Tentunya, mereka yang memahami kebesaran dan kekuasaan Allah Swt.
Memahami kebesaran dan kekuasaan Allah Swt ini bukan hanya dengan mendalami ilmu-ilmu fardhu ‘ain seperti aqidah, tetapi juga dengan ilmu-ilmu fardhu kifayah seperti ilmu perubatan dan fizik yang kebanyakan manusia kini sibuk mengejarnya dan menjadikan ia paksi kehidupan walaupun bukan itu sebenarnya yang dituntut.
Ilmu dan Kehidupan
Hidup dan ilmu pengetahuan hampir tidak dapat dipisahkan. Ilmu tetap diperlukan walau dalam apa suasana sekalipun. Sangat sukar untuk membayangkan jika kehidupan ditelusuri tanpa pengetahuan. Ruang-ruang kehidupan menjadi begitu gelap dan jalan yang akan ditempuh pun akan nampak bercabang-cabang.
Maka kerana itulah Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu.
"Menuntut ilmu wajib buat tiap muslim (laki-laki dan perempuan)." [H.R. Ibnu Majah].
Kita tidak mahu menjadi korban kepada kebodohan dan kezaliman. Cukuplah melihat keadaan masyarakat di sekeliling yang paksi kehidupannya adalah hedonisma ataupun hiburan. Kanak-kanak dari usia kecil sudah diajar menari dan menyanyi, dengan artis dan tukang karut (baca:tukang lawak) menjadi ikutan. Masa diisi dengan majalah picisan dan komik, permainan video sentiasa di tangan, tayangan-tayangan rekaan imaginasi manusia yang tercari-cari kebahagiaan juga separa lucah mudah terpapar di merata tempat.
Hasilnya sudah boleh dilihat kini. Baru beberapa hari menjejakkan kaki semula di Malaysia, sudah melihat keadaan masyarakat sekeliling cukup menyedihkan. Pelajar-pelajar sekolah rendah sudah pandai keluar berpegangan tangan bermain cinta ‘anak’ monyet. Pakaian-pakaian mereka tak perlu diceritakan. Lelakinya samada lusuh dan buruk, atau berlapis-lapis tak kena tempat, dengan pelbagai rantai dan gelang. Perempuannya pula dengan singkat dan sendat, tudung cuma sehelai kain dililit ketat dan diikat seperti mahu mencekik leher sendiri.
Mengapa mesti terikut dengan kebodohan dan kezaliman ini?
Kita perlu mengeluarkan diri dan masyarakat dari belenggu ini. Lebih banyak ilmu diperlukan kerana kehidupan di dunia ini adalah sebagai ladang amal untuk akhirat. Kegagalan hidup di dunia boleh membawa pada kecelakaan di akhirat. Na'udzubillah.
Persoalan samada berjaya atau tidak seseorang dalam mencari ilmu bukanlah bergantung kepada masalah wang ringgit atau kelapangan masa sahaja. Tetapi ianya lebih kepada kemahuan atau himmah. Inilah faktor atau ukuran yang sangat berat bagi siapa sekalipun yang ingin berjaya.
Rasulullah SAW mengajarkan para sahabat untuk selalu berlindung pada Allah dari sifat malas. "Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sesak dada dan gelisah, dan dari kelemahan dan kemalasan..."
Inilah di antara penyakit mental umat Islam masa kini yang sangat bahaya. Malas bukan hanya merugikan diri sendiri, malahan juga orang lain seperti anggota keluarga, pekerja-pekerja, dan lain-lain. Kerana malas, seseorang atau sebuah kumpulan masyarakat akan menemui kegagalan untuk berubah kepada kebaikan.
Manusia dengan mudah mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan harian, samada makanan atau keselesaan hidup. Tetapi, secara umumnya mereka akan merasa berat dalam berbelanja untuk meraih ilmu. Walaupun majlis ilmu boleh diperolehi di merata tempat secara percuma, malah ada yang dihidang dengan juadah percuma dan pelbagai lagi bentuk insentif, malangnya majlis-majlis seperti itu tetap sepi tanpa sambutan.
Kesimpulannya, yang mahal dalam modal perubahan ini adalah kemahuan.
Dari sinilah Allah memberikan jalan keluar. Maha Benar Allah Swt dalam firman-Nya:
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat kebaikan." (Al-Ankabut:69)
Ayuh, membacalah!
Kunjungi perpustakaan, kongsikan buku-buku dengan rakan-rakan dan peruntukkan sedikit dari wang anda untuk membeli buku yang bermanfaat. Manfaatkan gedung ilmu yang sangat luas malah percuma di internet. Peluang dan ruang untuk membaca sentiasa bersedia menanti. Anda sendirilah penentunya!
Wednesday, November 18, 2009
0 comments:
Post a Comment