Monday, March 29, 2010
Baru semalam berakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KL International Book Fair - KLIBF) di PWTC. Kini masuk 5 tahun berturut-turut saya terlepas dari pesta buku ini. Rasa terlalu lama, kali terakhir memori tahun 2005 pun sudah hampir padam.
Satu-satunya buku yang sampai pada saya kali ini dari KLIBF, adalah buku novel "Denyut Kasih Medik", yang mengisahkan tentang perjalanan dan perjuangan seorang doktor 'houseman' yang baru memulakan tugas di sebuah hospital di Malaysia. Sepetang saya habiskan untuk mengkhatamkan novel ini. Sangat sarat dengan kisah-kisah pengalaman, juga dengan ilmu-ilmu fikah perubatan Islam yang sangat penting samada anda bergelar doktor atau tidak. Tidak hairan salah satu komen dari pengulas buku ini mencadangkan supaya ia dibaca oleh setiap bakal doktor, pesakit juga staff di hospital supaya dapat memahami bagaimana syariat Islam sepatutnya diamalkan dalam suasana di hospital atau klinik kesihatan.
Saya asalnya bukanlah seorang 'ulat buku'. Teringat semasa di darjah 3, saya dilantik sebagai pengawas perpustakaan oleh guru di sekolah. Atas dasar apa lantikan itu saya tidak tahu, kerana kalau diikutkan, saya bukanlah 'pelanggan' tetap pustakaan. Diberi jawatan sebagai pustakawan, seingat saya sepanjang tahun itu tidak sampai tiga kali sahaja saya singgah di perpustakaan untuk menunaikan tugas menjaga kaunter dan mengemas buku-buku. Waktu-waktu lain saya lebih suka mengelak dan bermain di padang sekolah.
Namun semenjak beberapa tahun lepas, selepas berulang-ulang kali diingatkan tentang kepentingan ilmu dan membaca, barulah semangat membaca mula berputik. Dihantar jauh ke tempat orang, saya mula terasa kosong dan terpinggir. Melihat bagaimana rakusnya orang lain mencari ilmu dengan membaca di mana-mana, terasa rugi bila waktu-waktu senggang dihabiskan dengan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah.
Kini koleksi buku di almari sudah berbaris-baris. Ada yang sudah dibaca berkali-kali, ada juga yang dibaca hanya sekali imbas. Sepanjang cuti musim panas lepas sahaja, koleksi di almari bertambah lagi dengan hampir 20 buah buku. Cuma separuh dapat dihabiskan, yang lain tidak tahu bila kesempatan akan dibaca.
Apapun, salah satu tujuan entry ini ditulis sebenarnya saya terasa mahu berkongsi koleksi buku-buku ini dengan orang lain. Terutamanya dengan abang-abang, kakak-kakak, adik-adik juga sahabat-sahabat yang berada di perantauan seperti saya. Lebih spesifik lagi di Dunedin, atau lebih luas lagi di bumi New Zealand. Rasa rugi jika ilmu-ilmu ini dibiarkan tersusun di almari tanpa diusik, lebih-lebih lagi tahun ini saya cuma punya waktu yang sedikit untuk membaca bahan-bahan lain selain medik kerana peperiksaan besar menanti di hujung tahun.
Di bawah saya senaraikan buku-buku yang boleh saya pinjamkan kepada mereka di Dunedin (atau NZ), asalkan ianya dijaga dan dipulangkan dalam keadaan yang baik.
Umum:
1) Dilema Melayu Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir?
2) 2009 Dalam Liku Perjuangan: Aminuddin Yahaya
3) Jejak Risalah Di Nusantara (Siri I, V dan VI)
4) Wang, Anda & Islam: Utz Zaharuddin
5) The Quran: Bruce Lawrence
6) The Tribes Triumphant: Charles Glass
7) Malaysia: TE Smith & J Bastin
8) The Adventures of Ibn Battuta
9) The Aims of History: Thames & Hudson
10) The Road to Mecca: Muhammad Asad
11) Nelson Mandela: In His Own Words
Novel:
1) Denyut Kasih Medik
2) Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck: Hamka
3) Hari-hari Dalam Hidupku: Zainab al-Ghazali
4) The Zahir: Paul Coelho
5) The Alchemist: Paul Coelho
6) Schindler's List
7) A Thousand Splendid Sun: Khaled Hosseini
8) The Kite Runner: Khaled Hosseini
9) Tariq: Menang ataupun Syahid
10) Nemesis: Max Hastings
11) Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem
Teras Islam:
1) Tarbiah Dzatiyah
2) Metodologi Hassan Al-Banna Dalam Memahami Islam
3) Fiqh al-Awlawiyyat: Prof Dr Yusuf Qardhawi
4) Iman & Harakah: Hisyam Soqr
5) Supaya Gelisah Bernilai Ibadah
6) The Book of Manners
7) 20 Most Common Questions About Islam
8) Pembangunan Iman & Kekuatan Peribadi
9) Bangkitlah!: Amru Khalid
Palestin:
1) Palestin Dijajah: Di manakah Solahuddinnya?
2) 20 Persoalan Asas Palestin
3) Dalang di Palestin: Hamas atau Fatah?
1 comments:
Saya berminat dengan Umum (1,4) Novel (1,2,7,8) Teras Islam (2,3) Palestin (3). Kalau balik 2011 nanti nak pinjam ye. =)
Post a Comment