Mengurus Diri, Manusia, Organisasi

on 7:14 PM

Dihantar ke kawasan pedalaman, seoalah-olah satu mimpi ngeri untuk bakal-bakal doktor dan guru di Malaysia. Antara yang pertama terbayang di fikiran adalah menaiki perahu panjang, tinggal di pondok kecil, berbasikal atau berjalan kaki ke tempat kerja dan berkerja di dalam serba serbi kekurangan.

Namun apabila bercakap tentang kawasan pedalaman di New Zealand, ia tidak sama dengan kawasan pedalaman di Malaysia. Jalanraya berturap, internet, elektrik, pasaraya kecil, khidmat kesihatan dan pendidikan masih lagi mudah didapati dan berada pada tahap yang sangat baik.

Hidup di pekan-pekan kecil ini tidak sama seperti hidup di bandar-bandar besar. Seperti di atas, secara fizikalnya saya yakin semua orang boleh senaraikan, bermula dari bangunan bertingkat-tingkat sehinggalah ke keluasan jalanraya dan kawasan perumahan. Namun bagaimana dengan perbezaan mentaliti atau pemikiran? Juga akhlak dan tingkah laku?


Selesai lima minggu saya dihantar ke pedalaman New Zealand untuk "Rural GP attachment" di South Canterbury. Setiap pagi berulang alik ke klinik-klinik kecil sekitar Geraldine, bertemu pelbagai jenis manusia dan penyakit. Tua, muda, lelaki, wanita, miskin,kaya. Dari semudah mendapatkan preskripsi baru dan mengambil darah, sehinggalah sesukar memotong keluar kanser kulit dan mengambil sampel sel di pangkal rahim. Saya bertemu dengan muka-muka baru yang sentiasa tersenyum, peramah dan mudah berbicara.

Walaupun kehidupan sebagai peladang memaksa penduduk di pedalaman berjauhan, sehingga jarak antara satu rumah dengan rumah yang lain mencecah beberapa kilometer, ternyata mereka masih mengenali jiran-jiran mereka juga penduduk lain dalam kawasan yang sama. Antara faktornya mungkin kerana aktiviti sosial yang kerap hampir setiap hujung minggu, namun intipati yang ingin dibawa adalah tentang betapa mereka mengambil berat soal orang lain dalam masyarakat.

Kebanyakan perkhidmatan penting seperti ambulans, bomba dan pusat penjagaan kanak-kanak juga rumah orang tua, semuanya ditubuhkan hasil kerjasama dan sumbangan setiap ahli dari masyarakat kecil ini. Tidak hairan yang memandu ambulans tiap kali kecemasan, kerja sebenarnya adalah pemandu trak di ladang. Yang memasak dan menghantar makanan kepada rumah orang-orang tua, kerja sebenarnya adalah penjaga kedai. Bomba yang sibuk setiap kali berlaku kebakaran atau kecemasan, adalah seorang tukang elektrik di kedai kecil di pekan. Semuanya dilakukan atas dasar kemanusiaan dan sukarela demi menjaga kebajikan komuniti yang kecil ini.

Jadi bagaimana pula kita? Apa perkara penting yang kita boleh belajar dan diaplikasi dalam kehidupan seharian?

Hidup sebagai seorang pelajar di tanah asing, bukanlah semata-mata untuk belajar dan mendapatkan ijazah dalam bidang yang dipelajari. Berjuta-juta ringgit dibelanjakan bukan hanya untuk segulung kertas, tetapi juga untuk membentuk peribadi yang cemerlang dan minda yang berkembang dan terbuka apabila berada di dalam masyarakat. Ini tidak dapat dicapai dengan hanya duduk di kelas, tetapi memerlukan interaksi dengan orang lain dan membiasakan diri dengan 'sistem kerja' sesuatu kumpulan manusia.


Kemahiran mengurus manusia bukan semudah mengurus organisasi. Jawatan itu dan ini boleh dicipta. Kerja di sana dan di sini boleh dikerah. Tetapi mengurus individu-individu, meletakkan orang yang sesuai di posisi yang terbaik, mengembangkan potensi manusia semuanya memerlukan latihan, pengalaman dan masa.

Saya tidak nampak relevannya apabila pelajar di luar negara menolak semua jawatan dalam persatuan kerana semata-mata mahu menumpukan masa untuk mendapatkan ijazah. Lihat berapa ramai mahasiswa yang menganggur setelah keluar universiti, dipecat atau tidak ditawarkan kontrak jangka masa panjang kerana kurangnya kemahiran-kemahiran penting seperti kemahiran merancang, meletakkan objektif dan menilai pencapaian kerja. Juga kemahiran 'soft skills' seperti membuat kajian, kemahiran pembentangan, bercakap di khalayak juga dalam interaksi sosial bersama rakan sekerja.

Kembali kepada pengalaman saya bersama beberapa General Practitioner (GP) di kawasan pedalaman. Boleh saya katakan kira-kira 50% daripada pesakit yang datang ke klinik adalah untuk 'follow-up' 3 bulan sekali seperti sakit darah tinggi, atau 'yearly check-up' untuk sakit yang kurang serius. Setiap kali sesi konsultasi, segala macam soalan yang berkaitan dengan penyakit seperti pemakanan, kerja, suasana di rumah, kondisi ahli keluarga dan tanda-tanda sakit di badan akan ditanya sebelum preskripsi ubat baru dikeluarkan.

Ini membuatkan saya terbayang dan berharap, jika sakit yang agak parah dalam ummat sekarang dapat juga dirawat dengan cara yang sama atau lebih baik. Sakit IMAN.

Ramai yang tidak sedar imannya bermasalah, lalu hanya duduk diam meneruskan rutin kehidupan tanpa berbuat apa-apa. Bagaimana mungkin pesakit yang tidak tahu tanda-tanda dia mempunyai penyakit barah contohnya, akan tergerak untuk berjumpa doktor mendapatkan pengesahan dan seterusnya mendapatkan rawatan?

Begitu juga dengan iman. Orang yang gagal mengenal tanda-tanda iman di dalam diri sakit, tidak akan berusaha untuk memperbaiki imannya.

Banyak hadis nabi yang telah menghuraikan, iman itu ada tanda-tandanya. Malah dalam al-Quran sendiri seruan berkenaan iman sering disusuli dengan seruan beramal soleh. Kesemua ini secara jelas menunjukkan iman itu letaknya bukan hanya di dada, tetapi perlu dibuktikan dengan amal dan tindakan.

Iman dipengaruhi dan mempengaruhi setiap tindakan dalam hidup. Keputusan dan tindakan yang dibuat oleh orang yang kuat imannya, dengan orang yang lemah imannya tidak sama. Apatah lagi besar bezanya bila iman tidak wujud langsung di dalam diri.

Bilakah agaknya kita dapat melihat, individu muslim bersegera tanpa bertangguh mendapatkan rawatan bila imannya lemah dan menurun? Mencari-cari pengisian dan meminta nasihat, membaca al-Quran dan berzikir mengingati Allah SWT, melihat alam lalu bertadabur dengan kehebatan Sang Pencipta?

Sepertimana pesakit perubatan memerlukan ubat dan rawatan, maka seharusnya begitu jugalah 'pesakit-pesakit' iman ini. Konsultasi, ubat dan rawatan perlu disegerakan sebelum sakit ini menjadi lebih parah. Generasi harapan baru yang bakal memimpin perlu dipersiapkan dengan ilmu, panduan dan bekalan di sepanjang perjalanan yang pastinya berliku dan tidak mudah ini.

Ya Allah, Kau kuatkanlah kami di sepanjang perjalanan ini!
Buangkanlah dari hati-hati kami sifat riak, dengki dan iri hati.
Kekalkanlah kami di atas jalanMu tanpa menyerah dan mengalah.

1 comments:

sha_shaari said...

"Allah pelindung orang yang beriman; DIA mengeluarkan mereka dari kegelapan(kekafiran) kepada cahaya (iman)..." [2:257]

salam ziarah =)