Kembali Ke Masjid

on 6:56 AM


"Alla hu ak bar.
Bis milla hir rahma nir ra heem.
Al ham du lilla hi rab bil a la meen"

Sepatah-patah dia menuturkan kalimah untuk menunaikan solat. Sahabatnya di sebelah perlahan-lahan membetulkan bacaan dan setiap gerakan yang dilakukan. Hampir setiap hari setiap waktu Asar dan Maghrib dia akan datang ke masjid untuk bersama-sama muslim yang lain menunaikan solat berjemaah.

Dia baru sahaja memeluk Islam selama beberapa bulan. Tetapi sangat bersungguh-sungguh untuk belajar, tidak susah untuk bertanya jika perlukan penjelasan dan ringan tangan untuk membantu jika diminta. Semalam dia belajar tentang cara sujud yang betul. Beberapa hari sebelumnya pula belajar mengangkat takbiratul ihram dan rukuk.

Lukisan tattoo di muka dan di tangan, dengan badan yang tinggi dan besar gaya layak dengan kisah silamnya sebagai seorang ketua 'gangster' tidak menghalang dia untuk solat, membaca al-Quran dan datang ke masjid. Sekali-sekala dia akan membawa anaknya yang masih kecil ke masjid, untuk sama-sama belajar tentang Islam.

Kisah ini merupakan satu realiti di Dunedin, kisah seorang muslim yang kembali kepada Islam setelah lama ditinggalkan. Walaupun baru, semangatnya untuk belajar tentang Islam dan datang ke majid mengalahkan seorang muslim yang telah 'lama' Islam.

Rasa malu bila melihat ramai lagi yang liat ke Masjid al-Huda walau jarak rumah ke masjid tidaklah sejauh mana. Solat lima waktu memang jarang kelihatan. Datang hanya seminggu sekali ketika solat Jumaat, itupun apabila khatib telah hampir-hampir selesai membaca khutbah baru muncul di masjid.

Yang dicari dahulu adalah tempat-tempat di belakang. Usai solat boleh pula tunggu di masjid dan bersembang lebih setengah jam sebelum bersurai ke kedai-kedai makan.

Tidakkah lebih cantik jika datang awal untuk solat berjemaah, dan mengutamakan untuk bertemu Allah SWT dari bertemu dengan rakan-rakan lain untuk bersembang?

Jika kehendak badan boleh dituruti dengan melangkah gagah pergi balik ke Unipol hampir setiap hari, dan kehendak akal pula boleh dipenuhi dengan berjalan jauh ke dewan kuliah atau library, mengapa tidak keperluan rohani dan imaan dipenuhi dan diisi di tempat yang selayaknya?



Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman; Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya."
[Riwayat Abu Daud dan Ibu Majah].

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'idi bahawa Rasulullah bersabda: "Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu berjalan ke masjid dalam kegelapan malam bahawa mereka akan memperoleh nur yang sempurna pada hari kiamat". [Riwayat Ibnu Majah].

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Said, Rasulullah bersabda: "Apabila kamu melihat seorang yang selalu ke masjid maka hendaklah kamu bersaksi atas keimanannya. Lalu baginda membaca surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yakni yang menghidupkan amalan dalamnya) ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat".

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Sembahyang seseorang dengan berjemaah itu melebihi sembahyangnya di rumah atau di pasar sebanyak dua puluh lima kali ganda.

Sebabnya ialah apabila dia berwuduk, dilakukannya dengan baik lalu pergi ke masjid sedang pemergiannya itu tidak lain daripada hendak sembahyang semata-mata, maka setiap langkah yang dilangkahnya, diangkatlah kedudukannya satu darjat dan dihapuskan satu dosanya.

Dan jika dia sedang sembahyang, maka malaikat memohonkan untuknya rahmat selama dia masih berada di tempat sembahyang itu selagi dia belum berhadas, kata mereka, “Ya Allah! Berilah orang ini rahmat, ya Allah! Belas kasihanilah dia. Dan orang ini dianggap sedang bersembahyang, sejak dia mulai menantikannya."

2 comments:

Anonymous said...

jumpa bro ni di masjid sehari lepas dia peluk islam.

kagum + syukur + terharu pada tanda2 kekuasaan Allah...teringat juga kisah Umar Al-Khattab memeluk Islam ^_^

cikgu_eya said...

memang selalunya saudara baru lebih menghayati makna Islam dari penganut lama...

Mereka memilih Islam kerana mengenal dan cinta Islam... bagai seorang pengembara diberi arah tunjuk jalan...