Membuat Pilihan

on 1:20 AM

Senario 1
"Besar nanti Man nak jadi ape?"
"Man nak jadi polis! Boleh tangkap orang jahat."

Senario 2
"Kau nak masuk kelas aliran ape Man? Sains? Agama? Sastera? Akaun?"
"Aku nak amik sains la, cerah sikit masa depan."

Senario 3
"Mintak universiti mana Man? Kau nak amik kos ape?"
"Aku nak amik Medic! Boleh tolong orang. Gaji pun boleh tahan."

Senario 4
"Eh, dah decide nak specialise dalam bidang ape?"
"Aku rasa nak fokus dekat Cardio. Mencabar sikit, prospek pun jelas."

- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -

Beberapa senario di atas hanya secebis dari kisah panjang bernama kehidupan yang dilalui oleh tiap manusia.

Ilmu wahyu, sejarah, pengalaman dan fitrah manusia mengajar kita yang hidup tidak dapat dipisahkan dari membuat pilihan.

Sejak dari kecil, kita sentiasa diminta dan ditanya tentang pilihan yang dibuat. Walaupun sebahagian daripadanya pilihan yang bersifat peribadi atau personal yang bukan untuk dihebahkan, 'fitrah' semasa sentiasa memaksa kita untuk mengkhabarkan pilihan yang telah dibuat.

Jika ditanyakan tentang cita-cita seorang anak kecil berusia sekitar 6 tahun, apakah jawapan yang kerap diberikan? Saya pasti kebanyakan kita tahu jawapannya. Polis, bomba, dan tentera.

Menganjak sedikit usia ke sekitar awal sekolah rendah, apa pula jawapan yang selalu didengari jika diajukan soalan yang sama? Guru, jurutera dan doktor mungkin jawapannya.

Dan jika ditanya pula pada anak-anak kecil sekitar lewat sekolah rendah, jawapan yang diberi pasti pula lain 'pattern'nya. Pekerjaan lebih kompleks seperti usahawan, akauntan (dan penyanyi!) mungkin mula akan didengari dalam senarai cita-cita.

Inilah fitrah dalam membuat pilihan dalam hidup. Manusia sangat dipengaruhi oleh persekitarannya, dan kerana itu pilihannya sentiasa berubah-ubah. Pendedahan dan ilmu yang diperoleh sangat memberi kesan kepada pilihan yang dibuat.

Satu lagi perkara yang mempengaruhi pilihan adalah bagaimana seseorang melihat masa depan. Jika masa depan yang kelihatan dalam pemikirannya adalah setakat esok hari atau minggu hadapan, pilihan yang dibuat akan berlainan dengan orang yang melihat beberapa tahun ke hadapan.

Begitu juga dengan orang yang melihat sepuluh tahun ke hadapan, berbeza dengan mereka yang melihat lima puluh tahun ke hadapan. Ini juga satu fitrah perbezaan yang ketara, kerana masa depan hanya menjadi penting apabila seseorang pasti mengapa dan ke mana hala tuju hidupnya.

Kerana kepelbagaian ini, mustahil sebenarnya untuk kita bertemu dengan pelanduk dua serupa. Walaupun namanya sama, sikap, potensi dan kemampuannya pasti akan berbeza.

Maka usaha untuk mencetak manusia dengan salinan yang sama berulang-ulang kali, membentuk satu 'regim' pemikiran supaya satu golongan eksklusif terbentuk dan terkedepan bukanlah suatu yang mudah. No one is a photocopy of another.

Pilihan sewajarnya diletakkan di atas bahu individu, dan bukan hanya diberikan kepada 'orang di hadapan atau sebelah' atau hanya sekadar mengikut arus tolakan semasa.

Yang perlu dilakukan adalah membekalkan setiap individu dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang cukup supaya dapat membantu dalam membuat pilihan.

Ingatlah bahawa penghisaban di akhirat nanti jatuhnya bukan pada kumpulan sekian-sekian, atau kelompok itu ini. Sebaliknya setiap dari diri kita akan dipanggil dan dihisab secara berseorangan. Maka tika ini tiada lagi peluang untuk beralasan.

Jika dirasakan ilmu pengetahuan dan pengalaman belum cukup bagi membuat pilihan sendiri, apa yang perlu dilakukan adalah berusaha supaya keduanya dapat dimantapkan.

Jika merasakan pilihan dipengaruhi oleh unsur-unsur tekanan, dicetak paksa dengan pengaruh desas desus dan cerita cereka, berusahalah juga menjelaskan keadaan tanpa tergesa-gesa membuat pilihan dan kesimpulan.

Firman Allah s.w.t :

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كلُّ أُولئِكَ كانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً


“Dan janganlah kamu ikut sesuatu yang kamu tidak tahu. Sesungguhnya telinga, mata dan hati itu semuanya akan ditanya.” [Surah Al-Isra’ : 36]

0 comments: