Selamat Hari Guru 2010

on 7:36 PM


1) Saban tahun, setiap kali menjelang tarikh 16 Mei sambutan Hari Guru disambut di Malaysia sebagai memperingati jasa dan pengorbanan para guru yang telah menabur budi mendidik dan melahirkan modal-modal insan yang berguna kepada masyarakat. Tarikh ini menjadi tarikh keramat dan disambut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira corak latar belakang yang berbeza kerana setiap individu kini boleh dikatakan tidak pernah terlepas dari memiliki sekurang-kurangnya seorang guru di sepanjang usia hidup.

2) Sejarah menunjukkan kekuatan suatu umat atau peradaban, banyak bergantung kepada kekuatan sistem pendidikan dan modal-modal insan yang dilahirkan melalui sistem pendidikan tersebut. Sejarah juga menunjukkan kejatuhan sesuatu umat atau peradaban berlaku apabila generasi pewaris gagal dididik melalui sistem pendidikan menyeluruh yang meliputi pembinaan iman, ilmu, akhlak serta keupayaan berfikir untuk mengaplikasi ilmu di dalam dunia realiti.

3) Menoleh melihat sejarah muallim (guru) teragung, Rasulullah SAW, beberapa kisah yang menunjukkan kepentingan pendidikan dan peranan guru boleh diambil pengajaran. Pertamanya melalui wahyu pertama yang turun, dalam surah al-`Alaq yang menunjukkan kepentingan membaca dan menguasai ilmu dalam hidup. Juga kisah tawanan perang Badar yang dijadikan guru kepada anak-anak kecil di Madinah sebagai syarat pembebasan mereka pula secara ringkas menunjukkan kepentingan mendidik generasi pewaris dan membolehkan kita menuntut ilmu dan hikmah dari segala apa sumber hatta melalui mereka yang bukan Islam sekalipun.

4) Melihat pada rukun tarbiah yang digariskan Hassan Al-Banna, seorang guru yang proaktif dalam masyarakat dan akhirnya diangkat menjadi seorang mujaddid Islam di abad ini, terdapat 4 elemen penting dalam rukun ini. Pertamanya adalah orang yang menyampaikan (guru/murabbi), kedua adalah orang yang menerima (murid/mutarabbi), ketiga adalah manhaj (sistem yang dipakai) dan keempat adalah bi’ah solehah (suasana yang baik).

5) Maka seharusnya dalam satu sistem pendidikan yang baik, untuk mendidik dan membentuk generasi pewaris perlu meliputi keempat-empat rukun ini. Rukun yang pertama dan kedua pastinya tidak susah untuk dipenuhi, tetapi rukun yang ketiga dan keempat perlu diberi lebih penekanan supaya apa yang disampaikan menerapkan nilai-nilai Islam, meliputi segala aspek kehidupan, dan pada masa yang sama berjaya menyentuh hati bukan sahaja akal. Suasana yang baik yang dimaksudkan adalah suasana positif menggalakkan pembelajaran dan pada masa yang sama yang mengikut hukum syara’ yang ditetapkan Islam.

6) Melihat pada realiti masyarakat di Malaysia masa kini, kita merasa amat bimbang dengan apa yang berlaku. Laporan demi laporan tentang keruntuhan akhlak, pembuangan bayi, salah laku seks dan pembunuhan amat ketara terutamanya di kalangan generasi pemuda pemudi di bangku sekolah dan universiti. Pendidikan yang berorientasikan materialisme dan acuan penjajah jika tidak ditapis dengan nilaian Islam terbukti akan melahirkan generasi pewaris yang rosak akhlak dan lemah nilai-nilai Islam dalam diri.

7) Usaha memulih masyarakat ini dan pada masa yang sama membina satu generasi baru yang boleh diharapkan, kemas penampilan dan kuat pula personalitinya dengan nilai-nilai Islam bukanlah terletak pada bahu guru semata-mata. Cabaran demi cabaran yang datang, sewajarnya usaha para guru sebagai ejen perubah dan penjana modal insan ini dibantu dan disokong dengan kuat oleh lapisan masyarakat yang lain. Ini kerana usaha pendidikan bukan sekadar di bilik darjah, tetapi juga di rumah dan persekitaran luar.

8) Maka sempena Hari Guru 2010 ini, marilah kita bersama-sama memperingati, menghargai jasa dan pengorbanan para guru yang telah mencurah keringat mendidik kita. Semoga segala apa yang disumbangkan menjadi amal di hari kemudian, dan menjadi penyelamat kepada para guru sekalian di hadapan Allah Swt kelak kerana amal baik yang berterusan dari ilmu yang disampaikan tidak akan putus sehingga hari pembalasan.

Selamat Hari Guru
Guru Pembina Negara Bangsa

Membina Generasi Harapan

Mus’ab Umair b Hassan

------------------------------------------------------------

Terima kasih khas buat guru-guruku yang mendidik di:
Tadika ABIM Kuala Kubu Bharu, Selangor (1991)
Tadika Ihkam Gombak, Selangor (1992)
SRI Al-Amin Gombak, Selangor (1993-1998)
Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah (1999-2001)
MRSM Pontian, Johor (2002-2003)
Kolej MARA Banting, Selangor (2004-2006)
University of Otago, New Zealand (2006-kini)

0 comments: