Tidak terkecuali juga kepada para da’ie masa ini yang ingin mengajak manusia kepada Allah SWT. Bukan sedikit mereka yang mengeluh apabila projek dakwah berjalan tidak seperti dirancang, atau bila ditimpa pelbagai ujian ketika berdakwah. Apatah lagi bila seruan dakwah tidak mendapat sambutan ramai, mereka mula berkeluh kesah sehingga terdetik rasa penyesalan di hati kerana terjun dalam kafilah dakwah ini.
Pertolongan dalam dakwah
Dalam melakukan dakwah kepada manusia, pertolongan dari Allah SWT sangat dekat dan sangat banyak. Firman Allah SWT dalam al-Quran:
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad 47: 7]
“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” [Al-Hajj 22: 40]Walaubagaimanapun, kita perlu sedar bahawa pertolongan dari Allah SWT tidak datang secara mudah dan percuma. Ada beberapa perkara penting yang menjadi syarat dan keperluan sekiranya kita mengharapkan pertolongan Allah SWT. Antara yang paling utama adalah dengan memastikan ketakwaan dalam diri adalah dengan sebenar-benar takwa.
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” [At-Thalaq 65: 2-3]Perkara penting kedua yang perlu diberi perhatian dalam mengharapkan pertolongan Allah SWT adalah menjaga diri daripada perkara-perkara maksiat kerana ia boleh menjadi penyebab tidak turunnya pertolongan. Saidina Umar al-Khattab pernah menghantar surat kepada tentera islam di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqas di mana beliau berpesan:
“Hendaklah kalian bermuhasabah diri, kerana kemenangan kita adalah kerana maksiat musuh pada Allah SWT. Tetapi sekiranya kitapun melakukan maksiat tentu kita akan kalah dalam peperangan ini; tentera mereka lebih ramai dan senjata mereka jauh lebih baik dari kita”.
Sifat mazmumah seperti rasa berbangga dan hebat dengan kemampuan diri juga boleh menjadi penyebab turunnya bala. Cukuplah pengajaran yang ditunjukkan oleh Allah SWT kepada tentera islam dalam peperangan Uhud sebagai peringatan kepada kita.
Syarat utama lain dalam mendapatkan pertolongan Allah SWT adalah kita perlu untuk berdoa memohon pertolongan dari-Nya. Panjatkanlah doa dan pengharapan ketika berjalan, berdiri dan duduk, juga dalam rukuk dan sujud di atas dunia. Pada masa yang sama, semaikanlah sifat sabar dalam diri supaya dapat mengatasi ujian dan kesusahan yang menimpa.
“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah 2: 153]Dakwah menuntut pengorbanan
Para da’ie yang telah mengikat janji setia dan bersatu hati dalam kafilah dakwah perlu sedar bahawa kerja dakwah yang dilakukan ini bukanlah satu tugas yang mudah. Islam secara fitrahnya tidak akan tertegak hanya dengan kerja “separuh masa”, kata-kata rayuan dan pujukan, atau dengan sentuhan dan belaian manja. Sebaliknya dakwah menuntut seribu satu pengorbanan serta akan memerah keringat dan tenaga diri yang ada.
Seandainya ujian yang kita hadapi dirasakan sudah sampai ke tahap tertinggi sehingga merobek kesabaran, ada baiknya kita renungkan kisah seorang sahabat bernama Khabbab ibn Al-Arat. Beliau telah diuji dengan siksaan yang sangat dasyat tatkala Islam mula bertapak.
Rentetan dari hebatnya siksaan dan ujian yang menimpa beliau, suatu hari ketika berjumpa Rasulullah SAW, Khabbab bertanya:
“Tidakkah kamu mahu meminta pertolongan untuk kami? Tidakkah kamu mahu berdoa kepada Allah untuk kami?”Apakah seksaan dan ujian yang menimpa Khabab sehingga dia meminta dan merayu dari nabi sedemikian? Apakah dia terhalang dan dicaci, dimaki hamun dan difitnah apabila menerima islam dan melakukan dakwah? Hilang mata pencarian atau kesempitan harta? Tidak cukup tidur malam dan tidak sempat berehat antara tugas dakwah? Atau terhalang dari berjumpa suami atau isteri, serta anak-anak setelah dia mengikat janji setia bersama islam?
Kisah Khabbab ibn Al-Arat
Beliau memeluk Islam di zaman awal Mekah bersama-sama Saidina Abu Bakar, Ammar bin Yasir serta keluarganya. Bekerja sebagai tukang besi dan hamba kepada Umm Anmaar, beliau merupakan seorang yang pintar dan sering berfikir tentang kerosakan bangsa Arab sebelum kedatangan islam. Tidak hairanlah apabila mendengar seruan tauhid kepada Allah SWT dan berita nubuwwah Rasulullah SAW, beliau merupakan antara orang terawal mengisytiharkan keislaman.
Penderitaan yang ditanggung beliau sukar untuk digambarkan. Umm Anmaar sering menyeksanya dengan meletakkan dan menggosok besi panas di atas kepalanya. Beliau pernah dipakaikan baju besi dan kemudian dibaringkan di tengah-tengah padang pasir di bawah terik matahari yang panas, sehingga daging di bahagian belakangnya mengelupas. Suatu masa beliau pernah dibakar dan diseret di atas timbunan bara api yang membara, sehingga lemak dan darah mengalir keluar dari tubuhnya lalu memadamkan bara api tadi!
Ketika zaman Khalifah Saidina Umar al-Khattab, beliau telah diziarahi oleh Khabbab. Apabila melihat kedatangan Khabbab, Saidina Umar bangun berdiri sebagai tanda hormat, menyambut Khabbab sambil berkata: “Tiada siapa yang lebih layak daripada kamu untuk berada dalam perhimpunan ini selain Bilal.” Apabila diminta oleh Saidina Umar untuk menceritakan seksaan yang pernah dilaluinya pada zaman awal Islam, Khabbab menjawab: “Lihatlah belakangku ini!” Saidina Umar sangat terkejut apabila melihatnya dan berkata: “Aku tidak pernah melihat sesuatu seperti ini.”
Khabbab merupakan orang penting dalam peristiwa yang mencetuskan detik keislaman Saidina Umar. Ketika Umar datang ke rumah Saiyidina Fatimah dan mendengar adiknya itu sedang mempelajari al-Quran bersama suaminya Sa’id bin Zaid, Khabbab merupakan sahabat yang sedang memperdengarkan dan mengajar bacaan al-Quran kepada mereka berdua. Maka tidak hairanlah Saidina Umar sangat menghormati beliau.
Berat benarkah ujian itu?
Kembali kepada persoalan dan rayuan yang diutarakan oleh Khabbab kepada Rasulullah SAW di atas untuk memohon pertolongan Allah SWT dan membantu mereka. Apakah jawapan baginda kepada permintaan itu?
Baginda Rasulullah SAW menjawab:
“Sesungguhnya ada orang terdahulu dikorek lubang lalu mereka ditimbus di dalamnya. Kemudian ada digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, ada pula disiat tubuhnya menggunakan sesikat besi sehingga mengoyakkan daging dan menampakkan tulang. Namun ia tidak meleburkan pegangan agama mereka. Demi Allah sesungguhnya urusan agama ini pasti disempurnakan sehingga orang bermusafir daripada San’aa ke Hadramaut tidak lagi takut kepada Allah dan bimbang ancaman serigala terhadap kambingnya. Akan tetapi, kamu terlalu gopoh.” [Hadis riwayat Bukhari]Lihatlah walau sebegitu berat ujian yang ditanggung Khabbab dan generasi awal Islam, jawapan yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada mereka adalah “…kamu terlalu gopoh!”
Lupakah kita pada firman Allah SWT dalam al-Quran:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” [Al-Baqarah 2: 286]Sungguh, setiap ujian dan rintangan itu datang dengan tujuan dan hikmah yang tersendiri. Bukankah lebih baik kita berada dalam ujian dunia yang menyebabkan kita sentiasa mengingati Allah SWT, daripada terlupa dan lalai dengan kesenangan dan kenikmatan dunia yang sementara?
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” [Al-Baqarah 2: 214]Pertolongan dari Allah SWT itu sangat dekat dan selalu turun dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Jadi jangan mudah mengeluh, jangan mudah mengalah, jangan mudah berserah.
Usahalah dengan penuh rasa ihsan. Jadikan sabar dan solat sebagai kunci utama. Susunlah kekuatan sebaik-baiknya dengan menggunakan bantuan dan bekalan di sekeliling. InsyaAllah, kemenangan dan kebahagian hakiki pasti menjadi milik kita!
"Membangun Umat Beragenda"
0 comments:
Post a Comment