Sekadar mahu kongsikan di sini. Peringatan ringkas dan mudah.
Ibrah dari Ramadhan di Perantauan
Wahai manusia! Sungguh, Kami telah ciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan. Kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. [49:13]
Bulan Ramadhan sering diumpamakan sebagai bulan ibadah, ujian, penuh rahmat dan keberkatan. Umum tahu, berdasarkan pada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183, bahawa objektif utama puasa adalah untuk membentuk hamba-hamba Allah yang bertakwa. Namun realiti pada masa kini memperlihatkan ramai umat Islam yang lemah dan tewas bila tiba bulan ujian ini. Natijah yang dihasilkan dari puasa bukan lagi ketakwaan, tetapi kemewahan dan kemegahan. Pembinaan diri, hati dan rohani diabaikan, manakala perhiasan harta, darjat dan keturunan jadi keutamaan.
Sebagai salah satu peringatan dalam tazkirah Ramadhan ini, suka untuk berkongsi sedikit pengalaman Ramadhan di perantauan. Moga masing-masing dapat mengambil sedikit ibrah atau pengajaran dari sebulan ujian dan pesta ibadah yang akan berlalu, dan mohon pada Allah SWT agar dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang InshaAllah.
Komuniti Muslim di sini cuma dalam 400 orang, dan majoritinya adalah pelajar-pelajar di universiti. Kami cuma punya sebuah masjid, yang menjadi tempat solat, berkumpul dan melakukan aktiviti-aktiviti lain. Secara fizikalnya tidak punya rupa seperti masjid-masjid di
Ramadhan merupakan waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh kebanyakan Muslim di sini kerana bila tiba bulan mulia ini, masjid akan menjadi semakin meriah dan ukhwah islamiah begitu jelas terserlah. Muslim dari pelbagai negara dan bangsa sama-sama berkumpul untuk iftar, solat maghrib, isha’ dan terawih setiap hari sepanjang bulan ini. Iftar yang disediakan di masjid setiap hari adalah secara sukarela. Sudah menjadi tradisi setiap tahun sepanjang Ramadhan, pelbagai masakan dari negara yang berbeza-beza akan dapat dirasa. Muslim dari Arab Saudi, Afghanistan, Pakistan, Malaysia, Mesir, Brunei, Oman, Somalia dan beberapa negara lagi akan bergilir-gilir menyediakan iftar setiap hari. Tiada ‘Bazaar Ramadhan’ yang penuh dengan lauk pauk dan kuih muih seperti di Malaysia, tetapi yang ada adalah ‘Bazaar Ramadhan’ yang penuh dengan warna-warni mahabbah, kasih sayang dan sifat cintakan saudara semuslim.
Tilawah al-quran dalam solat terawih kini sudah hampir habis 30 juzu’. Setiap malam, kira-kira satu suku juzu` akan dibaca oleh imam dalam solat isha’ dan solat terawih 8 rakaat. Alhamdulillah kami punya imam yang hafiz dan bacaannya menyentuh hati. Satu setengah jam dari mula solat isha’ hingga habis solat witir kadangkala rasa berlalu begitu cepat. Untuk bangun solat malam dan sahur, waktu malam yang pendek dan cuaca yang sejuk jadi cabaran paling utama. Suhu pada lewat malam dan awal pagi biasanya di bawah 10 0C. Memang begitu mencabar untuk bangun di awal pagi, tetapi Alhamdulillah masih ramai lagi yang mampu untuk bangun solat, sahur dan ke masjid untuk solat subuh berjamaah.
Kini sudahpun dalam penghujung Ramadhan. Namun tidak langsung terdengar lagi ucapan Selamat Hari Raya, atau “Eid Mubarak” dari mana-mana Muslim. Tiada lagu raya dipasang, dan tiada iklan-iklan jualan murah hari raya ditayangkan. Tiada juga yang berlumba-lumba dengan persiapan raya dan tiada juga yang terlalu sibuk dengan kuih-muih raya. Pada masa hari-hari terakhir Ramadhan ini, fokus lebih kepada meningkatkan amal ibadah, qiam, iktikaf dan berdoa pada Allah SWT agar segala amalan dan doa diterima, dosa-dosa diampunkan dan Ramadhan yang akan berlalu tidak jadi sia-sia.
Terasa begitu kontra dengan apa yang berlaku di tanah air sendiri, kerana belum lepas 10 hari pertama Ramadhan pun, sudah ada orang mula sibuk tentang hari raya. Persoalan yang perlu ditanya pada diri masing-masing, betul layakkah Eidul Fitri itu untuk kita? Dapatkah fitrah asal manusia, yakni fitrah yang suci bersih dari dosa dengan manusia dan Allah SWT, dicapai dari bulan Ramadhan ini? Sungguh,setiap amal ibadah sepanjang bulan ini punya balasan dan matlamatnya tersendiri. Zakat buat menyucikan harta, solat, puasa, tilawah, tadarus, majlis ilmu dan doa buat menyucikan hati dan jasmani, melatih fizikal diri, memurnikan akhlak, membetulkan ibadah, menambahkan ilmu, meningkatkan pemahaman serta melahirkan rasa cinta dan takut pada Allah SWT.
Mohon pada Allah SWT agar natijah takwa yang dicari dari Ramadhan diperoleh oleh semua yang mencarinya. Moga dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang, dan moga Islam di dalam diri dan di dunia kembali tertegak Insha-Allah.
Bawalah bekal, kerana sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal sihat! [2:197]
Wallahua’lam
2 comments:
"5 hari sekali"?
"bola tampat"?
trime kasih btulkan!
menulis tgh2 mlm, tak tperasan kut =P
Post a Comment