Coret Ramadhan 5

on 6:39 PM

Sahabat, apa yang sebenarnya kau mahukan?

Semalam aku lihat kau di sana berpakaian serba cantik dan segak
Hari ini aku lihat kau di situ pula dengan penampilan berbeza

Semalam kau berkerja di sana mohon upah dan ganjaran
Hari ini kau berkerja di sini seolah-olah semalam tidak pernah ada

Semalam kau berkata-kata sopan di depanku
Hari ini bicara kau berubah bila bertemu dia

Semalam kau kata tumpuan kau di sana
Hari ini kau kata tumpuan kau di sini pula
Di mana sebenarnya kau berkerja?

Semalam kau bicara tentang bulan bintang gunung ganang
Hari ini bicara kau cuma pada butir-butir pasir di tanah dan pokok-pokok liar
Apa yang sebenarnya kau cuba kejar?

Semalam kau bicara tentang bulan bintang gunung ganang
Namun semalam juga kau terus tidur dan leka dengan masalah mendatang
Apa yang sebenarnya kau impikan?

Semalam aku lihat kau cuba merakam setiap detik yang berlalu
Hari ini juga sama, kau masih di situ cuba merakam setiap perkara

Sahabat, bagaimana dengan detik-detik hidupmu?
Siapa pula yang akan merakamnya?

Di hadapan mereka lagak kau seperti imam
Di hadapan mereka pula kau jadi punca kesia-siaan

Sahabat, apa yang sebenarnya kau mahukan?

Coret Ramadhan 4

on 6:38 PM

Beberapa tahun sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat sebagai Rasul, baginda telah diilhamkan oleh Allah Swt untuk pergi beruzalah di gua Hira. Baginda mengasingkan diri (i.e. ber'khalwah') di sana selama sebulan sehinggalah turun wahyu pertama dari Allah Swt. Para mufassir seerah mengatakan bulan dimana Nabi SAW berkhalwat itu adalah bulan Ramadhan.

Penguzlahan ini ternyata berjaya membina keimanan dan kepercayaan Nabi SAW dalam pergantungan kepada Allah Swt, kerana di penghujung penguzlahan ini wahyu pengutusan baginda diturunkan.

Baginda merenung dan memikirkan segala tanda-tanda kebesaran Allah Swt serta segala ciptaan-Nya di muka bumi dan juga di angkasa raya. Kehebatan Allah Swt ini digambarkan melalui penciptaan setiap makhluk dan keluasan alam.

Siapa lagi yang mampu mencipta sesuatu yang hebat melainkan Yang Maha Hebat? Siapa lagi yang mampu menciptakan sesuatu dengan penuh teliti melainkan Yang Maha Teliti? Siapa lagi yang mampu menciptakan sesuatu yang cantik melainkan Yang Maha Cantik?

Dari masa ke semasa, seorang Muslim yang selalu menadah tangan berdoa kepada Allah Swt agar dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat, meminta supaya diampunkan segala dosa dan memohon supaya diberi ketenangan dan kebahagiaan perlu dan mesti mempunyai waktu untuk dia bersendirian memikirkan hakikat penciptaannya.

Dalam tempoh ber'khalwah' ini, rohnya perlu berhubung secara terus dengan Allah Swt. Jiwanya perlu dibersihkan dari kekotoran akhlak tercela dan kehidupan kacau bilau di sekeliling. Duduk bersendirian ini akan mendidik diri untuk melihat diri sendiri, muhasabah setiap perbuatan dan amalan.

Pasti ada dalam masa kehidupan ini, kita terleka dari melakukan kebaikan, tergelincir dari landasan yang benar, berakhlak dengan akhlak buruk dan melakukan kesilapan dalam pergaulan seharian.

Cuba renungkan, bukankah kita selalu tenggelam dalam sembang kosong? Perdebatan dan perbincangan yang tidak membuahkan amal? Alpa dan leka hingga cuai dari zikrullah, mengingati mati dan hari akhirat, serta lupa pada azab siksa neraka yang dijanjikan untuk orang-orang menolak kebaikan dan melakukan yang kemungkaran?

Bangun untuk bersendirian, tahajjud dan qiamullail di penghujung malam mempunyai kelazatan dan kebahagiaan yang tidak akan diketahui kecuali oleh mereka yang Allah Swt muliakan untuk melakukan amalan-amalan tersebut.

Kata Ibrahim bin Adham r.a. selepas bertahajud dan beribadat di malam hari: "Kelazatan yang kami kecapi jika diketahui oleh raja-raja, pasti mereka akan memerangi kami demi memperolehinya."


Jadi, apa lagi yang kita mahu tunggu? Masih mahu berselimut tebal hingga ke pagi hari di malam-malam terakhir di bulan Ramadhan Kareem ini? Tidakkah kita mahu bertemu dengan penghulu segala malam yang telah Dia janjikan???


"Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya kepada jiwa dan lebih tetap betul bacaannya.

Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam, kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

Dan sebutlah dengan lidah dan hati akan nama Tuhanmu terus menerus siang dan malam, serta tumpukanlah amal ibadatmu kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia. Maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu."

[Al-Muzzammil 73: 6-9]

Kita Sayang Belaka

on 6:39 PM

Semua kita sayang
Tapi yang leka membuai diri
Melayani hobi tak bertepi
Hingga lupa perjuangan bangsa
Kita senyum sentiasa, tegur di bibir tangan di bahu

Semua kita sayang
Tapi yang sibuk cari yang kedua
Melayani hidup yang tak sesibuk mana
Hingga lupa topik lain
Kita toleh sekali sekala, jangan sampai hilang di mata

Semua kita sayang
Tapi yang jarang-jarang nampak
Melayani punca mata wang
Hingga lupa ikatan tulen sejati
Kita panggung kepala, kalau jatuh jangan tertimpa pula

Semua kita sayang
Tapi yang melayang di puncak awan
Melayani pangkat dan kedudukan
Hingga lupa jasa murabbi
Kita kerling sekali sekala, kalau sakit pening jangan tak terkunjung pula

Semua kita sayang
Tapi yang suka cerca kita, buruk sangka semata
Melayani perasaan tak lawas di hati
Hingga lupa nostalgia bersama
Kita geleng kepala, senyum di bibir sabar di dada

*Diambil dari blog Ust Hazizi Abd Rahman
Wawasan Sekemas Ikatan - http://ustazhazizi.wordpress.com/

Ya Allah, kuatkanlah dan ringankanlah beban-beban kami ini.
Tunjukkanlah jalan keluar dan jalan terbaik untuk kami dan juga untuk ummat.

Coret Ramadhan 3

on 6:37 PM

"Sayang, tengok nih. Cantiknya AlQuran nih. Warna keemasan. Sesuai untuk kita buat hantaran" pekik Jamilah kepada Nabil..

"Sini pun cantik juga. Warna unggu keemasan. Mana satu kita nak beli nih" balas Nabil.

Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu AlQuran yang bakal dijadikan hantaran.