Berprogram atau diprogram?
Saban hari sentiasa ada program di sana sini. Mereka di sana buat program itu, mereka di sini buat program ini. Program datang berturut-turut dan bertimpa-timpa. Yang menganjurkan program beria-ia mengajak tetamu datang, yang sekadar datang mengikut program memilih-milih mana satu yang mahu ikut serta.
Mengapa sebenarnya berprogram? Adakah kerana kelab atau persatuan itu dalam kalendar tahunannya sudah tertulis program itu ini perlu dilaksanakan? Atau kerana disuruh atau diminta tolong dalam sesuatu program tanpa tahu pucuk pangkal? Atau sekadar mahu mengisi masa lapang?
Antara sebab-sebab berprogram yang selalu didengar adalah untuk merapatkan hubungan, menjaga perpaduan, mengisi masa senggang, menolong orang lain, hatta berprogram saja suka-suka bersama-sama rakan-rakan.
Kuat benarkah alasan-alasan ini sehingga mampu memaksa 'pekerja-pekerja' program tadi bersengkang mata sehingga lewat malam, meluangkan masa-masa yang boleh digunakan untuk belajar mentelaah buku dan perkara-perkara lain.
Bagaimana mahu melihat samada alasan-alasan di atas benar atau tidak?
Realitinya, dalam penganjuran sesuatu program pasti ada perkara-perkara negatif atau yang tidak dimahukan berlaku. Contoh yang paling biasa adalah seperti perselisihan faham, 'miscommunication' dan terlepas kata. Mereka yang benar-benar faham dan ikhlas mahu berkerja akan melihat perkara-perkara ini sebagai sebahagian dari rencah berprogram, dan tidak terkesan secara negatif dari apa yang berlaku. Ia tidak akan melunturkan semangat untuk berkerja di masa hadapan, dan tidak menimbulkan buruk sangka kepada rakan-rakan 'pekerja' yang lain dalam berprogram.
Di sini timbul satu persoalan penting iaitu tentang Himmah, yang bermaksud kehendak yang menolak seseorang itu kepada sesuatu perbuatan. Mereka yang mempunyai Himmah 'Aliah (i.e. kehendak yang kuat dan tinggi) akan mampu menukar segala yang susah menjadi senang, mendorong ke arah pengorbanan serta membantu untuk sentiasa meningkatkan prestasi dalam berkerja dan beramal. Apabila permasalahan seperti contoh di atas berlaku, mereka tidak patah semangat untuk berkerja dan tidak akan tuding menuding menyalahkan orang lain. Malahan mereka bersama-sama berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku itu.
Jika Himmah seseorang rendah, maka kerja-kerja yang dilakukannya juga adalah rendah. Bagaimana mungkin seseorang yang bercita-cita mahu menegakkan Islam di dalam masyarakat (dan juga diri), tetapi dirinya sekadar terperosok di dalam bilik bersama permainan-permainan, tayangan-tayangan, serta lakonan duniawi?
Kata para ulama’, “Jagalah Himmah, kerana ia adalah permulaan bagi semua perkara.”
Bagaimana mahu mengubah dunia jika masa dihabiskan di atas katil atau di dalam rumah bercakap-cakap kosong dan mengutuk mereka di sana sini? Bagaimana mahu mencorak masyarakat kalau yang ada hanya sembang-sembang kencang dengan idea-idea dasyat tetapi tidak praktikal dan tidak ada matlamat yang jelas? Bagaimana mahu membentuk generasi harapan yang hebat jika mereka masih disimbah dan dicurah dengan perkara-perkara remeh temeh, picisan dan sekadar bermain-main dengan emosi?
Dalam rukun baiah yang dihuraikan oleh Hassan al-Banna, beliau meletakkan rukun Amal di tempat ketiga selepas Faham dan Ikhlas. Pernahkah kita fikirkan mengapa?
Wednesday, September 9, 2009
0 comments:
Post a Comment