Coret Ramadhan 4

on 6:38 PM

Beberapa tahun sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat sebagai Rasul, baginda telah diilhamkan oleh Allah Swt untuk pergi beruzalah di gua Hira. Baginda mengasingkan diri (i.e. ber'khalwah') di sana selama sebulan sehinggalah turun wahyu pertama dari Allah Swt. Para mufassir seerah mengatakan bulan dimana Nabi SAW berkhalwat itu adalah bulan Ramadhan.

Penguzlahan ini ternyata berjaya membina keimanan dan kepercayaan Nabi SAW dalam pergantungan kepada Allah Swt, kerana di penghujung penguzlahan ini wahyu pengutusan baginda diturunkan.

Baginda merenung dan memikirkan segala tanda-tanda kebesaran Allah Swt serta segala ciptaan-Nya di muka bumi dan juga di angkasa raya. Kehebatan Allah Swt ini digambarkan melalui penciptaan setiap makhluk dan keluasan alam.

Siapa lagi yang mampu mencipta sesuatu yang hebat melainkan Yang Maha Hebat? Siapa lagi yang mampu menciptakan sesuatu dengan penuh teliti melainkan Yang Maha Teliti? Siapa lagi yang mampu menciptakan sesuatu yang cantik melainkan Yang Maha Cantik?

Dari masa ke semasa, seorang Muslim yang selalu menadah tangan berdoa kepada Allah Swt agar dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat, meminta supaya diampunkan segala dosa dan memohon supaya diberi ketenangan dan kebahagiaan perlu dan mesti mempunyai waktu untuk dia bersendirian memikirkan hakikat penciptaannya.

Dalam tempoh ber'khalwah' ini, rohnya perlu berhubung secara terus dengan Allah Swt. Jiwanya perlu dibersihkan dari kekotoran akhlak tercela dan kehidupan kacau bilau di sekeliling. Duduk bersendirian ini akan mendidik diri untuk melihat diri sendiri, muhasabah setiap perbuatan dan amalan.

Pasti ada dalam masa kehidupan ini, kita terleka dari melakukan kebaikan, tergelincir dari landasan yang benar, berakhlak dengan akhlak buruk dan melakukan kesilapan dalam pergaulan seharian.

Cuba renungkan, bukankah kita selalu tenggelam dalam sembang kosong? Perdebatan dan perbincangan yang tidak membuahkan amal? Alpa dan leka hingga cuai dari zikrullah, mengingati mati dan hari akhirat, serta lupa pada azab siksa neraka yang dijanjikan untuk orang-orang menolak kebaikan dan melakukan yang kemungkaran?

Bangun untuk bersendirian, tahajjud dan qiamullail di penghujung malam mempunyai kelazatan dan kebahagiaan yang tidak akan diketahui kecuali oleh mereka yang Allah Swt muliakan untuk melakukan amalan-amalan tersebut.

Kata Ibrahim bin Adham r.a. selepas bertahajud dan beribadat di malam hari: "Kelazatan yang kami kecapi jika diketahui oleh raja-raja, pasti mereka akan memerangi kami demi memperolehinya."


Jadi, apa lagi yang kita mahu tunggu? Masih mahu berselimut tebal hingga ke pagi hari di malam-malam terakhir di bulan Ramadhan Kareem ini? Tidakkah kita mahu bertemu dengan penghulu segala malam yang telah Dia janjikan???


"Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya kepada jiwa dan lebih tetap betul bacaannya.

Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam, kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

Dan sebutlah dengan lidah dan hati akan nama Tuhanmu terus menerus siang dan malam, serta tumpukanlah amal ibadatmu kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia. Maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu."

[Al-Muzzammil 73: 6-9]

0 comments: