Coret Ramadhan 1

on 6:34 PM

Pening dan risau melihat keadaan masyarakat di sekeliling. Di Malaysia isu 'sensitif' kaum dan agama terus menjadi perbualan dan pertelingkahan. Anak-anak bangsa menindas bangsa sendiri. Ada yang menindas secara terus dengan kuasa yang ada, dan ada pula yang menindas secara tidak langsung dengan melakukan perbuatan-perbuatan memalukan dan menjatuhkan maruah bangsa sendiri. Sedih dan kasihan.

Bani Quraisy telah diangkat sebagai bangsa pilihan di kalangan bangsa-bangsa Arab yang lain untuk menjadi pengasas kepada risalah Islam yang dibawa Nabi SAW. Keistimewaan yang diberikan kepada bangsa Quraisy ini bukan bermakna mereka ini lebih tinggi kedudukan dari bani lain, tetapi mereka telah diberi tanggungjawab untuk memimpin dan menjadi tempat mula dakwah itu berkembang kerana beberapa ciri yang ada pada bangsa Quraisy itu sendiri. Jika Islam ditarik dan dihilangkan dari mereka, kedudukan mereka akan jatuh semula sehina-hinanya sama seperti bani-bani yang tidak menerima risalah Nabi SAW.

Saya suka untuk mengambil perspektif yang melihat kedudukan bangsa Melayu di Malaysia sebagai bangsa 'Quraisy' yang diberi amanah untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia, ataupun di kalangan komuniti Malaysia di luar negara. Mengukuhkan bangsa ini dengan Islam sepertimana yang dilakukan oleh para ulama terdahulu di Tanah Melayu, akan mengangkat nilai-nilai hebat yang tertanam di dalam diri setiap individu dalam bangsa Melayu itu.

Bukan mahu menjadi racist mahupun nationalist bila bercakap soal bangsa. Tetapi memahamkan permasalahan yang sedang berlaku, dan meletakkan satu target yang jelas serta alat dan cara yang boleh dan 'halal' digunakan dalam mennyelesaikan masalah serta mencapai objektif yang ditetapkan. Bertindak mengikut emosi (e.g. berarak dengan kepala lembu? mencerca dan mencemuh tanpa hujah dan cadangan penyelesaian? bercakap belakang memburuk-burukkan?) hanya merosakkan keadaan dan menanam lagi benih-benih kebencian.

Kesultanan Melayu Melaka gemilang dan cemerlang dengan Islam sebagai asas pembangunan, bukan dengan material seperti pelabuhan-pelabuhan besar, kota-kota cantik dan kukuh, mahupun kapal-kapal dagang yang datang berlabuh. Islam sebagai asas pembangunan menjadikan nilai-nilai yang digunapakai dalam transaksi perdagangan mampu menarik hati para pedagang kerana keadilannya serta keseimbangannya dalam menjamin keuntungan kepada semua pihak.

Persoalannya, bagaimana menjadikan Islam sebagai asas kepada semua perkara?

p/s: moga diberi kekuatan menyambung coretan. salam separuh akhir ramadhan.. =)

0 comments: