Futur dan Dosa

on 3:16 AM

Kerana ketaatan kepada pemimpin termasuk sebahagian daripada iman, maka ia juga boleh bertambah dan berkurang sebagaimana halnya iman. Sesungguhnya iman kadangkala bertambah dan kadangkala berkurang sebgaimana dikatakan oleh majoriti ahli hadis dan fiqh.

Oleh kerana itu, semua aktiviti dalam ruang lingkup iman juga boleh naik hingga sampai ke puncaknya, baik dalam aspek i'tiqad ataupun 'amaliah, dan boleh pula turun sampai lemah pada satu saat.

Orang yang berjaya adalah orang yang tidak bersikap berlebihan ketika tingkat imannya naik, dan tidak pula melampaui batas ketika imannya turun. Namun dia tetap mengikut petunjuk sunnah Nabi SAW sebagaimana disabdakan Rasulullah SAW:

عن ابن عمرو : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
إن لكل عمل شرة و لكل شرة فترة
فمن كان فترته إلى سنتي فقد اهتدى
و من كانت إلى غير ذلك فقد هلك


"Setiap amal mempunyai masa semangat (syirrah), dan setiap masa semangat terdapat pula masa turun semangat (fatrah). Barangsiapa yang masa lemah semangatnya masih berada pada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk. Dan barangsiapa yang masa lemah semangatnya menjurus ke sesuatu yang lain, maka dia akan binasa"

Dalam riwayat lain, hadis ini berbunyi:

"Barangsiapa yang masa semangatnya berada pada sunnahku maka dia telah mendapat petunjuk."

Segala bentuk ketaatan selalu mempunyai syirrah dan fatrah (masa naik dan masa turun). Pelbagai bentuknya, kadangkala dapat dilihat dan dirasakan oleh seorang Mukmin dan kadangkala tidak. Selalu mengikat iman yang turun naik tersebut dengan sunnah Nabi SAW tanpa menodainya dengan kerendahan dan kehinaan adalah suatu keindahan.

Keindahan ini akan bertambah indah apabila dilengkapi dengan sikap menahan diri dari keinginan untuk melepaskan tanggungjawab sehingga menyebabkan kelengahan, egoisme dan pertengkaran yang akan mengakibatkan hilangnya pahala amal jama'ei. Bahkan boleh jadi akan menjadi penghalang untuk mendapatkan syurga bersama kelompok tersebut.

Dua keindahan ini akan menjadi penghias, sehingga wajah seorang Mukmin yang bergabung dengan kelompok tersebut nampak bagaikan bulan purnama pada malam sempurnanya, sebagaimana dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

Oleh kerana itu, 'permeriksaan hati' harus dilakukan agar seorang Mukmin dapat mengetahui keadaan turun-naiknya iman, di samping dapat bersyukur kepada Allah SWT bila imannya bertambah dan menyusuli bila ada kekurangann.

Berkait dengan kenyataan ini, al-Junaid berseru: "Periksalah hal-hal yang boleh menodai hatimu."

Di sini al-Junaid menamakan semua hal yang membuat berkurangnya iman dengan 'noda'. Iaitu hal yang mengeruhkan kejernihannya dan dan membuatkan hati rasa tenang kepada sesuatu yang tidak pada tempatnya.

Itulah noda-noda yang menjerumuskan dan menipu.

Ia hanya memberimu gambaran tetapi tidak memberimu hakikat sama sekali. Ia mencampakkan dirimu ke bumi fatrah setelah syirrah. Ia telah mencuri identiti dirimu yang telah tergolong ke dalam "kelompok yang bersatu hati".

Kenalilah hal tersebut bersama kami dalam kajian ini. InsyaAllah kami akan membekali anda dengan pengetahuan yang dapat menhindarkan anda dari akibat ketidaktentuan akan hakikat ini.

*Dipetik dari al-'Awaiq (Hambatan-Hambatan Dakwah) karangan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid. Ringkasannya boleh didapati di sini

0 comments: