8 Tahun Berlalu

on 4:00 AM

8 tahun yang lalu, pada tarikh ini saya menjejakkan kaki ke pertama kali ke Maktab Rendah Sains MARA Pontian. Dari Maktab Mahmud di utara, saya berpusing 180 darjah menukar haluan ke selatan. Dari sebuah sekolah 'arab' dan agama, berpindah ke sebuah sekolah sains yang pernah dipanggil 'sekular'. Apalah ada agaknya pada tarikh dan sejarah peribadi silam ini, selain bertukar sekolah, meninggalkan guru dan rakan-rakan lama; kemudian bertemu pula dengan guru dan rakan-rakan baru.

Gambar terbaru semasa melawat maktab 3 minggu lalu

Namun sejarah tetap sejarah. Hakikatnya ia diceritakan semula kerana apa yang berlaku hari ini ada kaitannya dengan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Ia mengajar kita sesuatu; menjelaskan apa dan kenapa, juga bagaimana ia boleh berulang atau dielak jika membinasakan. Dari sejarah kita boleh membina semula bangsa dan tamadun, menegakkan semula agama dan menyelamatkan umat manusia dari ditimpa kehinaan.

Jika tidak mengapa dalam al-Quran kisah-kisah Nabi terdahulu dicerita berulang-ulang? Kisah Bani Israil bukan sedikit jumlahnya bukan? Juga kisah-kisah umat terdahulu yang diangkat kehormatannya, juga sebaliknya mereka yang maut digoncang, ditelan bumi atau dipukul ombak badai.

Kehidupan di Pontian meninggalkan beberapa noktah penting dalam hidup saya. Selepas 9 tahun (11 tahun jika termasuk tadika) berada di aliran pendidikan yang fokusnya adalah pendidikan Islam, saya berpindah ke sebuah suasana yang fokusnya adalah aliran sains dan kecemerlangan akademik (Apabila dikatakan fokus, tidak sama sekali bermaksud yang lain diabaikan. Ia memerlukan perbincangan lain dalam konteksnya sendiri).

Daripada suasana yang melahirkan 'para ustaz', kepada suasana yang melahirkan 'para teknorat'. Janggal bukan istilah-istilah ini? Pastinya ada pengecualian, tetapi secara umumnya pandangan masyarakat suatu masa dahulu adalah sebegitu. Islam hanya di pondok-pondok tahfiz dan sekolah agama, dan lulusan-lulusan UPSR/PMR/SPM yang tidak begitu cemerlang tempatnya berakhir di tempat-tempat sebegini.

Alhamdulillah keadaan kini beransur-ansur berubah. Istilah seperti ustaz professional atau protaz sudah biasa didengar. Semakin ramai golongan professional yang mahir sedikit sebanyak dalam bidang agama dan mampu menghasilkan buku-buku menerangkan asas-asas dan konsep-konsep dalam Islam dalam lenggok bahasa pertuturan masyarakat yang mudah difahami dan dihayati.

Perubahan ini pastinya tidak sekejap dan mudah. Saya sendiri mengambil masa berbulan-bulan untuk menyesuaikan diri dalam suasana baru, sehingga pernah menitiskan air mata
kerana beratnya ujian dalam memahami persekitaran yang berubah. Namun apabila dikenang kembali insiden-insiden pertelingkahan yang berlaku kerana perbezaan pemahaman dan pandangan membuatkan saya tersenyum. Saya hanyalah seorang pelajar dari aliran agama yang mahu mengubah keadaan tidak baik kepada lebih baik, tetapi tidak dengan pendekatan yang sewajarnya. Maka akhirnya berlaku pertelingkahan. Begitu naif ketika itu!

Pengalaman mendewasakan langkah dan pemikiran. Sekarang saya lebih mudah dan senang mendepani masyarakat apabila dapat memahami kecenderungan dan apa yang berlegar-legar di dalam fikiran. Merawat penyakit pemikiran, hiburan dan krisis identiti yang berlaku bukan mengambil masa seminggu dua mahupun beberapa bulan. Tetapi memerlukan bertahun-tahun lamanya. Lebih baik jika dapat mencegah dari awal, daripada menghabiskan masa dan tenaga merawat penyakit yang semakin lama semakin kritikal.

OBJEKTIF dalam sesi perkongsian saya di MRSM Pontian beberapa minggu lalu

8 tahun berlalu, kini maktab yang saya duduki dahulu tidak lagi kering kontang dengan hanya bangunan-bangunan baru tersergam indah. Kini ia dihiasi dengan rimbunan pokok dan tanaman yang menghijau dan menyejukkan persekitan, juga mata yang memandang. Kemudahan yang dahulunya sekadar cukup-cukup makan kerana maktab baru, kini sudah lengkap selepas beberapa generasi berlalu.

Namun akhirnya yang menjadi kayu pengukur bukan perkara material dan luaran ini. Yang paling penting adalah isi-isinya sendiri, iaitu para pelajar, guru-guru dan para pekerja di dalamnya. Besar harapan saya untuk melihat maktab yang menjadi sebahagian dari sejarah diri ini dihiasi dengan generasi baru adik-adik putera dan puteri Islam yang taat dan faham tuntutan Islam dengan baik.

Harapan saya untuk balik sekali lagi ke sana menabur bakti membalas budi, berkongsi pengalaman dan langkah-langkah membina kejayaan mutlak yang kita inginkan, kerana merekalah generasi pewaris yang diharapkan. Membina generasi harapan yang bakal melonjakkan semula ummat Melayu Islam ke pentas dunia, seterusnya mencetus kebangkitan ummat Islam seluruh dunia tanpa dapat ditahan lagi.

Kenangan jangan tinggal sekadar kenangan,
Gunakan ia untuk membina dan mengumpul kekuatan.

Homeroom Berlian-Pn.Hazlina

“Siapa yang melapangkan seorang muslim daripada satu kesusahan dunia Allah akan melapangkannya daripada satu kesusahan pada hari kiamat.

Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berkepayahan Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.

Siapa yang menjaga rahsia seorang muslim di dunia, Allah akan menjaga rahsianya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya. ”

[Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmizi dan Ibn. Majah]

3 comments:

the mosaicist said...

pontian is where i've met some of the most influential ppl in my life and was also the place which has taught me some of the most important lessons in life.

selamat ulang tahun ke-8 pioneer batch! it's been an honour.

Nooreena said...

Setuju dengan the mosaicist!

Teringat bulan pertama dalam kelas. Mus'ab nak semua lelaki duduk di hadapan. Ramai yang tak setuju. Sukar perasaannya apabila kita berpindah dari zon selesa ke yang sebaliknya kan? Apa pun, kamu dah lakukan yang terbaik. Be good. :)

Anonymous said...

terima kasih the mosaicist dan nooreena!~ selamat ulang tahun ke-8 jugak. =)

difficult experience in Pontian taught me positive lessons, so there is no regret of what has happened. its time to forget past achievements and look forward for a new one =D