Semoga sentiasa berada dalam kekuatan iman dan taqwa, serta dalam suasana amal soleh yang terbaik insyaAllah.
Pertamanya, mari kita sama-sama ucapkan syukur pada Allah SWT kerana telah memperkenalkan sesama kita, dan kemudiannya menyatukan hati kita di atas jalan ini, jalan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Yakinlah sesungguhnya ikatan ini bukan dibina dengan pengenalan di program-program semata-mata, apatah lagi dengan ikatan material yang sementara. Sesungguhnya yang menyatukan hati kita adalah Allah SWT, dengan limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬
“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Anfal: 63]
وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ
فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا
“Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam).” [Ali Imran: 103]
Ikatan ukhuwah yang terbina antara kita ini, walaupun dipisahkan jarak beribu batu, merupakan satu kekuatan imaniyah yang tersendiri. Ia dirasai secara mendalam dengan sifat belas kasihan, cinta, saling menghormati dan mempercayai, bantu membantu ketika senang, berkerjasama ketika kesusahan, dan menjauhkan diri bersama-sama dari perkara kerosakan. Semuanya adalah hasil dari cahaya keimanan dan ketaqwaan di dalam kekuatan ukhuwah itu sendiri.
Buat sahabat yang ku kasihi;
Inilah ukhuwah kerana Allah SWT yang sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan iman dan taqwa. Tidak ada iman tanpa ukhuwah, dan tidak ada ukhuwah tanpa iman. Begitu juga tiada ukhuwah tanpa taqwa dan tidak ada taqwa tanpa ukhuwah. Bukti kepada pernyataan-pernyataan ini dijelaskan dalam firman Allah SWT:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah).” [al-Hujurat: 10]
ٱلۡأَخِلَّآءُ يَوۡمَٮِٕذِۭ بَعۡضُهُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلۡمُتَّقِينَ
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib; setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).” [az-Zukhruf: 67]
Maka tidak syak lagi jika ukhuwah ini terpisah dari iman, tinggallah ia menjadi persaudaraan yang mempunyai tujuan tertentu atau kepentingan peribadi. Dan sekiranya ukhuwah ini terpisah dari taqwa, ia akan membawa kepada permusuhan dan kemarahan yang menjadi punca kepada ketegangan dan seterusnya membawa kepada perlumbaan mencari kepentingan tertentu dan membolot kekayaan orang lain.
Manakala iman dan taqwa sahaja tanpa ukhuwah, adalah iman yang tipis dan taqwanya kosong. Ingatkah lagi kita pada hadis yang sering diulang-ulang tentang ukhuwah ini?
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga kamu mencintai saaudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.”
Juga pada firman Allah SWT tentang nilaian taqwa yang perlu ada bersama iman:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ
وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa; dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan; dan bertakwalah kepada Allah.” [al-Maidah: 2]
Sahabatku yang dihormati;
Secara hakikat dan fitrahnya manusia ditegakkan di atas keimanan dan sentiasa dibaluti oleh ketaqwaan. Maka apabila bertemunya dua orang yang mempunyai sifat yang sama, iaitu keimanan dan ketaqwaan, secara tidak langsung akan terasa di awal pengenalan satu perasaan suci. Malah wujud perasaan seolah mereka adalah satu hati. Perasaan kasih sayang secara semulajadi mekar berbunga, mengalir deras melalui urat saraf mengikut aliran darah. Indahnya hakikat ini bukan?
Tidak hairanlah sebuah syair Arab menulis:
“Aku adalah engkau dan engkau adalah aku.
Kami adalah dua roh dan yang memisahkan kami adalah badan.”
Dan tidak hairan jugalah apabila jiwa yang dipenuhi gelombang keburukan dan sentiasa diliputi kejahatan tidak mampu bersatu dengan seorang mukmin yang mempunyai jiwa suci bersih apabila berlaku pertemuan. Perasaan janggal muncul kerana berbezanya manhaj dan tiada persamaan roh.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda:
“Manusia itu adalah logam, seperti logam emas dan perak. Sebaik-baik mereka yang baik semasa Jahiliah dan mereka yang baik setelah Islam apabila mereka benar-benar faham tentang syariat Islam. Roh-roh itu adalah tentera yang dilatih, sesiapa yang mereka kenali akan bersatu dan apabila mereka mengenali mereka akan berselisih.”
Inilah pengertian sebenar tentang hakikat persaudaraan kerana Allah.
Ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai dari Allah SWT yang ditiupkan ke dalam hati seorang mukmin yang ikhlas.
Ia adalah satu kekuatan iman yang dihiasi pada diri yang mempunyai keimanan dan ketaqwaan.
Ia adalah pendorong dari dalam diri untuk kita mengambil pendirian positif, berkasih sayang, sensitif sesama Islam, ringan tangan bantu membantu.
Ia adalah sifat yang tidak dapat dipisahkan dari iman dan taqwa.
Ia adalah sahabat baik kepada roh yang bersih dan musuh utama kepada roh yang kotor.
Maka kesimpulannya, setelah jelas kepada kita hakikat ini, ayuh kita sama-sama berpegang dengan ukhuwah islamiah yang sebenar dengan melaksanakan pengertiannya. Selami diri kita masing-masing supaya kita dapat saling berkasih-sayang; juga bersikap tegas dengan orang-orang kafir dengan berpandukan contoh dari generasi awal para sahabat Rasulullah SAW.
Sepotong ayat dalam surah al-Fath menceritakan tentang sikap generasi awal:
مُّحَمَّدٌ۬ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُ ۥۤ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَہُمۡۖ تَرَٮٰهُمۡ رُكَّعً۬ا سُجَّدً۬ا يَبۡتَغُونَ فَضۡلاً۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنً۬اۖ
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya.” [al-Fath: 29]
*Tazkeerah ini adalah ringkasan dari bahagian pertama buku “Persaudaraan Islam” tulisan Abdullah Naseh Ulwan. InsyaAllah akan bersambung...
3 comments:
well written Mus'ab! =)
"Tidak ada iman tanpa ukhuwah, dan tidak ada iman tanpa ukhuwah."
Ada kesilapan di sini rasanya. Perenggan sebelum ayat 10 Al-Hujurat.
terima kasih. dah betulkan =)
Salam Muaz,
nice info
Post a Comment